OLEH DR KAMARUL YUSOFF

Sejak penubuhan Jiao Zong pada 25 Disember 1951 dan Dong Zong pada 22 Ogos 1954, sudah terlalu banyak kerosakan yang berlaku kepada keharmonian dan perpaduan kaum.

Mungkin sebab inilah Dr Ang Ming Chee menanyakan soalan dalam tesis PhD beliau mengapa kerajaan Malaysia sehingga kini belum mengharamkan Jiao Zong dan Dong Zong.  

Tesis PhD beliau, bertajuk “Institutions and Social Mobilization: The Chinese Education Movement in Malaysia”, dihasilkan di National University of Singapore dan berwibawa.

Dengan ketebalan 389 muka surat, tesis PhD yang dikemukakan pada 2011 ini menyelusuri dengan teliti perkembangan gerakan pendidikan Cina di Malaya dan seterusnya Malaysia.

Diceritakan betapa imigran Cina melihat diri mereka sebagai satu kaum eksklusif dan hasrat untuk mengekalkan identiti Cina menjadi pendorong utama kepada penubuhan sekolah Cina. 

Diceritakan betapa hari ini, di luar China dan Taiwan, hanya Malaysia yang ada sistem pendidikan Cina yang lengkap dan negara tunggal di Asia Tenggara yang mengekalkannya.

Diceritakan betapa seawal 1920 lagi pemimpin Cina di Pulau Pinang dan Melaka telah menentang cubaan British mencampuri sekolah Cina tetapi penentangnya dibuang negara.

Diceritakan betapa Jiao Zong seterusnya Dong Zong telah menentang Penyata Barnes 1951, Ordinan Pelajaran 1952 dan 1957, Kertas Putih Pelajaran 1954 dan Penyata Razak 1956.

Lim Lian Geok pengasas Dong Zong imigran dari China

Diceritakan betapa penentangan ke atas Penyata Rahman Talib 1960 dan Akta Pelajaran 1961 diketuai oleh Lim Lian Geok, imigran Cina dari Fujian yang datang ke Malaysia pada 1927.

Diceritakan betapa ekoran penentangan ini, Lim Lian Geok, yang hanya diterima menjadi rakyat Malaysia pada 25 September 1951 ditarik balik kerakyatan beliau pada 12 Ogos 1961.

Diceritakan betapa Penasihat Jiao Zong dari Singapura, Yan Yuan Zhang, yang mempertahankan Lim Lian Geok ditegah dari memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong bergabung tenaga pada 1968 dan 1969 dalam Gerakan Universiti Merdeka dengan Pengerusi Dong Zong, Ye Hong En, mengetuainya.

Diceritakan betapa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan Jiao Zong dan Dong Zong membatalkan UEC pada 27 Oktober 1975 tetapi tidak diendahkan.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong menyerahkan petisyen mendesak penubuhan Universiti Merdeka kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1978 tetapi tidak diperkenankan.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong ini di mahkamah pada September 1980 tetapi berakhir dengan kekalahan pada Julai 1982.

Diceritakan betapa Jiao Zong, Dong Zong dan 13 Huatuan lain menentang Dasar Kebudayaan Negara dengan mengemukakan memorandum ke atasnya pada Mac 1983.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong menentang Rancangan Sekolah Integrasi pada Ogos 1985 yang mendorong ia diubah menjadi Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan.

Diceritakan betapa Jiao Zong, Dong Zong dan lebih 3,000 pemimpin Cina berkumpul di Gereja Tianhou pada Oktober 1987 bagi menentang pelantikan guru tidak berbahasa Cina.

Diceritakan betapa kerananya Pengerusi dan Naib Pengerusi Jiao Zong, Sim Mow Yu dan Thuang Pik King, Pengerusi Dong Zong, Lim Fong Seng, dan Kua Kia Soong ditahan ISA.

Diceritakan betapa Pengerusi Jiao Zong, Quek Suan Hiang, mengetuai Suqiu membuat 17 tuntutan bercorak perkauman kepada BN di saat BN memerlukan undi kaum Cina pada 1999.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong menentang Rancangan Sekolah Wawasan dengan menekan, melobi dan memujuk sekolah Cina supaya tidak menyertainya pada 2000.

Diceritakan betapa Jiao Zong dan Dong Zong menentang Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di semua sekolah rendah oleh kerajaan pada Mei 2002.

Diceritakan betapa bagi mengekal dan menambah keeksklusifan mereka, Jiao Zong dan Dong Zong hanya mengambil staf dari golongan bangsa Cina yang berpendidikan Cina sahaja.

Diceritakan betapa keeksklusifan mereka menghalang Jiao Zong dan Dong Zong dari mewujudkan pakatan antara kaum kerana halangan bahasa untuk mendekati kaum lain.

Tidak hairanlah bila mereka disebut sebagai rasis yang tidak suka kepada orang Melayu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bila menentang tulisan khat jawi di sekolah.

Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Ogos 2000  menyebut mereka sebagai “puak ekstremis” yang “tindakan mereka tidak banyak berbeza dengan tindakan komunis dahulu”.

Dirumuskan betapa Jiao Zong dan Dong Zong tidak diharamkan kerana kerajaan mahu mengelakkan kaum Cina dari menyokong kegiatan pengganas komunis dari 1949 hingga 1989.

Dirumuskan betapa Jiao Zong dan Dong Zong tidak diharamkan kerana kerajaan mahu mengelakkan dari menyakiti kaum Cina, dan hilang sokongan mereka, jika berbuat begitu.

Kini timbul keberanian supaya mereka diharamkan dengan petisyen KBRM inisiatif EXCO ARMADA BERSATU, Muzzammil Ismail, dan petisyen GPS sudah mengumpul lebih 80 ribu dan lebih 160 ribu tandatangan.

Sesuai sekali keberanian ini timbul kini dengan suasana rencam politik ditambah bila faktor mahu membendung sokongan kepada kegiatan pengganas komunis sudah tidak lagi relevan.

Ironinya mereka menyebut matlamat mereka mahu memupuk keharmonian dan perpaduan kaum sedangkan realitinya mereka dilihat merosakkan keharmonian dan perpaduan kaum.

Ditambah pula pemujaan Lim Lian Geok sebagai “Jiwa Budaya Cina Malaysia” (“Soul of the Malaysian Chinese”), LLG Cultural Development Centre dan Anugerah Semangat LLG.

Ditambah pula penobatan Lim Lian Geok sebagai “Nasionalis Malaysia Yang Tulen” setaraf Sasterawan Negara Datuk Usman Awang dan desakan agar kerakyatan beliau diberi kembali.

Walhalnya kajian sarjana Cina, Tan Liok Ee, sendiri menyebut Lim Lian Geok menentang peminggiran China dari buku teks sekolah dan mahu cuti hari kelahiran Sun Yat Sen dan Confucius!

  • DR KAMARUL YUSOFF adalah ahli akademik. Tulisan ini kali pertama disiarkan di laman Facebook beliau. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *