OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

Sejak semalam, portal-portal berita dan media sosial penuh dengan perihal rakaman yang didakwa suara bekas Perdana Menteri, Najib Razak. Rakaman suara ini didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang medianya.

Ada yang membuat transkripsi rakaman itu kemudian tular di media sosial. Mereka percaya bulat-bulat kerana selari dengan anutan politiknya. Malah tidak kurang juga menjadi bahan parodi dan semuanya ini menunjukkan betapa rendahnya susila dan pekerti sebahagian dalam kalangan kita.

Pada sidang media itu Latheefa Koya mengesahkan rakaman itu ‘sahih’, yakni suara-suara dalam rakaman itu adalah pemilik individu yang disebutkan, antaranya Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad serta beberapa lagi.

Latheefa Koya (Gambar The Star)

Persoalan penting yang ditanyakan oleh banyak pihak terutama dalam kalangan pengamal undang-undang ialah apa perlunya mendedahkan kepada orang awam? Kenapa tidak serahkan sahaja kepada mahkamah? Kenapa dibentangkan kepada media (walaupun sebahagian rakaman)?

Media tidak boleh berbuat apa-apa terhadap rakaman yang didakwa ‘sahih’ itu, kecuali memanjangkan tindakan yang disebut sebagai ‘perbicaraan di media’ (trial by media). Ini bertentangan dengan slogan kerajaan sekarang yang mentadbir mengikut prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law).

Pendedahan rakaman ini adalah tidak berpelembagaan apabila ada pihak selain mahkamah mendakwa bukti baru ditemui adalah ‘sahih’. Kalau mengikut prinsip rule of law hanya mahkamah yang menentukan sahih atau tidak.

Najib Razak (Gambar The Star)
Rosmah Mansor (Gambar The Star)

Maka hari ini Najib pum dihukum oleh ‘perbicaraan di media’ berkaitan kes 1MDB dan SRC International yang masih dibicarakan di mahkamah. Orang awam menjadi keliru mahkamah mana satukah yang hendak dipercayai? Mahkamah SPRM atau mahkamah yang mendokong prinsip kedaulatan undang-undang?

Oleh yang demikian, tindakan Latheefa Koya mendedah telah melanggar batas moral dan tidak tepat di sisi undang-undang.

Sepatutnya Latheefa Koya menyerahkan bahan bukti itu kepada polis (bukan mengajar itik berenang) supaya polis boleh membuat siasatan.

Ini penting sekiranya dalam siasatan dapati wujud jenayah lain di luar Akta SPRM, polis boleh bertindak. Bagaimanapun Latheefa Koya masih boleh membuat sidang media (yang sesetengah pihak anggap sidang media sebagai KPI di mata ketua mereka) mengumumkan bukti baru berbentuk rakaman suara.

Tidak perlu memperdengarkan kepada wartawan kemudian tular dengan persepsi yang berbagai-bagai di media sosial. Kalau buat sidang media mengumumkan bukti baru itu pun sudah cukup memberitahu yang SPRM memang membuat kerja.

Ini kerana tindakan mendedahkan bukti secara memperdengarkan atau mempertontonkan isu kandungan berpotensi membunuh karakter nama-nama yang dikaitkan dengan bukti tersebut. Tambahan pula kenyataan-kenyataan menekankan sahihnya bukti itu, lebih tinggilah tahap kemusnahan karakternya.

Maka tindakan Latheefa Koya dalam isu mendedahkan rakaman kepada orang awam ini semacam tidak ada beza dengan tiga individu yang menayangkan video seks individu yang individu didakwa sebagai Anwar Ibrahim beberapa tahun lalu.

Malah tidak ada bezanya juga dengan seorang individu yang dengan bangga mengaku melakukan hubungan luar tabii  dengan individu yang didakwa Azmin Ali selepas menyebarkan video berkenaan.  Kedua-dua kes ini adalah mainan politik murahan dan banyak orang faham tujuan mereka sebagai juak-juak politik.

Mereka membuat pendedahan itu untuk membunuh karakter individu yang disasarkan. Mereka tahu bahawa pendedahan ‘sensasi’ itu yang hanya berlegar di media sosial dan tidak memberikan implikasi undang-undang terhadap individu yang disasarkan. Matlamat mereka ialah untuk membunuh karakter.

Sepatutnya SPRM tidak berada dalam kelas yang disebutkan di atas tadi. Ini kelas murahan dan bertujuan politik. SPRM mesti mengangkat darjatnya pada kedudukan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun pendedahan yang sangat ‘sensasi’ semalam membuatkan SPRM hilang wibawa. Seolah-olah setaraf dengan juak-juak politik murahan yang berkeliaran di media sosial. SPRM telah memberikan isyarat yang tidak tepat mengenai prinsip kedaulatan undang-undang. – KUSEMAN.COM

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *