KUALA LUMPUR, 25 Nov – Seorang tahanan reman ditemukan mati tergantung dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor memberitahu Bernama, lelaki berumur 29 tahun itu ditahan pada Rabu di Kampung Perlis, Butterworth bersama rakannya berumur 38 tahun. Mereka direman selama tujuh hari, sejak Khamis dan kes mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Lelaki itu ditempatkan di dalam lokap bersama enam tahanan lain dan dia dijumpai tergantung pada jeriji kira-kira pukul 4 pagi Jumaat oleh seorang tahanan (yang terjaga daripada tidur) sebelum memaklumkan kepada polis. Semasa kejadian, semua tahanan lain di dalam lokap itu sedang tidur,” katanya kepada wartawan.

Beliau memberitahu, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan laporan pakar patologi mendapati kematian tahanan berkenaan tiada unsur jenayah.

Noorzainy berkata, lokap itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis sedang meneliti rakaman itu dari pelbagai sudut untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Advertisement

“Pihak polis menjalankan siasatan dalaman dan menyeluruh berhubung kejadian itu untuk melihat jika terdapat unsur kecuaian. Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak betul dan biar kami jalankan siasatan secara terperinci terlebih dahulu,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, polis turut menerima laporan polis dibuat keluarga lelaki itu yang meminta pihaknya menyiasat sebab kematian tahanan berkenaan ketika berada di bawah jagaan polis.

“Saya beri jaminan polis menjalankan siasatan secara adil dan akan mengambil tindakan tegas jika terdapat kecuaian atau jenayah,” katanya mengenai kematian tahanan yang positif dadah ketika ditahan.

Beliau berkata, selain merekodkan keterangan enam tahanan yang berada di dalam lokap bersama lelaki itu, polis turut mengambil keterangan ayah dan abang sulung tahanan itu bagi membantu siasatan kejadian itu. 

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *