OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (kemas kini 2 pm 5 Jun 2019)

Apabila Ahli  Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), apakah bezanya kerajaan Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional (BN) yang melantik Tan Sri Apandi Ali sebagai Peguam Negara?

Semalam Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Latheefa yang diperkenan oleh Yang Di-Pertuan Agong menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon menamatkan kontrak lebih awal. Mohd Shukri dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak lama selepas Pakatan Harapan menang PRU 14 Mei tahun lalu.

Datuk Seri Shukri Abdull (Gambar: Malaysia Gazette)

Isunya kerajaan Pakatan Harapan melakukan sama seperti kerajaan BN yang melantik orang politik ke jawatan penting dan utama dalam kerajaan. Padahal pelantikan Apandi dulu menjadi bahan kritik pembangkang menjelang PRU 14 tahun lalu.

Isu melantik orang politik oleh Pakatan Harapan bukan sahaja Latheefa Koya malah sudah beberapa jawatan penting kerajaan diisi oleh orang politik. Walaupun lantikan itu mungkin mempunyai meritnya, seperti latar belakang dan pengalaman individu yang dilantik, tetapi akan terus mengundang persepsi serong daripada rakyat.

Sebelum ini Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun mengumumkan pelantikan dua ahli majlis pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi Universiti Teknikal Mara (Unitek-Mara)  dan Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi sebagai Pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan (Pengerusi PTPTN) dan AJK Tertinggi Amanah, Datuk Mazlan Aliman sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) selain calon Amanah,  Nik Omar Nik Aziz sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Membangkitkan isu pelantikan Latheefa sama sekali tidak bermaksud mempertikaikan ketidaksampaian merit beliau memikul tanggungjawab sebagai Ketua Persuruhjaya SPRM. Latheefa yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty telah memperlihatkan ketegasan apabila mengkritik kerajaan Pakatan Harapan sendiri dalam beberapa isu yang bertentangan dengan manifesto.

Tetapi dalam isu lantikan, Pakatan Harapan telah berjanji tidak akan melakukan lantikan politik dalam jawatan-jawatan utama badan kerajaan. Malah Pakatan Harapan mengkritik BN yang berbuat demikian. Tetapi sekarang Pakatan Harapan sendiri melakukan sama seperti BN dalam isu melantik orang politik ke jawatan penting.

Advertisement

Walaupun Latheefa telah meletak jawatan dalam PKR selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM tetapi ketika dilantik beliau antara barisan tinggi parti. Ini sama sekali tidak dapat memadamkan persepsi rakyat bahawa Latheefa adalah pemimpin politik. Ini akan menimbulkan krisis keyakinan yang seterusnya memberikan imej negatif terhadap Pakatan Harapan. Sebab utamanya bertentangan dengan prinsip dasar yang Pakatan Harapan sendiri nyatakan kepada rakyat.

Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam bagi membincangkan pelantikan awam selaras dengan  janji Pakatan Harapan dalam menifesto  PRU 14. Jawatankuasa Parlimen itu disertai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang menjadikan pemilihan lebih telus dan tidak ada konflik kepentingan.

Ini kerana setiap lantikan ke jawatan utama badan kerajaan memerlukan kaedah merujuk keupayaan, peribadi dan integriti supaya setiap individu yang dilantik tidak melunturkan keyakinan awam mengenai kebebasan terutama agensi penguatkuasa.

William Leong (Gambar: Berita Harian)

Bagaimanapun pengerusi jawatankuasa ini, William Leong  memberitahu Malaysiakini,  pelantikkan Latheefa tidak dibawa kepada jawatankuasa berkenaan untuk dibincangkan  dan beliau tidak tahu menahu  mengenai pelantikan itu.

“Perkara seperti ini patut dibawa ke perhatian kami untuk dibincangkan , tetapi kami tidak tahu mengenainya,”  beritahu Ahli Parlimen Selayang dari PKR itu kepada Malaysiakini petang semalam.

Leong berkata, walaupun berada dalam parti yang sama dengan Latheefa tetapi beliau menentang pelantikan itu kerana ahli politik tidak seharusnya mengetuai sebuah badan bebas seperti SPRM.

Kesimpulannya, rakyat sedang memerhati setiap gerak-geri Pakatan Harapan.  Perkara begini tentunya banyak menjejaskan keyakinan yang dulunya menyala bahawa Pakatan Harapan tidak seperti BN. Bagaimanapun dalam isu melantik orang politik,  Pakatan Harapan banyak mengikut jejak BN. Melantik Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM sama dengan Apandi Ali dilantik Peguam Negara.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *