Isu gelandangan di Kuala Lumpur mesti ditangani dengan pendekatan yang betul. (Gambar: Berita Harian)

GELANDANGAN adalah isu manusia. Maka sebarang tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah Kuala Lumpur sebagai pusat gelandangan tidak terlepas daripada nilai-nilai manusia.  Undang-undang sahaja tidak menjamin isu ini dapat diatasi dengan jayanya kecuali ada rasa memahami manusia yang tinggi.

Kementerian Wilayah Persekutuan melihat dengan serius isu gelandangan di Kuala Lumpur. Tetapi tidak terburu-buru melaksanakan undang-undang sebaliknya mengambil pendekatan yang penuh kemanusiaan. Gelandangan bukan sahaja dibantu tempat penginapan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dicarikan kerja.

Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan,  Tan Sri Annuar Musa mempunyai gagasan yang jelas untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada menjadi pusat gelandangan. Pada masa yang sama beliau mempunyai nilai manusia dalam memastikan gagasan itu berjaya.

Walaupun ada tanggapan sesetengah gelandangan terdiri daripada penagih dadah dan malas bekerja, tetapi ini isu menusia dan banyak dalam kalangan mereka mempunyai kisah hidup yang tragis hingga terlempar ke tengah kota. Malah ada yang terpaksa tidur di kaki lima kerana gaji kecil dan tidak mampu membayar sewa bilik.

Dalam menangani isu gelandangan,  Annuar telah mengubah wajah Kuala Lumpur yang tebal dengan materialistik  dan individualistik kepada kota yang ambil peduli. Gelandangan ditangani dengan cara ‘memberi kail’ bukan  ‘ikan.’ Inilah cara memberi pertolongan yang betul.

Tentunya ini melampaui retorik politik. Kalau benar sekalipun, inilah cara yang betul untuk mengurus isu-isu manusia di tengah kota.  Gelandangan mempunyai alasan tersendiri kenapa berada di Kuala Lumpur dan kini peneraju Kuala Lumpur menunjuk peduli dan memberikan jalan yang betul untuk meneruskan hidup.

Memberi makanan percuma adalah usaha yang baik. Tetapi ini pertolongan jangka pendek dan tidak boleh berterusan.  Ini bertukar menjadi penganiayaan kerana tidak membuka jalan kepada gelandangan untuk hidup sebagai manusia biasa.

Tetapi pendekatan Annuar berbeza.  Beliau memperlihatkan pelan jangka panjang untuk Kuala Lumpur dalam isu gelandangan. Pendekatannya pratikal dan dengan sokongan pihak-pihak berkaitan,  usaha ini pasti berhasil – gelandangan dapat manfaat dan Kuala Lumpur bebas gelandangan.

Bernama melaporkan,  menerusi usaha Annuar,  sebanyak 43 orang gelandangan di Kuala Lumpur  telah mendapat tawaran pekerjaan dalam sektor perkilangan dan perladangan di Sitiawan, Perak. 

Ini merupakan kumpulan pertama daripada 300 gelandangan yang berjaya dipilih, setelah menjalani ujian saringan kesihatan dan temuduga oleh syarikat-syarikat, ketika berada di pusat-pusat transit sepanjang PKP.

“Sebanyak 96 gelandangan pula akan bekerja dan ditempatkan di Anjung Singgah, yang mana produk-produk dari kilang syarikat sarung tangan akan dihantar kepada mereka, untuk proses pembungkusan,” kata Annuar kepada wartawan selepas majlis pelepasan gelandangan ke Perak semalam.

Beliau memberitahu, lebih kurang 200 gelandangan pula akan diberi kursus jangka pendek dan ditawarkan pekerjaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mereka ini dalam kalangan yang tidak berjaya melepasi temuduga oleh syarikat-syarikat yang terlibat.

Mengubah wajah  fizikal Kuala Lumpur tidak sesukar mengubah pemikiran warganya.  Warga kelas menengah dan elit pun sukar diubah, misalnya dalam soal menjaga kebersihan bandar raya,  inikan pula gelandangan.  Dalam kata lain gelandangan memerlukan pihak lain menunjuk lorong untuk kehidupan mereka.

Kementerian Wilayah Persekutuan telah berusaha menunjuk lorong hidup yang di depan sana terbentang peluang yang luas, sekaligus cabaran.  Menjadi gelandangan bukan pengakhiran hidup  tetapi permulaan sekiranya menemui pintu-pintu yang betul.

Kita mengharapkan gelandangan perintis yang dihantar ke Perak ini berjaya membuktikan mereka boleh hidup seperti orang lain,  dan memberi dorongan kepada rakan-rakan lain berubah menjadi lebih baik. Manusia apabila dilayan sebagai manusia potensi untuk berubah menjadi manusia yang menghargai hidup adalah besar.   – Ku Seman

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *