Lihat jari Tarrant yang memperlihatkan simbol white supremacist semasa di mahkamah hari ini. (Gambar Daily Mail Australia)

OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (16.08 pm 16 Mac 2019)

Pengganas yang melakukan pembunuhan beramai-ramai di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand semalam,  Brenton Harrison Tarrant  telah dihadapkan ke mahkamah hari ini.  Tarrant yang berusia 28 tahun berasal  New South Wales, Australia dituduh membunuh 49 orang awam (Islam) dalam masjid  Al Noor pukul 1.30 petang waktu tempatan.

Suatu yang penting diketahui ialah galur ideologi sosial dan politik yang menjadi pegangan Tarrant.  Ini yang menjadi punca utama kenapa dia begitu yakin melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.  Dia menganut ideologi neo-Nazi,  iaitu Nazi dalam bentuk dan zaman yang baru selepas hilangnya Nazisme era Adolf Hitler.

Menurut laporan Daily Mail  Australia, Tarrant  tersenyum bangga dan sempat menunjukkan simbol  ‘white supremacist‘ dengan jarinya di sebalik pintu kaca mahkamah. Kes ini menjadi tumpuan di seluruh dunia apabila dia mengaku menganut neo-Nazi dan fascist.

Serangan dekad itu dilakukan dengan teliti termasuk membuat live streaming di Facebook ketika  melepaskan tembakan bersasar kepada jemaah yang menunggu menunaikan sembahyang Jumaat. Ternyata ini bukan tembakan rambang tetapi satu pembunuhan beramai-ramai. 

Rumah tempat Tarrant dibesarkan di New South Wales, Australia (Gambar Daily Mail Australia)

Mungkin dalam skala yang lebih kecil tetapi cara yang dilakukan tidak jauh bezanya dengan pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Nazi terhadap orang Yahudi di Jerman.  Hanya individu yang berideologi ekstrem sahaja yang sanggup membunuh tanpa rasa bersalah. Tarrant salah seorang daripadanya.

Apa itu neo-Nazi?  Ini satu pergerakan sosial atau politik pada pasca Perang Dunia Kedua yang mengangkat kembali ideologi Nazi yang diasaskan oleh Hitler.  Neo-Nazi adalah Nazi yang baharu yakni menggerakkan semangat  perkauman yang tinggi, menindas kepada minoriti untuk mewujudkan ‘fascist political state.’

Sebenarnya pergerakan politik dan sosial neo-Nazi ini adalah fenomena semasa di seluruh dunia,  digerakkan oleh  aktivis dan ekstremis neo-Nazi di banyak negara serta mencipta jaringan peringkat antarabangsa.  Neo-Nazi meminjamkan ideologi  Nazi antaranya ultranasionalis, rasis, xenophobia, antisemitis dan antikomunis.

Ultranasionalis inilah yang membuatkan mereka menganggap hanya kelompok mereka sahaja yang layak mendiami atau tinggal di sesebuah negara.  Mereka menafikan kewujudan kaum lain sekalipun sah di segi undang-undang.  Ini adalah dendam dan prasangka yang tidak terurus.

Oleh kerana itu Tarrant ini sangat bahaya kepada dunia pada abad ke 21 ini. Nazisme sama juga komunisme, hilang dan lenyap tetapi belum mati sepenuhnya.  Tarrant bukan seperti sesetengah pembunuh rambang kerana masalah jiwa atau tingkah yang di luar waras.  Tetapi Tarrant perancang yang teliti untuk menzahirkan sebuah ideologi yang diharamkan oleh banyak negara.

Advertisement

Dalam kes pembunuhan beramai-ramai di New Zealand ini,  sasaran tentulah hanya kepada umat Islam. Pada masa sama banyak umat Islam di New Zealand pendatang  terutama dari Asia.  Pembunuh ini seorang fascist yang menafikan  hak kaum lain kecuali kulit putih.  

Ini dibuktikan dengan tanda ‘white supremacist‘   walaupun  dalam keadaan tangan bergari.  Dia mahu memberitahu jaringan neo-Nazi di seluruh dunia tentang satu ‘kejayaan’ yang dilakukan. Malah memanfaatkan teknologi komunikasi apabila membuat siaran langsung pembunuhan beramai-ramai itu.

Terdapat angka 14 pada raifel yang digunakan untuk membunuh dan angka itu menurut pakar dirujuk pada frasa ’14 Words ‘  dalam Southern Poverty Law Center  dan slogan ‘white supremacist‘ yang juga tercatat dalam buku tulisan Hitler, Mein Kampf.

Tarrant dibesarkan di Grafton, New South Wales, Australia bagaimanapun dia keluar merantau pada usia awal 20-an berikutan kematian ayahnya, Rodney akibat kanser pada 2010.  

Tarrant ketika kanak-kanak bersama-sama ayahnya Rodney yang meninggal dunia pada 2010.

Dia mengembara ke seluruh Eropah dan daripada media sosialnya, Tarrant  obses terhadap serangan pengganas di Eropah antara  2016 hingga 2017.  Dia juga memperlihatkan ketaksubannya pada ideologi neo-Nazi dan membenci orang Islam.

Tragedi ini boleh diambil sebagai iktibar bagaimana kaum pendatang yang minoriti di negara-negara lain berada dalam kebimbangan dan ketakutan ekoran wujudnya kelompok ultranasionalis dalam kalangan warga tempatan.

Yang dibunuh di New Zealand  semalam adalah pendatang dari luar lingkaran budaya setempat. Di sana kaum yang dianggap pendatang adalah sasaran  ultranasionalis.  Maka bersyukurlah pendatang di negara lain yang memberikan kedudukan yang setaraf dengan penduduk asal.  

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *