OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN
BERDEPAN wabak seperti Covid-19 adalah suatu yang baru dan tidak mudah. Setidak-tidaknya sepanjang alaf baru, inilah pengalaman yang paling getir menangani wabak yang menular begitu pantas ke seluruh pelosok dunia. Malaysia juga tidak terkecuali.
Banyak negara maju berdepan kekurangan peralatan dan hospital. Sementara di negara-negara yang membangun pula kurang bersiapsiaga kerana gambaran awal tidak memperjelaskan kesannya yang sangat teruk. Banyak terpinga-pinga dan virus tidak mengambil masa untuk tular merentas garis geografi dan diplomatik.
Negara ‘super power’ yang maju seperti Amerika Syarikat (AS) sendiri terjebak dalam keadaan tidak bersiapsiaga. Pegurusan untuk berdepan dengan krisis Covid-19 bercempera, arahan tidak jelas dan Presiden Donald Trump masih bermain sentimen geopolitik dengan China.
Hanya sehari dua ini AS kelihatan agak cemas. Angka kematian tiba-tiba mendadak, ventilator (alat bantuan penafasan) pula tidak mencukupi. Untuk dihasilkan bukan sahaja mengambil masa tetapi berdepan kerenah kapitalis. Kerajaan dipaksa menghulur dana.
Siapa menjangka negara ‘super power’ dengan kecanggihan teknologi pertahanan boleh menjadi lintang pukang apabila berdepan dengan wabak Covid-19. Bayangkan negara kaya dan berteknologi tinggi itu berdepan dengan kekurangan ventilator, bagaimana dengan yang miskin?
Trump terpaksa mengarahkan kerajaan membantu syarikat-syarikat yang mengeluarkan alat berkenaan. Ini hampir tidak masuk akal sama sekali.
Satu memo dikeluarkan oleh White House mengarahkan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia membantu menyediakan material ventilator kepada enam syarikat.
Enam syarikat itu ialah General Electric Co, Hill-Rom Holdings Inc, Medtronic Plc, Resmed Inc, Royal Philips N.V. dan Vyaire Medical Inc. Ibarat memasang lukah di genting, mahu tidak mahu terpaksa bantu untuk mendapatkan ventilator.
Tanpa menyalurkan bantuan harga ventilator pula melambung apabila permintaan yang tinggi. Kerajaan hilang kawalan terhadap kapitalis malah dipaksa dalam keadaan kritikal apabila angka kes melonjak 400,412, menghampiri setengah juta dan yang paling tinggi di dunia. Kematian pula yang ketiga tertinggi di dunia, 12,854 orang.
Ironinya jumlah kematian di New York sahaja sudah 3,200 orang dan telah mengatasi korban tragedi serangan di World Trade Centre pada 11 September 2001 sebanyak 2,753 orang. (Keseluruhan korban dalam tragedi September 11 ialah 2,977 orang).
AS mulai cemas dan Trump semakin hilang arah apabila menyalahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO. Bukan itu sahaja tetapi mengugut menghentikan penyaluran dana kepada pertubuhan dunia itu – didakwa tidak mengambil langkah peringkat awal.
WHO mengeluarkan kenyataan pertama mengenai Covid-19 yang disebut ‘a pneumonia of unknow cause’ pada akhir Disember tahun lalu dan mengisytiharkan darurat pada 30 Januari lalu dan pada 11 Mac mengisytiharkan serangan virus itu sebagai pandemik atau wabak.
Trump memberikan tumpuan yang tidak tepat dalam menangani wabak Covid-19. Sebelum ini cuba bermain sentimen geopolitik dengan China apabila menamakan Covid19 sebagai Virus China. Kini menyalahkan WHO kerana lambat bertindak dan melebihkan China. Membangkitkan sentimen geopolitik dengan musuh ekonominya dan mengugut WHO tidak membantu melicinkan strategi memerangi wabak.
Kini petugas kesihatan yang bertungkus lumus memerangi Covid-19 berdepan dengan kekurangan ventilator dan penutup muka. Sekurang-kurang 10,000 ventilator diperlukan segera untuk menyelamatkan pesakit yang kritikal. Itu belum lagi ruang hospital yang sangat tidak mencukupi.
Covid-19 sebenarnya mengajar Trump supaya tidak celupar dan bongkak dengan status ‘super power’. Trump ternyata kawalan untuk memaksa syarikat mengurangkan harga. Sebaliknya terpaksa menggunakan wang kerajaan untuk membiayai kos pembuatan dan penyediaan material.
Ternyata AS kini berdepan dengan krisis Covid-19 dalam keadaan bercempera, hilang tumpuan dan status ‘super power’ tidak membantu pelan pengurusan risiko yang strategik. Ketika China dan Itali bergelut dengan Covid-19, AS hanya melihat dari zon selesa. Kini AS adalah sebahagian mangsa Covid-19 yang teruk. AS tidak terlepas dari ‘perang dunia ketiga’ yang melibatkan semua negara. – kuseman.com