OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Konvensyen Perpaduan Ummah Nasional Ahad lalu telah menghantar mesej yang jelas lagi tegas kepada pihak-pihak tertentu terutama bukan Melayu bahawa segala tindak tanduk mereka yang mengoyak perpaduan sedang diperhatikan.  Gerak geri dan kelicikan mereka memutar belit sejarah dan menyalakan api perkauman dibongkar.

Mereka jangan ingat semua orang Melayu berada dalam zon selesa dan lena didendangkan dengan nyanyian lagu-lagu kebersamaan yang sebenarnya tidak sama sekali.  Banyak Melayu yang bangkit dan bertindak membangkit yang lain yang masih tidur.

Tindakan sesetengah pihak menggugah teras-teras kenegaraan sangat mencabar kesabaran orang Melayu. Perkara-perkara yang berkaitan Melayu, Islam, institusi Islam dan Raja-Raja Melayu sengaja diusik untuk melihat reaksi orang Melayu sebelum melangkah ke fasa seterusnya.  Tetapi awas,  mereka diperhatikan.

Tokoh-tokoh yang memberikan hujah dalam konvensyen  di Hotel Kuala Lumpur Internasional itu sependapat mengingatkan tentang modus operandi pihak tertentu yang mahu memecahkan kebersatuan orang Melayu Islam negara ini dan menggugahkan teras-teras kenegaraan.

Perubahan lanskap politik pasca Pilihan Raya Umum (PRU14) yang lalu menjadi pemangkin munculnya suara-suara onar  yang mencabar Perlembagaan,  institusi Islam, kedudukan orang Melayu, Islam sebagai Agama Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pada masa yang sama membawa masuk nilai-nilai dan ideologi yang bertentangan dengan Islam apabila dasar sesetengah pemimpin Melayu sendiri membuka ruang tolak ansur yang tidak masuk akal hingga Islam setaraf dengan agama lain. Gerakan terancang untuk memadamkan identiti Melayu dan Islam dilakukan secara terang-terang dan sangat mencabar kesabaran.

Maka suara penuh ketegasan yang dilontarkan dalam konvensyen ini menunjukkan dalam kalangan orang Melayu Islam bukan semuanya leka dan lena dalam lanskap baru politik Malaysia.  Mereka memerhati dan bangkit dengan suara sebagai pemberani demi ummah.

Aminuddin Yahya

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah,  Aminuddin Yahya,  mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan,  pejuang bahasa Datuk Dr Awang Sariyan dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Hassan Mad  senada menghantar mesej yang tegas kepada pihak yang membuat onar.

Aminuddin semasa memberikan ucaptama menegaskan, “Kalau orang Cina ada negara Chinanya, orang India ada negara Indianya kenapa orang Melayu hendak dihapuskan negaranya hanya disebut negara pelbagai kaum?”  Beliau menambah, “Tanah ini adalah tanah orang Melayu dan milik orang Melayu.”

Bunyi mesej ini agak keras tetapi itulah kenyataan sejarahnya. Walaupun ada pihak mengaku bahawa orang India penduduk terawal datang datang ke negara ini  tetapi ternyata mereka sengaja mengelirukan antara agama Hindu Buddha dengan orang India.

Aminuddin membentangkan enam ancaman yang perlu dihadapi oleh orang Melayu Islam negara ini yang semuanya menjurus pada pelunturan identiti, jatidiri dan yang paling besar menggugat pegangan Islam  dalam kalangan rakyat negara ini.  Caranya dengan mengecilkan Melayu daripada bangsa menjadi kaum yang setaraf dengan kaum lain,  mentafsirkan Islam mengikut logik akal dan berusaha menggugurkan ‘Islam’ dalam kad pengenalan.

Sudah tentu apabila Aminuddin berkata,  ‘tanah ini milik Melayu’,  pihak di sebelah sana akan memutar belit seolah-olah satu kenyataan perkauman. Hal ini diingatkan oleh Musa Hassan tentang taktik ‘diskriminasi terbalik’ yang digunakan untuk memperlihatkan seolah-olah  mereka ditindas.

Musa Hassan

Menurut Musa,  sejarah telah mencatatkan bahawa Malaysia merupakan tanah milik orang Melayu dan pihak tertentu terus mencetuskan  provokasi seolah-olah mereka menjadi mangsa penindasan orang Melayu.  Perkara inilah yang dijaja sejak dulu hingga sekarang walaupun kek kekayaan negara lebih banyak dimiliki oleh golongan ini.

Advertisement

“Sejarah menunjukkan tanah ini tanah orang Melayu.  Kita menentukan supaya kita boleh hidup bersama-sama dengan mereka (bukan Melayu). Tetapi sekarang mereka menggunakan taktik ‘diskriminasi terbalik’. Mereka kata ditindas oleh orang Melayu, ”  tegas Musa.

Beliau menasihatkan supaya orang Melayu Islam tidak terikut-ikut dengan rentak pihak yang sengaja semarakkan api perkauman,  jangan melatah atau naik semangat untk melakukan perkara yang salah di sisi undang-undang. “Kita perlu tenteram,”  pesan Musa ringkas.

Dr Awang Sariyan

Dr Awang Sariyan pula menegaskan bahawa Melayu adalah bangsa teras negara ini dan mempunyai tafrifan yang khusus  iaitu Melayu dan Islam dalam  Perlembagaan. Kaum-kaum lain tidak ada takrifan sedemikian yang menunjukkan kedudukan orang Melayu an Islam dipelihara oleh Perlembagaan.

“Jangan cuba merendah-rendahkan orang Melayu dan orang Melayu pula jangan segan silu untuk mengaku Melayu sebagai bangsa teras negara ini. Kalau malu,  itu bukan Melayu tetapi layu,”  ujar Dr Awang Sariyan.

Beliau  menangkis dakwaan seorang menteri bahawa orang India sudah datang ke negara ini  2,500 tahun dahulu berdasarkan tinggalan  sejarah Hindu Buddha di Lembah Bujang di Kedah.  “Beliau tidak tahu sejarah, kena masuk sekolah semula,”  sindir Dr Awang Sariyan lagi.

Menurut beliau, Islam adalah agama yang membawa perubahan bukan sahaja di negara ini tetapi di alam Melayu seluruhnya.  Perkara inilah yang membuktikan hubungan antara Melayu dan Islam di mana bahasa Melayu menyatukan lebih 500 etnik dan menerima Islam sebagai pegangan.

Hassan Mad pula menegaskan, Perlembagaan dan Wasiat Raja-Raja Melayu lebih menguntungkan bukan Melayu kerana kedua-duanya membenarkan mereka menetap secara sah generasi demi generasi di negara ini.  

Bagaimanapun beliau kesal kerana kedua-dua perkara itu,  Perlembagaan dan Wasiat Raja-Raja Melayu tidak dilaksanakan dengan sebaik-baiknya hingga mendatangkan kerugian kepada orang Melayu. keuntungan kepada bukan Melayu.

“Wasiat Raja-Raja Melayu mengandungi kontrak sosial yang tidak diwartakan hingga hari ini oleh British  kerana bukan Melayu tidak mempersetujuinya.  Apabila tidak diwartakan, maka sesetengah bukan Melayu pun angkuh dan menjadi kaduk naik junjung,”  tegasnya.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *