Nor Hisham Ahmad Dahlan (Gambar NSTP)

KUALA LUMPUR  akan diingati dalam sejarah program Ibu Kota Buku Dunia yang diperkenalkan pada 2001 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan PBB (UNESCO) apabila berlangsung ketika wabak Covid-19 menyerang dunia.  Dalam keadaan dunia yang kacau bilau sekaligus tumpuan lebih diberikan pada usaha memerangi wabak.

Bagaimanapun Kuala Lumpur diingati kerana kesungguhan tuan rumah tidak mengalah dengan beberapa halangan ekoran Covid-19 antaranya tidak boleh mengadakan acara yang dihadiri oleh orangramai. Ini berbeza dengan 19 ibu kota lain di dunia kecuali Sharjah (UAE) yang sedikit terkesan pada acara penutup yang terpaksa dibatalkan.

Kuala Lumpur mengambil alih gelaran Kota Buku Dunia dari Sharjah pada 2019 dan berakhir pada April ini.  Program KLWBC2020 bermula April ini hingga April 2021.  Bagi tuan rumah, program ini sangat mencabar kerana dalam keadaan wabak Covid-19.

Ramli Sarip (Gambar Astro Awani)

Halangan ekoran wabak Covid-19 memaksa beberapa langkah lain diambil untuk meneruskan program KLWBC2020 antaranya mengaplikasikan platform digital untuk berhubung dengan khalayak.  Ini sebahagian daripada ‘new normal’ yang tercetus daripada keadaan semasa Covid-19.

Dari sudut positifnya  program buku ini telah merancakkan perubahan daripada acara berbentuk fizikal kepada digital yang boleh diakses dengan aplikasi media sosial. Perubahan ini sangat baik untuk jangka masa panjang  di mana semua acara disertai atau dilibatkan secara digital. Cuma perubahan yang kita lalui agak mendadak, jalan alternatif mengelak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tanpa wabak Covid-19 pun dunia menuju ke arah memaksimumkan penggunaan teknologi digital,  misalnya mengadakan mesyuarat rentas benua menerusi platform digital. Ketika PKP, banyak petugas bekerja dari rumah dan bermesyuarat  seperti di pejabat.

Pada era ini istilah ‘live telecast’ bukan lagi hak eksklusif atau dirujuk pada stesen televisyen,  sebaliknya di platform digital misalnya di media sosial. Malah capaian sebaran  juga jauh lebih luas berbanding acara dalam bentuk biasa.

Ian Denison

Program KLWBC2020  dilancarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan semalam (23 April) menerusi platform digital kerana negara ini masih dalam PKP. Pelancaran ini bukan sahaja disaksikan oleh warga Kuala Lumpur malah di seluruh dunia.

Sebagai tuan rumah program kali ke 2o,  Kuala Lumpur  tentunya berdepan dengan cabaran untuk menyesuaikan beberapa acara dengan kekangan semasa PKP dan wabak Covid-19.  KLWBC2020 berlangsung ketika lebih tujuh bilion manusia seluruh dunia bergelut berdepan ancaman Covid-19 yang telah  mengorbankan 190,383 nyawa. Ini bukan tragedi kecil malah yang terbesar pada abad ke 21.

Tetapi hidup perlu diteruskan dan buku mesti dihidupkan dalam apa keadaan sekalipun. Usaha untuk menghidupkan membaca buku sebagai satu budaya abad ini  diteruskan. Mereka yang berada di barisan depan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyelamatkan nyawa, yang berada di barisan depan KLWBC2020 melanjutkan hayat budaya membaca.

Oleh kerana itu KLWBC2020 tidak mengalah dengan keadaan semasa yang sangat tidak menentu. Apa lagi  pelaksanaan PKP belum menunjukkan pengakhirannya.  Sekiranya PKP ditarik  balik sekalipun,  acara-acara yang melibatkan penyertaan orangramai secara fizikal mungkin terpaksa dialih ke platform digital.

Walaupun kemungkinan  dalam lebih 400 acara sepanjang tahun hingga April 2021 terpaksa disesuaikan dengan langkah berjaga-jaga selepas PKP,  tetapi tidak menjejaskan peluang yang diberikan UNESCO  kepada negara ini.  Kota Buku Dunia adalah acara penting dalam dunia perbukuan dan perlu dimanfaatkan untuk melonjak budaya membaca dalam kalangan warga.

Pelancaran yang boleh disaksikan secara langsung di media sosial rasmi  semalam turut menghubungkan khalayak dengan Koordinator  Program Ibu Kota Buku Dunia UNESCO, Ian Denison di Paris. Ian Denison berucap mewakili Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay. 

Semua ini adalah sebahagian daripada ‘new normal’   Covid-19. Perancangan asal acara pelancaran diadakan di Dataran Merdeka dan disertai oleh orangramai. Dengan platform digital juga membolehkan penyertaan orangramai sebagai penonton Cuma tidak berasak-asak di Dataran Merdeka.

Nor Hisham berkata, sebahagian daripada lebih 400 acara  disusun sepanjang KLWBC terpaksa diubahsuai berdasarkan PKP sehingga keadaan benar-benar selamat untuk orangramai berada di luar kediaman. 

“Oleh kerana itu semua program hanya akan dilaksanakan secara digital melalui media sosial rasmi, KL Baca,” katanya pada pelancaran KLWBC2020 yang disiarkan di media sosial rasmi program ini.

Dalam keadaan semsa yang serba mencabar ini  beliau berharap dalam kalangan penggiat industri buku mempunyai cara yang terbaik untuk terus memanfaatkan program tersebut untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu Ian Denison, berkata, UNESCO terus memberikan sokongan yang teguh kepada Malaysia bagi menjayakan KLWBC yang berlangsung ketika dunia termasuk Malaysia diancam wabak Covid-19.

Beliau realistik dengan keadaan semasa dan program KLWBC2020 berdepan sedikit kesulitan untuk melaksanakan  acara perbukuan ketika wabak Covid-19.  Bagaimanapun yakin dengan kemampuan Malaysia mempertingkatkan budaya membaca dengan komitmen berterusan.

Pada pelancaran semalam,  media sosial rasmi KLWBC2020 turut menyiarkan rakaman persembahan penyanyi Ramli Sarip menyanyikan lagu tema program itu, Surat Cinta Kuala Lumpur.  Lagi ini  diiciptakan sendiri oleh Ramli Sarip.  

  • Kunjungi Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter @KualaLumpurWBC dan segera sertai pelbagai pertandingan yang menawarkan hadiah menarik.

KLWBC 2020 berlangsung selama setahun bermula 23 April ini hingga 22 April 2021. – kuseman.com

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *