RTM diheret dalam kancah politik.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain ( 5.27 pm 22 Feb 2019)

Kenyataan yang berbaur politik selalunya diucap atau ditulis oleh orang politik.  Ini adalah adat dan kebiasaannya.  Daripada orang politik,  sama ada percakapan atau tulisan boleh membentuk persepsi dan seterusnya mencipta konspirasi antara satu pihak dengan yang lain.

Politik adalah permainan persepsi, jadi tidak hairanlah kalau ada orang politik  mendakwa sesuatu media mempunyai agenda politik menyiar dan tidak menyiarkan sesuatu.  Tetapi sangat luar biasa apabila Setiausaha Akhbar mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur politik, tidak kira secara rasmi atau sebaliknya.

Oleh hal yang demikian maka sangat ganjil, luas biasa  dan menimbul persoalan atas tujuan apakah Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan  mengeluarkan kenyataan berbaur politik?  Ini sebenarnya bukan tugas Setiausaha Akhbar yang sepatutnya  menjadi perantara menteri dengan media.

Lim Swee Kuan

Lim Swee Kuan menerusi laman sosial Facebook peribadinya memuat naik dakwaan bahawa RTM cuba mensabotaj seorang menteri  apabila tidak menyiarkan secara langsung ucapan menteri berkenaan.  Menteri yang dimaksudkan ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke di majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Seremban baru-baru ini.

Lim Swee Kuan  menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyiasat RTM yang boleh difahami  dakwaannya sebagai turut bermain politik  mensabotaj  menteri. 

Pada majlis berkenaan RTM hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.  Turut berucap dalam majlis itu ialah  Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembinan,  Datuk Seri Aminuddin Harun.

Gobind Singh Deo

Ekoran dakwaan itu  Gobind mengarahkan  supaya RTM menyediakan laporan  lengkap berhubung perkara tersebut.  Bagaimanapun selepas menerima laporan penuh daripada RTM,  Gobind  telah berpuas hati kerana  tidak ada unsur-unsur sabotaj oleh RTM.

Sebaliknya RTM melaksanakan tugasan berkenaan  mengikut prosedur  yang menjadi amalan sebelum ini iaitu hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri  di acara yang turut dihadiri oleh menteri-menteri lain atau Menteri Besar.

“RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengudarakan  ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap di majlis tersebut,” kata Gobind dalam satu kenyataan semalam.

Advertisement

Bagaimanapun setakat rencana ini ditulis Lim Swee Kuan  belum mengeluarkan kenyataan memohon maaf di atas dakwaan yang tersasar jauh mengenai RTM. Sangat tidak bertanggungjawab sekiranya dia membiarkan begitu sahaja sedangkan dakwaannya sedikit sebanyak mencalarkan imej RTM dan menggores hati penjawat awam di RTM.

Latheefa Koya

Sementara itu Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata,  dakwaan bahawa  RTM  terlibat melakukan sabotaj  adalah suatu yang angkuh. Beliau menambah, tidak sepatutnya wujud peraturan ucapan ahli politik kerajaan disiarkan secara langsung.

“Setiausaha akhbar Menteri Pengangkutan perlu sedar bahawa RTM bukan siaran propaganda kerajaan. Ia duit cukai rakyat, jadi kita mahu laporan yang adil dan seimbang,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau.

Anthony Loke pula berkata, yang disuarakan oleh setiausaha akhbarnya adalah dalam laman sosial peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai melanggar kebebasan media  yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.  Walau apa sekalipun Anthony Loke perlu membimbing  dan menasihat Setiausaha Akhbarnya supaya tidak mencetuskan ketegangan dengan media.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Buatlah kerja Setiausaha Akhbar”
  1. Penampilan blog tidak kemas kerana ada gambar. Ada baiknya kekalkan sepertimana blog kayangdaily post dulu. Hanya tulisan-tulisan sahaja yang ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *