Orang ramai berpusu-pusu balik ke kampung ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan malam tadi. (Gambar Bernama)

OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN

SIKAP sesetengah daripada kita sebenarnya lebih bahaya daripada Covid-19 yang diperangi sekarang.  Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah pendekatan terbaik memutus penularan yang disebabkan pergerakan manusia.

Perintah dikuatkuasakan hari ini hingga 31 Mac.  Ini bukan Perintah Berkurung, juga bukan ‘Cuti-Cuti Malaysia’  untuk bawa segala anak pinak balik ke kampung.  Ini ‘kurantin’.  Tetapi diberi kelonggaran  keluar rumah misalnya untuk mendapatkan bahan makanan.

Virus Covid-19 amat bahaya.  Kes pula terus meningkat walaupun baru dua kematian. Memandangkan tahap bahaya virus ini,  perintah ini tidaklah membebankan.  Tetapi tidak boleh pula diambil sambil lewa hingga menyimpang matlamatnya.

Tetapi malam tadi,  kita diperlihatkan sikap sesetengah dalam kalangan masyarakat yang tidak bertanggungjawab – kepada diri dan juga orang lain. Mereka berpusu-pusu menyerbu ke balai polis untuk mendapatkan surat pelepasan rentas negeri.

Kalau Perintah Kawalan Pergerakan ini tidak berjaya mengekang penularan, sebahagian kegagalan ini disumbangkan oleh mereka yang menyalahgunakan tradisi balik kampung.  Kalau selepas ini kawasan di luar Lembah Kelang diserang virus Covid-19, inilah hasil sikap degil untuk balik ke kampung dalam keadaan yang genting ini.

Matlamat tindakan kerajaan  untuk menghalang pergerakaan manusia yang berkemungkinan menularkan virus ke kawasan lain di negara ini. Tetapi apabila orang ramai berpusu-pusu di balai polis dan stesen bas untuk balik ke kampung,  perintah ini telah dicabar dan nyawa orang lain diperemehkan.

Perintah Kawalan Pergerakan menjadi pesta balik ke kampung (Gambar Harian Metro)

Sebenarnya larangan yang terkandung  semasa perintah ini dikuatkuasakan  bukanlah terlalu ketat. Masih ada kelonggaran misalnya  kalau ada kematian, orang ramai boleh memohon surat pelepasan rentasi negeri daripada polis.  Tetapi apabila orang ramai seperti hendak balik raya di kampung, adakah semuanya ada kematian?

Apakah orang ramai tidak cukup maklumat mengenai bahaya Covid-19?  Ini ada kemungkinannya walaupun daripada populasi 32 juta orang,  21 juta daripadanya memiliki telefon pintar.  Tidak semua memanfaatkan telefon pintar untuk mendapatkan maklumat.

Sebahagiannya berminat menjadi ‘hamba’ media sosial yang mengkucar-kacirkan maklumat. Kalau mereka mendapat maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai Covid-19, sudah tentu tidak berlaku gelombang balik ke kampung malam tadi. Macam tidak ada rasa bersalah.

Kalau mereka tidak mencari maklumat daripada telefon pintar, apa sebenarnya yang dicari? Adakah sekadar saling berkongsi video kelakar bodoh, berita palsu dan petua-petua pseudosains yang entah oleh siapa-siapa? Kalau begitu, kita memang dalam bahaya.

Berjaya atau tidak Perintah Kawalan Pergerakan bukan sahaja terletak pada birokrat, tetapi juga kesedaran dan kerjasama masyarakat. Seperti malam tadi, apabila oang ramai menyerbu ke balai polis dengan jumlah yang tidak munasabah, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador terpaksa menarik sementara larangan rentas negeri.

Memang benar tindakan Ketua Polis Negara sedikit menjejaskan matlamat mengekang pergerakan manusia antara negeri dan wilayah. Tetapi sekiranya arahan tidak ditarik untuk sementara waktu,  ‘perhimpunan’ di balai polis pula memungkinkan penularan.

Sikap orang ramai yang sewenang-wenang untuk bergerak daripada tempat tinggal ini juga tidak adil kepada orang lain yang bersungguh-sungguh mematuhi arahan. 

Sementara itu Kementerian Pengajian Tinggi kelihatan tidak cukup bersedia  dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Buktinya kementerian hanya mengeluarkan arahan kepada pelajar boleh terus tinggal di asrama  pada pukul 5 petang semalam (17 Mac).  Sedangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan pukul 10 malam 16 Mac.

Kenapa kementerian berkenaan tidak mengeluarkan arahan itu lebih awal, sebaik selepas pengumuman oleh Perdana Menteri?  Kenapa mengambil masa hampir 16 jam untuk membuat arahan kepada pelajar-pelajar penghuni asrama di seluruh negara?  Ketiadaan arahan terus tinggal di asmara mencetuskan cemas dan mereka terpaksa balik ke rumah keluarga.

Pergerakan beratus ribu pelajar di seluruh negara untuk pulang bercanggah dengan matlamat perintah ini.  Tetapi itu sahaja pilihan terbaik  mereka apabila kementerian menutup semua institusi pengajian tinggi awam.  Mustahil pelajar ini tidur di kaki lima. Pelajar ini juga antara yang berpusu-pusu di balai polis untuk mendapat surat kebenaran rentas negeri.

Bayangkan kalau kementerian memberikan arahan lebih awal supaya pelajar terus tinggal di asmara dan orang ramai tidak menganjurkan pesta balik kampung,  sudah tentu kesan terbaik daripada Perintah Kawalan Pergerakan dapat dimanfaat oleh semua.

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *