Kenyataan akhbar Siri Pameran Lukisan@Premiera 2 –  2019

Roslen Fadzil (kiri), Aishah Alli, Hudry Hayat dan Hayati Rashid.

Berikutan sambutan hebat terhadap  program Siri Pameran Lukisan@Premiera  2018 daripada pelukis mapan dan barisan pelukis muda yang terdiri daripada  pelajar Aswara dan UiTM Perak Sri Manjung,  penganjur, Mac Training Centre Sdn Bhd  dengan kerjasama rakan penganjur, Premiera Hotel Kuala Lumpur menganjurkan program yang sama tahun ini.

Siri Pameran Lukisan @Premiera 2 – 2019  bermula Januari hingga Disember tahun ini. Ia bertujuan  memberi ruang kepada lama dan baru untuk mempamerkan dan mempromosikan karya yang dihasilkan. Program ini juga dijangka dapat menyumbang menyemarakkan bidang seni lukis di negara ini.

Pameran lukisan  di satu ruang  di Coffee House,  Aras 5, Premiera Hotel Kuala Lumpur dan  Cafe@Premiera di Aras 1, Busana,  Menara Mara. Kedua-dua premis ini  dihiasi dengan karya-karya pelukis yang mempunyai nilai artistik yang unik.  Sekaligus dapat  mendekatkan masyarakat dengan hasil seni dan  mengetengahkan Premiera Hotel Kuala Lumpur sebagai salah satu pusat kesenian di Kuala Lumpur pada masa akan datang.

Program  pameran lukisan ini  turut merupakan  salah satu  tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mac Training Centre dan  rakan penganjur, Premiera Hotel Kuala Lumpur dalam usaha membantu pelukis professional,  lama dan baru bagi  mempromosikan karya mereka.

Pameran Lukisan@Premiera 2 – 2019 ini dibahagikan pada empat segmen di mana pelukis akan mempamerkan karya lukisan selama tiga bulan berturut-turut sepanjang tahun 2019. Pelukis juga digalakkan menjalankan aktiviti-aktiviti  sendiri di Coffee House,  Aras 5 dan di lobi Premiera Hotel Kuala Lumpur.

Samirah menyampaikan cenderamata kepada Roslen Fadzil sambil diperhatikan oleh Kamaruddin Kassim (kanan) dan rakan-rakan pelukis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran yang diadakan pada  Januari hingga Mac 2019   ini disertai oleh empat pelukis, Hudry  Hayat, Hayati Rashid,  Aishah Ali  dan Roslen Fadzil dengan tema The Journey.

Hudry Hayat merupakan pelukis sepenuh masa  sejak1990 menggunakan media cat minyak, akrilik. Karya beliau lebih cenderung pada  landskap kampung dengan memaparkan rumah-rumah Melayu dan  budaya Melayu di Nusantara.

Beliau mula melukis di Pasar Seni  pada tahun 1992 dan pada tahun 2007 pernah menjadi  pelukis residen  di Gajah-Gajah Galeri. Di sinilah beliau mendapat ilham untuk mencuba menghasilkan karya berunsur naive berkat didikan  pelukis tersohor Yusof Gajah. 

Sementara Hayati Rashid merupakan seorang peguam di Messrs. Hayati Rashid & Partners. Kesibukkan tidak menjadi penghalang beliau untuk terus berkarya. Baginya  melakar dan dan mencoret warna di atas kanvas adalah luahan rasa dan melempiaskan ketegangan otak kiri kepada otak kanan ke arah kreativiti. 

Sesuai sekali dengan dua ijazah yang diperolehnya, Seni Reka dan Senilukis (Seni Fesyen) dan Undang-undang,  kini sedang memulakan pembelajaran pascasiswazah. Begitulah kehidupan yang berwarna warni lebih bermakna dari hidup menanti usia. 

Pohon  mekar seperti kata-kata yang dilakar di atas kanvas menceritakan perjalanan kehidupan. Seorang yang mengemarkan gaya idealis, warna-warna terang dan mengaitkan alam menjadi inspirasinya. Kesemua karya seni ini boleh diperolehi di Ishq Hayati Art Gallery, Shah Alam.

Aishah Alli atau nama sebenar Nor Aishah  Alli  merupakan  graduan kejuruteraan awam dan struktur. Selepas tamat pengajian beliau menghabiskan lebih satu dekad bekerja dengan syarikat kejuruteraan terkemuka di Malaysia dan Qatar. 

Advertisement

Beliau mempunyai pengalaman selama 13 tahun sebagai pembantu teknikal kejuruteraan awam dan struktur. Berani menepis segala stigma, padaDisember 2016,  Aishah membuat keputusan untuk  melibatkan dalam seni lukis dengan menubuhkan Isyah Art Gallery. Aishah memilih konsep  ‘lantai hijau’ yang bermaksud air dan hutan kerana jiwanya yang begitu mencintai keindahan alam semulajadi.

Pada 24 November 2018, Aishah mengadakan pameran lukisan solo yang pertama dengan mempamerkan 56 buah lukisan cat minyak di Pameran Lukisan Solo Aishah di WK Bungalow, Petaling Jaya. 

Sementara itu Roslen Fadzil atau SlenFadzil  merupakan graduan  dalam jurusan pentadbiran dan undang-undang dari UiTM Arau, perlis. Beliau  mula melukis pada usia belasan tahun lagi dan pernah menjadi pelukis iklan di sebuah syarikat pengiklanan terkenal di Alor Setar selepas menduduki SPM. 

SlenFadzil juga pernah mengemudi projek lukisan mural di Sekolah Tunku Abdul Rahman Alor Setar dan kemudian menyertai pameran lukisan anjuran Angkatan Pelukis Kedah (APK) di Balai Seni Alor Setar pada lewat 1980-an. 

Apabila menjadi wartawan dan Editor Hiburan Harian Metro di NSTP dan Astro selama 27 tahun, SlenFadzil telah menjadikan lukisan sebagai hobinya. Beliau kembali aktif  sejak dua tahun lalu dengan menjual lukisan secara online. 

“Tiada ulu tiada parang. tiada dahulu tiada sekarang”.  Begitulah harapan Pengarah Urusan Mac Training Centre, Samirah Hambali dan juga Pengurus Besar Hotel Premiera Kuala Lumpur Kamarudin Kassim. Mereka berharap program ini mendapat sambutan dalam kalangan peminat, kolektor lukisan dan juga badan-badan korporat.

Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut boleh hubungi:

Samirah Hambali di talian 019 2975250 (MAC Training Centre Sdn. Bhd)

Roshaina Abdul Haris di talian 016 4982254 (Premiera Hotel Kuala Lumpur)

Facebook : Hotel Premiera Kuala Lumpur Instagram : @premierahotelkl

LamanWeb : www.premiera.com.my.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *