LANGGAR ETIKA KEHAKIMAN: AGONG BOLEH TUBUH TRIBUNAL


Gambar dari Facebook Firdaus Wong Wai Hung

Oleh: Wartawan BebasNews

JIKA ada representasi daripada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal bagi memecat Ketua Hakim dan hakim-hakim yang melanggar etika akibat perlanggaran etika kehakiman seperti yang termaktub di dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, jika tidak boleh dipecat, suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar mengikut Perkara 125 tersebut.

Beliau menjelaskan, Perdana Menteri boleh membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 125 terhadap Ketua Hakim dan kepada Ketua Hakim terhadap hakim-hakim yang lain, mengikut etika berkenaan jika Perdana Menteri berfikir Ketua Hakim dan hakim-hakim tersebut wajar dipecat.

“Saya juga sedar terdapat beberapa daripada peguam dan badan eksekutif yang mempertahan insiden tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika.

“Jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (20 Januari).

Beliau berkata demikian ekoran video yang  tular menunjukkan Peguam Negara, Tommy Thomas; Ketua Hakim, Tan Sri Richard Malanjum; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menari twist di atas pentas pada majlis makan malam ‘Opening of Legal Year (OLY) 2019’ anjuran Sabah Law Society di Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat (18 Januari) lalu.

Insiden berkenaan telah menjadi perbahasan hangat semua pihak yang berpendapat, Peguam Negara, Ketua Hakim dan hakim-hakim yang melanggar etika kehakiman sewajarnya melepaskan jawatan masing-masing bagi mengekalkan serta dilihat mengekalkan integriti dan kebebasan badan kehakiman.

Mereka turut berpendirian bahawa kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menuntut tindakan tersebut memandangkan semasa menjadi pembangkang dulu, mereka adalah antara penyokong kuat lagi vokal yang mendesak peletakan jawatan dalam kes-kes pelanggaran etika yang serupa sebelum ini.

Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

Berikut adalah kenyataan penuh Zainul Rijal:

“Isu Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara, Menteri Undang-Undang dan Peguam Persendirian menari sepentas.

1. Saya dimaklumkan insiden yang tular di atas berlaku di Kota Kinabalu Sabah di majlis makan malam Opening of Legal Year (OLY) peringkat Sabah dan Sarawak. Video-video yang dapat diakses oleh saya menunjukkan penjawat-penjawat awam di atas bersama beberapa orang lain lagi menari sepentas semasa majlis makan malam tersebut.

2. OLY di Sabah dan Sarawak telah diadakan sejak dari 2001 lagi. Di Peringkat Persekutuan OLY juga diadakan. Kebiasaannya pada malam hari disusuli dengan majlis makan malam dihadiri oleh dif-dif kenamaan. Saya difahamkan majlis makan malam tidak diadakan pada peringkat Persekutuan pada tahun ini. Dalam majlis makan malam OLY Sabah dan Sarawak tersebut diadakan persembahan oleh pegawai dan peserta dari setiap bahagian yang hadir. Persembahan pula adalah pelbagai termasuk nyanyian dan tarian.

3. Adalah khilaf jika dikatakan disebabkan pertukaran Kerajaan Persekutuan acara ini diadakan kerana ia telah lama diadakan di Sabah dan Sarawak iaitu sejak 2001. Tuan rumah acara ini digilirkan mengikut rundingan bersama di Sabah dan Sarawak.

4. Dalam acara OLY 2019 ini setiap stesen mengadakan persembahan dan insiden yang berlaku adalah semasa persembahan tuan rumah. Majlis makan malam pula adalah norma lazim diadakan setiap tahun oleh badan kehakiman dan guaman sejak sekian lama.

5. Saya dimaklumkan beberapa dif kehormat termasuk Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang dijemput ke pentas untuk menjayakan bersama persembahan tuan rumah namun dikatakan tidak semua yang berada di pentas dijemput oleh penganjur ke pentas.

6. Manakala yang di bawah pentas pula bangun dan menari di samping memberi laluan kepada VVIP ke pentas.

7. Pada pandangan saya tidak menjadi kesalahan bagi pihak penganjur menganjurkan OLY 2019 dengan persembahan dari setiap bahagian bagi memeriahkan makan malam tersebut. Hal yang demikian adalah lazim dilakukan khususnya di Sabah dan Sarawak. Apatah lagi hanya yang dijemput sahaja yang hadir ke majlis berkenaan.

8. Bagi saya isunya bukanlah majlis makan malam dan persembahan yang diadakan itu tetapi persoalan mengapa individu-individu tertinggi badan kehakiman turut serta menari dan kelihatan bermesra dengan cabang kerajaan yang lain serta peguam persendirian yang seolah-olah memberi isyarat keakraban hubungan mereka sehingga mungkin boleh menjejaskan keadilan.

9. Saya mendesak Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan Peguam Negara menjelaskan kenapa mereka naik ke pentas dalam majlis rasmi seperti ini menari bersama sedangkan di pentas tersebut terdapat Menteri Persekutuan, Peguam Negara, peguam-peguam persendirian yang akan menimbulkan tohmah kepada institusi yang sedang mereka ketuai. Walaupun mereka dijemput ke pentas, bagi memelihara kesucian institusi yang mereka ketuai, sewajarnya mereka menolak jemputan tersebut kerana menimbulkan fitnah.

10. Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan.

11. Oleh itu jika kelihatan Hakim-Hakim sangat mesra menari bersama peguam di pentas yang sama ia akan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan orang awam.

12. Untuk penjelasan saya lampirkan di bawah ini sebahagian daripada Kod Etika Hakim 2009

Kewajipan mematuhi Kod:

4. (1) Seseorang hakim hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini.

4. (2) Pelanggaran mana-mana peruntukan yang ditetapkan dalam Kod ini boleh menyebabkan seseorang hakim dikenakan tindakan tatatertib mengikut peruntukan Kod ini.

Mendokong integriti dan kebebasan badan kehakiman:

5. Seseorang hakim hendaklah menjalankan fungsi kehakiman dengan bebas berdasarkan penilaian tentang fakta dan mengikut pemahamannya tentang undang-undang, bebas daripada apa-apa pengaruh luar, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak atau bagi apa-apa sebab.

Mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman:

6. (1) Seseorang hakim hendaklah pada setiap masa, berkelakuan mengikut cara yang menggalakkan integriti dan kesaksamaan badan kehakiman.

6. (2) Seseorang hakim tidak boleh:

(a) membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya

Dalam melaksanakan tugas-tugas kehakiman dengan adil dan cekap:

7. (8) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan mengikut cara yang tidak wajar sebagai seorang hakim atau yang boleh membawa atau dikira akan membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

Dalam bab mengurangkan risiko percanggahan dengan tanggungjawab kehakiman hakim semasa menjalankan aktivitu luar kehakiman:

8. (1) Seseorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak:

(a) menimbulkan keraguan yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim;

(2) Seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesional perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah

(7) Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan dengan cara yang boleh membawa nama buruk kepada jawatannya sebagai seorang hakim.

13. Adalah sangat jelas ketiga-tiga cabang iaitu Kehakiman (Ketua Hakim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak dan beberapa hakim lain) Executive (Menteri Undang-Undang) dan Legislatif (Peguam Negara yang menggubal undang-undang) ditambah pula dengan beberapa Peguam Persendirian menari dengan gembira berkongsi satu pentas bersama menimbulkan pelbagai tohmahan kepada pihak kehakiman. Persoalan juga timbul adakah insiden ini memberi isyarat prinsip pengasingan kuasa yang sekian lama diamalkan sudah pudar atau tidak lagi dipentingkan.

14. Walaupun pelanggaran etika seorang hakim mesti diadukan kepada Ketua Hakim pelanggaran etika Ketua Hakim mestilah diadukan kepadas Yang di-Pertuan Agong kerana Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Hakim.

15. Saya juga sedar terdapat beberapa kalangan daripada peguam dan badan eksekutif yang mempertahankan insiden tersebut dengan pelbagai alasan termasuk menjadi norma lazim para peguam dan hakim mengadakan majlis makan malam dan berdansa, tidak menimbulkan sebarang wasangka serta tiada perlanggaran etika. Jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini ialah dengan merujuk kepada Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

16. Oleh yang demikian aduan perlulah dibuat kepada Perdana Menteri agar membuat representasi kepada Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan terhadap Ketua Hakim dan kepada Ketua Hakim bagi Hakim-Hakim Yang lain mengikut etika berkenaan jika Perdana Menteri berfikir hakim-hakim tersebut wajar dipecat, sekiranya tidak tindakan lain menurut undang-undang perlu diambil. Walau bagaimanapun ketua hakim tidak boleh menghakimi aduan tersebut kerana beliau bersama-sama di dalam majlis berkenaan.

17. Yang di-Pertuan Agong boleh menubuhkan suatu tribunal jika suatu representasi dibuat oleh Perdana Menteri bagi memecat Hakim yang melanggar etika atau suatu tindakan menurut undang-undang juga boleh diambil sekiranya pemecatan bukanlah suatu yang wajar akibat perlanggaran etika kehakiman atau tidak, insiden yang ditularkan ini, mengikut Perkara 125 tersebut.

DATO’ HAJI ZAINAL RIJAL ABU BAKAR, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

— Dipetik dari portal BebasNews

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *