OLEH RAZALI AWANG

PADA era moden ini seperti tidak munasabah masih ada golongan  manusia yang tidak bertamadun  membakar manusia lain hidup-hidup. Tetapi itu berlaku di New Delhi, India apabila penganut Hindu membakar hidup-hidup penganut Islam. 

Walaupun begitu pemimpin India tidak melihat ini suatu yang perlu dibanteras dengan serta merta. Sebaliknya mereka berlengah-lengah kerana prasangka agama antara Hindu dan Islam masih tebal dalam kalangan pemimpin beragama Hindu.

Mereka membiarkan orang Hindu membakar dan mencederakan orang Islam  dan menjadi tular di media antarabangsa. Seolah-olah para pemimpin yang beragama Hindu memejamkan mata daripada melihat punahnya nilai-nilai manusia dalam kalangan Hindu.

Pemimpin India ternyata tidak pernah belajar untuk menjadi bertamadun dengan melihat ke luar dari India – melihat  diaspora India di negara-negara lain yang dilayan dengan begitu baik sekali waima negara Islam.  Kemanusian tidak ada batas agama, keturunan dan warna kulit.

Narendra Modi (Gambar TelegraphIndia.com)

Memang benar India sebuah negara dominasi Hindu yang terbesar di dunia. Tetapi ini tidak menghalalkan mereka menjadi barbarian yang tidak berperikemanusiaan terhadap penganut Islam yang minoriti di negara berkenaan.

Di New Delhi minggu lalu berlaku pembunuhan beramai-ramai mengorbankan 44 orang dan mencederakan lebih 200 yang lain.  Dilakukan oleh penganut Hindu yang ekstrem terhadap Islam dan semacam tidak ada usaha yang proaktif daripada pihak berkuasa untuk membendung sekaligus membanteras.

Apakah yang Perdana Menteri India, Narendra Modi lakukan untuk menghentikan keganasan Hindu terhadap Islam di India?  Ternyata Modi tidak berbuat apa-apa yang membawa maksud seolah-olah beliau merestui pembantaian yang kejam itu.

Segala bukti ada di depan mata dan tular di semua saluran media sosial  di luar negara namun kekejaman ini  masih berleluasa. Dalam erti kata lain mereka masih bebas dan hanya menunggu masa untuk mengulangi kejahatan yang sama.

Angkara keganasan penganut Hindu di New Delhi yang membakar penganut Islam. (Gambar India Muslim)

Sehingga ke saat ini, Modi tidak mengambil sebarang langkah tegas untuk membendung kejadian seperti itu dari berulang.

Dalam laporannya, The New York Times, Modi dipetik sebagai berkata keganasan yang berlaku adalah secara spontan.

Jika tidak dijangka sekalipun, dengan jumlah anggota keselamatan yang ramai serta teknologi perisikan yang canggih,  tentu tidak mengambil masa untuk dikawal. Ironinya  dalam konflik di Kashmir dengan sekelip mata kerajaan pusat di bawah Modi bertindak.  Apakah kerana yang terlibat di Kashmir itu Hindu?

Satu dunia tahu betapa Modi selama ini bersekongkol dengan pengganas Hindu kerana tanpa mereka Modi tidak akan berada di Rashtrapati Bhavan, kediaman presiden yang menjadi simbol negara demokrasi terbesar di dunia.

“Penyokong kerajaan merasa dapat melakukan pelbagai jenis jenayah, kerana mereka mempunyai perlindungan politik,” kata Meenakshi Ganguly, Pengarah Human Rights Watch bagi Asia Selatan ketika mengulas keganasan itu.

‘Hindutva’ yang menjadi teras Bharatiya Janata Party (BJP) memberi impak besar populariti Modi di kaca mata penganut Hindu sehingga dilihat memberi mereka lesen untuk bertindak sesuka hati ke atas  warga yang tidak segama dengan mereka.

Melalui ideologi itu, parti pemerintah berusaha menjadikan Hindu sebagai teras negara India. Ia sesuatu yang bercanggah dengan sama sekali dengan penubuhannya lebih 70 tahun lalu yang berasaskan dasar sama rata dan kepelbagaian kaum serta agama.

Kini segala impian pengasas negara itu, Mahatma Gandhi untuk melihat India makmur atas prinsip Swaraj atau kesaksamaan sedang dimusnah Modi dan konco-konconya.

Insiden mutakhir di New Delhi menjadi siri baru dasar nasionalis Hindu selepas segala kejahatan yang sama ke atas umat Islam di Kashmir pada Ogos 2019 berjaya ‘ditutup’.  Rule of law pun dikebumikan dengan selamatnya.

Dalam kejadian minggu lalu yang meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa dan mencedera hampir 200 orang, Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) sekadar mengecam dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan hanya mampu mengutuk. Sekadar retorik sahaja tanpa usaha proktif.

Itu cerita di India, belum lagi nasib minoriti Uighur di China serta kebuluran di Yemen dan pembunuhan berterusan regim Bashar al Assad ke atas orang awam di utara Syria.

Percaturan politik tempatan pada minggu lalu juga menyebabkan masyarakat Islam di tanah air terlepas pandang dengan pembunuhan ke atas masyarakat Islam di New Delhi kerana ketika itu kita ralit dengan perebutan jawatan Perdana Menteri Malaysia kelapan. 

Tetapi yang sangat peliknya, ada sesetengah pihak dalam kalangan warga tempatan berkiblatkan Modi di India bukan pemimpin negara yang dihuninya.   Seolah-olah hanya jasad sahaja di Malaysia tetapi jiwa dan kesetiaan  di India.  

  • RAZALI AWANG adalah sukarelawan Media Syria Care yang menulis untuk KUSEMAN.COM. Hari ini (4 Mac) beliau menyeberang masuk ke Syria untuk misi kemanusiaan dan membuat liputan.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *