OLEH: ADNAN SEMAN

Kekeliruan berkaitan peruntukkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kes Abang Botak.

1. Pelbagai ulasan dan komen netizen tentang kes Danial Abdullah Tan atau Abang Botak yang telah mengaku salah melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta milik pengadu, Siew Chean Voon, 58 dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara.

2. Dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah khianat yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau keduanya.

3. Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan hukuman penjara setahun yang dikenakan dan dianggap sebagai keterlaluan. Ramai juga yang membuat perbandingan dengan kes Lee Chee Wee, 46 yang juga tular video dia meludah dan menumbuk pemandu kerana tidak memberhentikan bas ketika dia mahu menaikinya di Pulau Pinang.  Dia hanya didenda sebanyak RM1,000 sahaja dan tiada hukuman penjara.

4. Namun ada peguam yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan keputusan Majistret kerana berpendapat majistret tiada pilihan melainkan menjatuhkan hukuman penjara atas alasan peruntukan seksyen 427 hendaklah mengenakan hukuman penjara minimum setahun.

5. Berkaitan dengan hukuman, Majistret sebenarnya boleh hanya menjatuhkan hukuman denda di bawah seksyen 427 kerana peruntukkan seksyen tersebut menggunakan perkataan penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

6. Apatah lagi banyak kes sebelum ini yang hanya hukuman denda dijatuhkan di bawah seksyen 427:

i) Oktober 2016 – Mohd Zaini Ariffin, 42 didenda RM1,000 atau penjara tiga bulan selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan cermin penumpang belakang pemandu kereta jenis Toyota Vios milik Khairul Anuar Ali, 34, yang menyebabkan kerugian RM300.

https://m.malaysiakini.com/news/358694

ii) Julai 2017 – Wilson Maja Jana, 47 didenda RM8,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan khianat dengan merosakkan cermin tiga kenderaan.

https://www.utusanborneo.com.my/2017/07/26/lelaki-didenda-kerana-laku-khianat-cermin-tiga-kenderaan

iii) Januari 2018 – A. Kalaivanan dituduh atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 427 atas jenayah ugut dan khianat. Dia mengaku salah dan dikenakan hukuman denda RM1,500 atau penjara satu bulan bagi pertuduhan pertama, manakala pertuduhan kedua didenda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Advertisement

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/373487/didenda-rm3500-kerana-mengugut-khianat/amp

iv) April 2019 – Akibat amukan hingga menyebabkan kerugian RM1,000, seorang lelaki, 29, dikenakan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di bawah seksyen 427 Kanun Keseksaan.

https://sarawakvoice.com/2019/04/24/lelaki-amuk-guna-tukul-dihukum-rm2000/amp/

v) Mei 2019 – A Kishok dikenakan hukuman denda RM2,500 di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas mengaku salah memecahkan akuarium milik P. Arasu di sebuah rumah di Puchong.

https://www.msn.com/en-my/news/national/mi-segera-punya-pasal/ar-AAANm8W?li=AAAHftF

Gambar Abang Botak yang tular di media sosial.

7. Kekeliruan ini perlu dijelaskan kerana saya juga  terbaca komen netizen yang mencadangkan agar selepas ini jika ada kes-kes sebegini berlaku maka jangan rosakkan kenderaan lain tetapi lebih elok gunakan kekerasan seperti menumbuk yang akan dikenakan hukuman yang lebih ringan.

8. Saya berpandangan hukuman penjara 12 bulan yang dikenakan adalah tidak wajar mengambil kira tertuduh tiada rekod jenayah, telah membuat pengakuan bersalah dan menyesal akibat tindakannya tersebut.

Selain itu juga terdapat fakta wujudnya provokasi dari pengadu yang menghimpit motosikal tertuduh dan menunjukkan “jari tengah” yang  menyebabkan tertuduh hilang pertimbangan.  

Apatah lagi tertuduh mempunyai keluarga dan dua anak yang masih kecil disamping Hari Raya Aidilfitri hanya beberapa hari sahaja lagi. Pengakuan bersalah juga dapat menjimatkan masa Mahkamah dan majistret juga boleh memerintahkan tertuduh membayar gantirugi kepada pengadu.

9. Saya percaya beberapa orang peguam yang mengendalikan kes-kes jenayah telah tampil untuk membantu Abang Botak membuat rayuan dan memohon penggantungan hukuman sehingga rayuan bagi membolehkan dia berhari raya bersama-sama keluarga.

10. Walaupun kita marah dengan tindakan tertuduh yang gagal mengawal emosi namun kita juga mengharapkan agar keadilan diberikan kepadanya dengan sewajarnya.

*  ADNAN SEMAN adalah seorang peguam.  Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *