Berikut adalah titah penuh Yang Dipertuan Agong pada sambutan tahun baru Hijrah 1441 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaua (PICC) semalam.

Setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan segala kenikmatan dan mengizinkan kita untuk berhimpun pada pagi yang mulia ini.

Selawat serta salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wassalam serta kepada para sahabat dan keluarga Baginda.

Sambutan Maal Hijrah yang disambut pada setiap kali kedatangan tahun baru Hijrah, mengingatkan kita kepada peristiwa penghijrahan Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wassalam daripada Mekah ke Madinah.

Perjalanan Baginda yang melalui pelbagai dugaan dan rintangan telah dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala menerusi usaha Baginda sendiri. Peristiwa ini menyaksikan bagaimana Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wassalam telah membuat rancangan yang terperinci, mengurus risiko dengan baik dan turut melakukan hubungan kerjasama dengan pelbagai rakan strategik.

Natijahnya, perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala akan hanya datang setelah manusia berusaha berhijrah daripada yang buruk kepada yang baik, dan daripada mundur kepada kemajuan.

Peristiwa Hijrah ini wajib diyakini dan dijadikan iktibar untuk kita melangkah maju membentuk negara Malaysia yang aman makmur lagi sentosa.

Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan. Kerana itu Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wassalam mengingatkan kita dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang paling berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang yang gagal adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Manakala orang yang terpedaya adalah orang yang hari ini sama seperti semalam.”

Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada tahun ini ketibaan tahun baru Hijrah disambut satu hari selepas kita meraikan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan 62 tahun yang lalu, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan. Negara telah melalui pembangunan fizikal yang pesat. Peningkatan ekonomi yang mampan dan juga melalui kematangan lanskap politik.

Pada hemat saya, masih terdapat banyak ruang lagi untuk kita melakukan hijrah bersama-sama.

Pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan adalah satu aspek yang wajar dilaksanakan. Ini kerana pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.

Advertisement

Sehubungan itu, saya menyokong usaha-usaha untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin ilmu maqasid syariah. Melalui pendekatan ini, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak keburukan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini.

Selain itu, gagasan idea “Rahmatan Lil-Alamin” yang diketengahkan juga boleh membawa konsep hidup bermasyarakat kepada tahap yang lebih tinggi. Konsep ini telah dibawa oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahu ‘Alaihi Wassalam yang bersifat sejagat dan rahmat untuk seluruh alam.

Islam ialah agama yang menyemai kasih sayang kepada makhluk Allah Subhanahu Wata’ala. Sifat ini perlu dipupuk dalam setiap jiwa anak watan agar keharmonian dan perpaduan antara semua rakyat di negara kita akan dapat dipelihara.

Penghijrahan negara ke tahap yang lebih tinggi akan boleh dicapai melalui pembentukan semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum yang menjadi asas kukkuh kepada perpaduan negara.

Namun demikian, konsep ini tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama. Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.

Justeru, dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah Subhanahu Wata’ala.

Hadirin dan hadirat, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

Peristiwa Hijrah Rasululah Sollallahu ‘Alaihi Wassalam adalah lambang pengorbanan dan kejayaan yang wajar diteladani.

Bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah sama-sama kita seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk sebuah negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh.

Kita telah jauh mengorak langkah membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat. Kemerdekaan negara adalah merupakan satu nikmat dan rahmat kurniaan Allah Subhanahu Wata’ala. Sama-samalah kita memelihara nikmat dan rahmat ini buat bekalan kepada generasi yang akan datang.

Saya dan Raja Permaisuri Agong ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah dan berdoa negara dan seluruh rakyat jelata sentiasa berada di bawah perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *