OLEH DR AZMI HASSAN (21.03 pm 14 Mac 2019)

LIMA tahun sudah berlalu tetapi misteri kehilangan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia MH370 masih belum terjawab walaupun proses pencarian pesawat yang telah dilaksanakan setakat ini dianggap paling meluas dalam sejarah penerbangan awam.

Tidak dinafikan usaha tersebut yang dipelopori oleh Malaysia dan Australia di Lautan Hindi adalah manifestasi selagi ada upaya, maka usaha tersebut diteruskan.

Kali terakhir usaha pencarian tersebut dilaksanakan ialah pada Mei 2018 apabila syarikat ekplorasi dasar laut Ocean Infinity melakukan pencarian dengan persefahaman bahawa bayaran hanya akan dibuat oleh Malaysia jika pesawat tersebut ditemui.

Sudah banyak masa, tenaga dan wang diperutukkan bagi mencari MH370 tetapi masih gagal.

MH370 bukan sahaja dipercayai telah melencong dari laluan asal tetapi lokasi pencarian di Lautan Hindi hanya bersandarkan data dari satelit komunikasi Inmarsat.  Seperti yang diketahui pencarian tersebut gagal menemui sebarang bukti baharu dan kerajaan telah menamatkan perjanjian dengan Ocean Infinity kerana tempoh masa pencarian yang dipersetujui telah berlalu.

Tidak diketahui secara tepat jumlah pembayaran yang dipersetujui antara Malaysia dan Ocean Infinity, tetapi dipercayai berjumlah diantara US$70 hingga US$90 juta.

Ekoran dari kegagalan pencarian oleh Ocean Infinity, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan laporan penuh kerana sebelum ini hanya laporan interim dikeluarkan setiap enam bulan.

Minggu lepas Ocean Infinity sekali lagi mengemukakan cadangan untuk membuat pencarian baharu dengan menggunakan dalil teknologi pencarian yang digunakan semasa pencarian kapal selam Tentera Laut Argentina ARA San Juan yang tenggelam di Laut Atlantik pada November 2017 akan digunapakai untuk mencari MH370. Bangkai kapal selam tersebut ditemui pada November 2018 iaitu selepas beberapa minggu pencarian dilakukan oleh Ocean Infinity.

Dengan menggunakan kekuatan dalil kejayaan Ocean Infinity menemui bangkai San Juan, maka syarikat tersebut sekali lagi membuat tawaran kepada kerajaan dan tawaran tersebut disambut oleh Menteri Pengangkutan sebagai sesuatu perkara yang perlu dibincangkan dengan lebih spesifik dan terperinci.

Kerajaan amat berhati-hati dan sensitif apa saja hal berkait MH370 kerana ia melibatkan perasaan keluarga mangsa dan setiap keputusan yang dibuat perlu mengambil kira semua aspek termasuk implikasi kewangan.

Terdapat tuduhan bahawa kerajaan tidak begitu mengambil berat dan isu tanggungjawab ini timbul setiap kali pada hari peringatan ulang tahun MH370 dan terkini 8 Mac lepas, tidak terkecuali.

Advertisement

Tetapi perlu diberi perhatian terma perjanjian di antara kerajaan dengan Ocean Infinity tidak melibatkan kerajaan lain seperti Australia atau China dan ini adalah manifestasi bagaimana Malaysia melakukan semampu yang terdaya.

Malah ketika kerja pencarian dan menyelamat dilakukan pada dua minggu pertama kejadian di Laut China Selatan, Kuala Lumpur telah berjaya mengembeling bantuan di perairan yang amat sensitif termasuk dua kuasa besar seteru iaitu Amerika Syarikat dan China.

Berbalik kepada cadangan terkini Ocean Infinity yang bersandarkan kejayaan mereka menemui bangkai kapal selam, terdapat perbezaan ketara di antara San Juan dan MH370. Lokasi pencarian San Juan dikatakan agak spesifik berpandukan laluan dan komunikasi terakhir kapal selam.

Berbeza pula dengan MH370 yang bukan sahaja dipercayai telah melencong dari laluan asal tetapi lokasi pencarian di Laut Hindi hanya bersandarkan data dari satelit komunikasi Inmarsat.

Data komunikasi dari satelit ini boleh diunjurkan untuk menentukan lokasi MH370 tetapi unjuran ini tidak begitu tepat. Sebab itu dihujahkan gagalnya usaha mencari MH370 bukan disebabkan kekangan teknologi pencarian tetapi lebih menjurus kepada lokasi pencarian yang terlalu luas dan tidak spesifik.

Walaupun tawaran Ocean Infinity dianggap menarik dengan terma tiada bayaran jika tidak berjaya serta penggunaan teknologi pencarian terkini, hakikatnya adalah tiada bukti baharu mengenai lokasi MH370 disertakan bersama dengan tawaran.

Jika pencarian di Laut China Selatan melibatkan lebih dari 26 negara, lokasi pencarian di Laut Hindi pula melibatkan hanya tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China. Terdapat persefahaman yang terjalin diantara ketiga-tiga negara ini bahawa pencarian hanya akan diteruskan jika muncul bukti baharu mengenai MH370.

Sebab itu Australia dan China tidak terbabit dengan usaha pencarian oleh Ocean Infinity kerana asasnya tiada bukti baharu dikemukakan. Menjadi tanda tanya sama ada cadangan terkini dari Ocean Infinity akan diterima atau sebaliknya oleh Malaysia kerana seluruh dunia ternanti-nanti akan kesudahan misteri MH370.  

*  Petikan   dari  AlHijrah Online  14 Mac 2019 – 5:33:40 pm  dengan tajuk asal –‘Perlukah pencarian MH370 diteruskan?’

*DR AZMI HASSAN  adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *