A Kadir Jasin (Gambar Malaysia Gazette)

Oleh: Ku Seman Ku Hussain (3.48pm 13 Feb 19)

Saya rasa ramai orang tahu bahawa Perdana Menteri sendiri tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet. Boleh kata setiap kali beliau bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri, menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto (selfie) dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi.  (Petikan blog The Scribe A Kadir Jasin).

Petikan di atas adalah hantaran terbaru  pada 12 Februari 2019 dalam blog The Scribe A Kadir Jasin.   Antara lain hantaran itu mengkritik atau bahasa lunaknya menegur sesetengah  anggota Kabinet yang masih gagal  memahami tugas mereka kepada rakyat.  Teguran itu agak keras  walaupun media pembangkang telah membangkitkan sebelum ini.

Bezanya  tuan punya blog ini tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin kini berada dalam kerajaan. Malah pada masa sama  beliau menganggotai barisan kepimpinan tinggi  parti PPBM, salah sebuah parti  yang membentuk kerajaan.  Keadaan seperti ini  semacam tidak berlaku pada era sebelum ini,  terutama  sekali  tatkala media arus perdana  yang ‘diselia’  oleh  parti pemerintah.

Kadir tanpa ragu-ragu atau dilema menegur sesetengah  menteri yang terlena dengan sambutan yang besar-besaran semasa bertemu rakyat.  Mentaliti yang mendahulukan acara daripada isinya  terus  membiak dalam kerajaan baru ini. Secara mudahnya lebih mementingkan ‘acara potong riben’  berbanding  bekerja untuk rakyat.

Ini kritikan yang bagus dan membina.  Tetapi ruang-ruang seperti ini suatu ketika dulu tidak terbuka kepada media arus perdana. Malah  kenyataan-kenyataan  memberi ruang kepada media tidak lebih retorik untuk melunakkan ucapan semata.

Ucapan Tan Sri Johan Jaaffar pada perlancaran Hari Wartawan Nasional di Matrade 11 April tahun lalu antara lain menyebut, “Saya menyeru pada pimpinan politik untuk memberikan ruang sewajarnya pada wartawan. Hargailah mereka dengan menyediakan air cover sewajarnya agar mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang kondusif.”

Johan menambah, “Bantulah mereka dengan mengurangkan kekangan untuk mereka menjalankan tugas tanpa ragu dan takut. Pada akhirnya lanskap media yang vibrant dan terbuka amat bermanfaat bagi negara. Ini pernah ditegaskan sendiri oleh YAB Perdana Menteri kita dalam salah satu ucapan beliau kepada para wartawan tidak lama dulu. Kita tidak perlu gusar dengan Fourth Estate ini sekiranya kita sama-sama bertanggungjawab.”

Pada sisi yang lain, Kadir telah  memberikan contoh kepada wartawan-wartawan muda,   malah yang telah lama juga supaya meraikan ruang kebebasan bersuara.  Suatu ketika dulu ruang ini menjadi begitu sempit walaupun  ada wartawan yang mahu bersuara. 

Bagaimanapun sesetengahnya berada dalam dilema antara etika kewartawanan dan tuntutan hidup demi mencari rezeki untuk anak dan isteri. Dalam lingkungan semua media arus perdana ada hubungan langsung dengan parti pemerintah,  etika terpaksa dilupakan  demi keluarga.

Tetapi kini ruang yang ditunggu itu telah tiba.  Keadaan telah berubah. Tentulah merugikan kalau  peluang ini dibiarkan berlalu  dan tanpa berbuat apa-apa.  Mungkin tidak selama-lamanya, tetapi setidak-tidaknya buat masa ini ia terbuka. Maka peluang ini mesti digunakan untuk meluruskan etika kewartawanan yang sengek dan bengkang bengkok sebelumnya.

Kadir membuktikan beliau dapat memisahkan  pegangan politiknya dengan sikap kewartawaan.  Beliau mengkritik partinya kerana percaya  itu baik untuk parti dan rakyat.  Kalau wartawan sendiri tidak meluruskan etika kewartawanan,   siapa lagi?

Advertisement

Wartawan bukan penulis pamplet  parti atau kerajaan. Sebaliknya  dinobatkan sebagai  tiang seri keempat atau Fourth Estate (kecuali negara ini) selepas legislatif, eksekutif dan judisiari.  Kadir adalah wartawan walaupun ketika ini sebelah kakinya berada dalam kerajaan.  Beliau terus bersuara secara bebas tetapi berhemah  serta bertanggungjawab terhadap tegurannya.

Kalau ada yang berkata kedudukan dalam  organisasi media yang mesra kerajaan mengikat wartawan untuk bersuara membetulkan keadaan,  tulisan-tulisan Kadir telah membuktikan – setidak-tidaknya pada waktu ini tanggapan itu tidak benar. 

Mungkin tanggapan saya terhadap media arus perdana era dulu tersasar dan tidak benar. Bagaimanapun  perihal media dikawal  bukanlah rahsia lagi. Rakyat bukan sahaja membaca akhbar tetapi juga semiotik yang terpercik  di  dada akhbar. 

Sebagai contohnya media arus perdana kita  banyak ‘terlepas’  berita-berita besar yang mempunyai hubungan langsung dengan rakyat. Media luar pula yang memecah berita  perkara yang berlaku di depan mata kita.

Meminjam semangat  kebebasan bersuara ini, wartawan  yang berada di organisasi media wajar memisahkan pegangan politik masing-masing  apabila berdiri sebagai wartawan.  Luruskan  dan tegakkan etika kewartawanan  selagi peluang masih ada.

Sebenarnya ada kepincangan yang boleh dilihat secara langsung dalam kerajaan sekarang.  Ini termasuklah  mempromosi tolak ansur yang luar biasa hal-hal berkaitan dengan kepentingan Islam,  menjadikan institusi Islam seolah-olah lubuk politik.  Media termasuk di bawah seliaan kerajaan tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku.  Wartawannya mesti bangkit sebagai penyampai suara rakyat.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *