Oleh: Ku Seman Ku Hussain  (12.53 pm  19 Feb 2019)

Sejak empat lima hari ini tergeliat lidah makcik, pakcik dan tokwan di kampung menyebut istilah yang baru disogok kepada mereka – istito’ah.   Kepada bakal-bakal haji,  ini adalah istilah baru yang perlu mereka fahami secara teks dan subteksnya. Ini  kerana diulang-ulang sebutnya di media dan mulut birokrat agama khususnya berkaitan haji.

Terjemahan longgar istito’ah adalah kemampuan.  Tetapi secara psikologinya apabila istilah ini diulang-ulang hingga menjadi fenomena membawa maksud dan tujuan yang lain.  Ini adalah prinsip terkini Tabung Haji (TH) yakni mengerjakan haji berdasarkan kemampuan terutama kewangan.

Kesan pertama daripada istilah istito’ah ini ialah  tidak semua pengiring atau mahram yang menemami bakal haji tidak mendapat subsidi kos haji.  Kerajaan mengumumkan kos haji selepas subsidi tahun ini ialah RM9,980.  

Kerajaan memberi  subsidi  RM12,920. Perihal subsidi ini diulang-ulang daripada kerajaan ‘Malaysia Lama’ hingga ‘Malaysia Baru’  mungkin ‘Malaysia Terbaru’  lima tahun lagi.

Inilah antara yang barunya dalam Malaysia Baru –  subsidi kos haji untuk pengiring atau mahram tidak diberi secara automatik seperti ‘Malaysia Lama’.  Dengan berpaksikan prinsip istito’ah tadi, yang ‘berkemampuan’  silalah tanggung sendiri kos sebenar mengerjakan haji. Bersyukurlah dengan ‘pembaharuan’ ini.

Harus diingat,  ini baru permulaan prinsip istito’ah.  Pengiring haji yang sekitar 200 hingga 300 orang setahun itu tidak semuanya mendapat subsidi kos haji.  Kena baca secara subteks atau di sebalik teks, prinsip ini boleh digunakan untuk mewajarkan  semua bakal haji  akan kehilangan  subsidi kos haji.  Ini kerana yang tidak berkemampuan yakni membayar kos penuh,  tidak boleh mengerjakan haji, sangat bertepatan dengan istito’ah yang dijaja itu.

Tambahan pula kos subsidi tahun ini mencecah RM400 juta juga diulang-ulang sebut dan tulis supaya pakcik, makcik dan tokwan memahami  yang tersiratnya.  

Maka dicadangkan TH segeralah  menghapuskan semua subsidi kepada bakal haji, tidak kira yang ditawarkan giliran haji, yang merayu dan pengiring haji.  Semua sekali.

Cadangan ini sangat bertepatan dengan TH pada era ‘Malaysia Baru’  yang mengamalkan prinsip istito’ah.  Tambahan pula bakal haji yang diberikan subsidi kos haji menandakan mereka tidak berkemampuan.  

Kalau pengiring pun dijadikan ukuran kemampuan,  padahal perginya mereka bukan kerana suka-suka,  laksanakan sekaligus kepada semua bakal haji. Apakah bezanya bakal haji dan pengiring?

Pada 16 Februari, Bernama melaporkan seorang bakal haji di Sibu, Sarawak,  Hassan Udin dan isteri terpaksa menolak tawaran mengerjakan haji tahun ini kerana mahram iaitu anaknya terpaksa membayar kos tanpa subsidi RM22,900.  Mereka berdua memerlukan bantuan mahram kerana uzur.  Sedangkan kos selepas subsidi ialah RM9,980.

Hassan Udin bukan suka-suka membawa anaknya  mengerjakan haji tetapi disebabkan keadaan mereka yang uzur dan memerlukan bantuan sepanjang masa.  Maknanya keberadaan pengiring adalah sangat penting,  kalau tidak,  kedua-dua bakal haji tidak boleh mengerjakan haji.

Ini kontradik dengan kenyataan  Menteri Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof  yang disiarkan Bernama 16 Februari yang menafikan subsidi kepada pengiring di tarik balik.   Bernama melaporkan Dr Mujahid berkata, “Kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram. ”  

Dalam laporan Bernama juga Dr Mujahid berkata,  beliau  akan mengadakan pertemuan dengan TH bagi mencari mekanisme sesuai untuk menentukan pemberian subsidi bagi yang merayu atau pengiring mahram.  Begitu pula.

Kenyataan-kenyataan yang keluar  agak mengelirukan.  Bukankah lebih mudah kalau diringkaskan bahawa, “tidak semua pengiring diberi subsidi?”  Atau “kerajaan meneruskan seperti sebelum ini.”  Pantaslah sikit mengeluarkan ‘kenyataan rasmi’ .

Pegawai-pegawai media menteri juga perlu memainkan peranan menyediakan  teks yang ringkas, mudah dan tepat untuk dihadamkan oleh rakyat. Maklumat mesti dipermudahkan supaya dapat mengalir dengan lancar daripada birokrat kepada rakyat.  Pandu kenyataan dari mulut menteri supaya maklumat sampai dengan mudah kepada sasaran.

Nampaknya yang tular di media sosial adalah suatu yang benar selari dengan Facebook rasmi TH walaupun menteri tidak memberikan keyataan rasmi mengenai perkara ini.  Facebook rasmi dan TH telah melakukan yang betul,   terbaik dan pantas  menjawab kerisauan dan ketidaktentuan maklumat yang sampai kepada rakyat.

Oleh hal yang demikian Dr Mujahid   tidak perlu  apologetik untuk melaksanakan prinsip ‘istito’ah’  ini dengan  sepenuhnya. Hapus semua subsidi kos haji. Laksanakan. Dan TH dapat menjimatkan belanja RM400 juta setahun.

Lagipun itu masalah rakyat bukan masalah kerajaan.  Biarlah rakyat menyelesaikan sendiri masalah mereka.  Kerajaan bukan tidak tahu bahawa pemergian pengiring bukan ambil peluang atau suka-suka.  Tetapi kerajaan laksanakan juga pemotongan subsidi kepada pengiring. Kenapa?

 Jadi, kerajaan  tidak perlulah beriya-iya  supaya kelihatan memahami  masalah rakyat.  Tidak perlu. Lagi pun tidak elok lebih-lebihkan sangat  memahami  masalah orang Melayu dan Islam,  nanti apa kata pula kaum lain.  

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *