OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

KUALA LUMPUR –   Dakwaan sasterawan  Mohamad Ghozali Abdul Rashid  (Malim Ghozali PK)  bahawa wujud campur tangan politik dalam  Anugerah Sastera Negara kali ini adalah sangat serius.  Dakwaan ini mesti ditangani dengan segera dan bijaksana oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Malim Ghozali PK juga mendakwa  akhbar BH pda 28 Mac melaporkan panel penilai yang dipengerusikan oleh Profesor Datuk Seri Dr Salleh Yaafar itu memilih satu daripada beberapa nama yang dikemukakan. Keputusan sebulat suara itu secara formalitinya akan dibentangkan kepada Dr Maszlee sebagai pengerusi Anugerah Sastera Negara.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Salahuddin Abang Shoekran dipetik dari BH  juga berkata,  keputusan Anugerah Sastera Negara telah diputuskan dan akan diumumkan pada Julai.

“Keputusan dicapai tidak berbelah bahagi dan saya yakin apabila diumumkan nanti, ia akan disambut baik khalayak sastera juga masyarakat umum,” katanya kepada BH 28 Mac 2019.  Kenyataan Ketua Pengarah DBP ini sekaligus menafikan ada kebocoran maklumat penjurian.

Dr Maszlee Malik (Gambar BH)

Daripada sumber-sumber tertentu yang boleh dipercayai pula media mendapat pengesahan bahawa satu nama yang dipilih secara sebulat suara itu adalah Malim Ghozali PK.

Tidak lama selepas itu pihak media menerima undangan ke majlis pengumuman akan dibuat pada 26 April di Putrajaya.  Bagaimanapun majlis itu ditangguhkan  tanpa sebab hingga semalam (3 September).  Dari garis masa ini menunjukkan satu nama itu sudah ada tetapi pada 9 Ogos diadakan satu mesyuarat lagi dengan penambahan dua panel penilai.

Dr Maszlee mesti menyuraikan kekusutan dan misteri “keputusan” yang dibuat pada Mac dan “keputusan” yang dibuat pada 9 Ogos?  Adakah benar dakwaan Malim Ghozali PK bahawa keputusan pada Mac itu diubah kepada nama lain?

Dr Maszlee juga  (selari dengan dasar kerajaan yang mengamalkan ketelusan)  mengakui atau menafikan satu nama yang diputuskan secara sebulan suara itu adalah Malim Ghozali PK.  Dakwaan Malim Ghozali PK boleh mengikis keyakinan umum sekiranya dijawab secara “retorik politik”  yang tidak tepat pada inti persoalan.

Dr Maszlee juga mesti menjawab kewajaran membawa masuk dua panel iaitu selepas kumpulan panel  yang sebelum ini membuat pemilihan. Adakah  mesyuarat pada 9 Ogos itu memperoleh  nama baru untuk diangkat sebagai Sasterawan Negara?

Advertisement
Malim Ghozali PK (Gambar Malaysia Gazette)

Ekoran kontroversi dua panel juri tersebut,  akhbar BH  melaporkan  Sasterawan Negara Datuk A Samad Said kecewa dengan isu berkenaan. Kata A Samad, “Sekiranya saya menjadi pemenang itu (yang kedua),  saya akan menolaknya,”  (dipetik daripada BH).

Dakwaan Malim Ghozali PK tidak semestinya benar  dan tugas Dr Maszlee ialah menjawab dakwaan-dakwaan itu.  Kalau tidak betul jawab sahaja tidak betul, bukan sukar sangat untuk menunjukkan ketelusan.  Semua kunci kini di tangan Dr Maszlee,  umum hanya mengharapkan kunci itu dimanfaatkan supaya segala dakwaan Malim Ghozali PK itu dijawab dengan penuh tanggungjawab.

Dr Siti Zainon Ismail (Gambar DBP)

Semalam Dr Maszlee mengumumkan  sasterawan dan budayawan Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara ke 14.  Dr Siti Zainon memang tidak dinafikan layak menerima anugerah itu, malah sepatutnya sebelum ini telah menerimanya.

Beliau banyak menyumbang karya dalam bentuk sastera, kegiatan kebudayaan, melukis  dan kerjayanya sebagai seorang ahli akademik sebelum itu telah membawa nama  Dr Siti Zainon ke luar negara.  

Dr Siti Zainon juga merupakan aktivis yang bergiat dalam  Anak Alam pada tahun 1970-an hingga 1980-an bersama-sama pelukis bertaraf dunia Latiff Mohidin,  penyair A Ghafar Ibrahim (AGI),  Pyanhabib, Allahyarham Khalid Salleh dan banyak lagi. 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Tahniah Dr Siti Zainon, Dr Maszlee sila jawab”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *