OLEH DR ANUAR AHMAD

Kata Timbalan Menteri Pendidikan,  Teo Nie Ching, jangan buang masa cabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini. Kata beliau lagi, “Itu kerja membazir”.

Mungkin ada baiknya sebelum kata ‘membuang masa’ atau ‘membazir’, Timbalan Menteri Pendidikan kena baca dulu buku biografi Lee Kuan Yew (LKY) pemimpin PAP Singapura yang  ‘DNA’ nya ada dalam  DAP di Malaysia, From Third World To First.

Apa yang LKY buat pada sistem pendidikan bila jadi Perdana Menteri ? Dia tidak buang masa dan terus memansuhkan sekolah Cina di Singapura. 

Bacalah supaya lebih faham letak duduk pendidikan vernakular dalam sebuah negara yang merdeka. Belajarlah dari LKY. Bukankah LKY adalah sosok idola yang dipuja oleh pimpinan DAP sejak dulu? 

LKY sangat strategik dalam menguruskan pendidikan orang Cina di Singapura. Beliau tahu orang Cina akan bantah kalau mereka tahu beliau mahu sekolah Cina ditutup. Jadi beliau mulakan perancangan di peringkat universiti dahulu. 

Sekolah vernakular telah membantutkan sistem pendidikan di negara ini tetapi tiada usaha untuk membubarkannya. (GAMBAR HIASAN)

Sekitar tahun 1970-an, LKY berusaha untuk menjadikan dua buah universiti di pulau itu sebagai universiti yang menggunakan bahasa Inggeris. Akhirnya beliau berjaya. 

Bermula dengan University of Singapore yang memang telah menggunakan bahasa Inggeris, beliau tidak mendapat banyak tentangan, diikuti pula dengan Nanyang University (NANTAH)- sekarang kampus NTU. 

Di NANTAH beliau menerima tentangan hebat  daripada pensyarah dan pelajar. Malah dalam kalangan Ahli Parlimen parti PAP sendiri yang mahu Bahasa Cina dikekalkan. LKY bertahan dan akhirnya beliau berjaya. LKY tetap berkeras untuk menjadikan NANTAH sebuah universiti yang tidak lagi menggunakan bahasa Cina sebaliknya menggunakan bahasa Inggeris. 

Bagi menjayakan usaha tersebut, University of Singapura dan Nanyang University telah digabungkan menjadi National University of Singapore ( NUS). Kampus asal Nanyang University diberikan kepada NTU. 

Pada masa yang sama, beliau mula secara perlahan-lahan menarik ibubapa masyarakat Cina untuk menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris. 

Rancangan LKY ialah untuk Singapura menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan secara perlahan-lahan menutup semua sekolah aliran Cina di Singapura dan mengantikannya dengan sekolah satu aliran persekolahan yang menyediakan pelbagai bahasa. 

Beliau mahu menjadikan satu aliran sekolah di Singapura yang menggunakan empat bahasa secara bersama. Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan Bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa matapelajaran. 

LKY telah ditentang hebat oleh para chauvanis Cina yang mahu mempertahankan sekolah Cina. LKY berkeras untuk menutup sekolah Cina kerana pada beliau ,  sekolah Cina adalah pusat perkembangan ideologi komunis di Singapura ketika itu. 

Malah beliau pernah menulis di dalam memoir beliau bahawa menghapuskan sekolah Cina jauh lebih penting daripada menghapuskan gerakan komunis itu sendiri. LKY seorang yang berbangsa Cina. Mengapa beliau sendiri mahu menghapuskan sekolah Cina dan membina satu aliran pendidikan pelbagai bahasa? 

Ada tiga sebab. 

Pertama, beliau mahu membangunkan seluruh warganegara Singapura yang ada kebersamaan untuk cintakan tanah air Singapura sepenuhnya. Sekolah satu aliran adalah asas kepada membina kebersamaan tersebut. 

Advertisement

Kedua, sekolah Cina ketika itu sukar dikawal kerana sentiasa terdedah kepada bahan bacaan propaganda komunis. Dengan menjadikan semua sekolah dalam satu aliran pendidikan, anasir komunis dapat dibendungkan dari peringkat pada awal. 

Ketiga, LKY tahu akan kepentingan bahasa Inggeris dalam menjadikan rakyat Singapura kompetatif di peringkat antarabangsa. Dengan saiz Singapura yang kecil dan tiada sumber alam, satu satunya cara untuk memajukan Singapura ialah dengan memajukan pendidikan rakyatnya. 

LKY mahu sumber manusia Singapura menjadi kompetatif. Caranya dengan membangunkan sistem pendidikan negara yang berkualiti dan juga menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pendidikan. 

Beliau tahu usaha beliau untuk menutup sekolah Cina pasti akan menjadikan beliau seorang pemimpin yang tidak popular di Singapura. Malah beliau sendiri menulis bahawa beliau tahu risiko akan kalah dalam pilihan raya jika usaha ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Cina di Singapura. Tetapi LKY teruskan juga walaupun tahu akibat dari perbuatan beliau.

Sila like fb page kuseman.com

Pada masa yang sama, beliau menerima tekanan bila  penutupan sekolah Cina dan digantikan dengan sekolah satu aliran yang menggunakan pelbagai bahasa menyebabkan ramai penentang LKY yang terpaksa ditangkap. 

LKY sebenarnya betul dalam tindakan beliau berkaitan membina semula sistem pendidikan Singapura. Sejak disatukan semua sekolah Singapura menjadi satu aliran lebih 40 tahun lalu, hari ini pelajar berbagai kaum khususnya Melayu, Cina dan India belajar bersama. 

Apa hasilnya? Singapura mampu memberikan fokus kepada pembangunan sistem pendidikan mereka. Sistem pendidikan Singapura telah  menjadi yang terbaik di dunia sejak OECD membuat penilaian PISA dan Timms yang  bermula dari tahun 2005. Mereka nampaknya sudah jelas hala tuju pendidikan untuk generasi muda Singapura. 

Bagaimana dengan sistem pendidikan negara kita? Di mana kedudukan sistem pendidikan Malaysia? Apa hala tuju pendidikan negara ini? Apakah sistem pendidikan vernakular akan terus kekal menjadi isu yang tidak bersudahan? Setiap masa dan ketika dibincang, dibincang dan dibincang lagi.

Melihat kepada sistem pendidikan negara kita hari ini ibaratnya kita seperti sedang menanggung ‘batu besar’ di atas bahu. Kerana beban berat ini, sistem pendidikan negara kita bergerak terlalu perlahan di saat orang lain sedang berlari laju. 

Selain Singapura, Vietnam dan Thailand juga semakin laju membangunkan sistem pendidikan negara mereka. Setelah 62 tahun merdeka, kita seperti tidak mampu berlari laju kerana terpaksa menanggung ‘beban sejarah pendidikan vernakular’ yang tidak pernah selesai. Sampai bila?

*  DR ANUAR AHMAD adalah ahli akademik. Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Sekolah vernakular bantut sistem pendidikan negara”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *