Datuk Dr Hassan Mad, Setiausaha Agung MPM

MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) baru saja menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera I 1965-2020, yang mengangkat kembali bagi memperbaharui dan memperkasakan banyak usul dan tindakan hasil dari Kongres Pertama itu pada 5-7 Jun 1965.

Belum pun ke mana langkahnya, MPM telah diuji untuk memberikan respon kepada hasrat UEM Berhad menggabungkan anak syarikatnya, UEM Sunrise dengan Ecoworld.

Soalnya, mengapa MPM wajib berikan reaksinya kepada penggabungan itu sedangkan MPM tiada kepentingan apa-apa pun dalam kedua-duanya.

Sebenarnya ada kaitan diantara hasrat itu dengan beberapa usul yang dijadikan resolusi utama dalam kongres yang baru berlalu itu. Antaranya:

●         hak & kepentingan bumiputera berkaitan tanah dan hartanah;

●         hak & kepentingan bumiputera dalam projek perbandaran;

●         hak & kepentingan bumiputera dalam bisnes usahasama libatkan bumiputera;

●         hak & kepentingan bumiputera dalam dunia pekerjaan; dan 

●         hak & kepentingan bumiputera dalam dunia bisnes

Maka, apa juga persoalan berkaitan penggabungan itu jika tersentuh kesemua atau salah satu dari 5 persoalan itu, sewajibnyalah MPM bersuara.

Satu soalan saja nak dibangkitkan di sini dan ia memadai untuk menjustifikasi suara MPM dalam isu ini, iaitu siapa UEM Sunrise dan siapa Ecoworld. 

Saya rujuk kefahaman saya mengenai isu ini kepada beberapa rencana yang banyak ditularkan, maklumat dari kenalan yang rapat dan mahir mengenai pasaran saham semasa dan dua rencana dalam The Vibes, bertarikh 10 Oktober 2020, satu tulisan Tan Sri Shariff Kassim dan yang lagi satu oleh Emmanuel Samarathisa.

Jawaban kepada soalan pertama itu mudah. UEM Bhd milik sepenuhnya Khazanah Nasional Malaysia Bhd (KNB). UEM pula memiliki 66% kepentingan dalam UEM Sunrise, yang hampir 100% pengurusannya kini terdiri dari tenaga bumiputera. UEM Sunrise berkecimpung dalam bisnes pembangunan dan pemasaran hartanah.

Ecoworld pula adalah PLC bukan dikuasai bumiputera. Juga kerkecimpung dalam bidang bisnes yang sama dengan UEM Sunrise dan pengurusan kanannya hampir 100% bukan bumiputera.

Prestasi semasa kedua-duanya sama, dengan kedudukan Ecoworld jauh lebih merudum berbanding UEM Sunrise. Prestasi UEM Sunrise selama ini cemerlang, tapi tiba-tiba dengan begitu banyak projek dalam tangan, prestasi lima tahun kebelakangan ini merudum dan mencurigakan. 

Adakah ia kerana kuasa pasaran semasa atau ada kuasa lain yang mempengaruhinya, maklumlah, PLC ini amat terdedah dan amat sensitif kepada sebarang bentuk spekulasi.

Hanya dengan satu soalan itu saja dulu dan dengan 5 aspek di atas itu memadai untuk saya tarik minat para pembaca sekelian akan hujah MPM di bawah ini dan mengapa MPM berpendirian bahawa UEM wajib memberikan petunjuk yang tepat berdasarkan fakta dan data, dalam mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh KNB. 

Pertama, bukan pertama kali UEM telah diperkudakan oleh pihak yang sama. Sebelum ini mereka berjaya menggunakan UEM Land untuk cash out kepentingan puak-puak tertentu dalam Sunrise, maka penggabungan UEM land dengan Sunrise terbinalah UEM Sunrise. 

Kedua, pihak yang sama juga berjaya menunggang PNB dalam pemilikan SP Setia. Bukan itu saja, malah membebaskan pemilik SP Setia berdendang dengan  hasil jualan itu menubuhkan pula Ecoworld. 

Tan Sri Shariff berkata, pengurusan Ecoworld jauh lebih baik berbanding UEM Sunrise. Ye ke? Jika mereka jauh lebih cemerlang mengapa prestasinya jauh lebih merudum berbanding UEM Sunrise dan mengapa mesti minta nyawa daripada UEM Sunrise? 

Jika pengurusannya jauh lebih cemerlang pastinya bila bergabung kelak, pengurusan dari Ecoworld lah yang akan mendominasi pengurusan UEM Surise, mengulangi cerita duka-luka lama episod penggabungan sebuah bank kepentingan bumiputera dengan sebuah bank saudagar, membentuk CIMB Bank. 

Habis ditelannya pengurusan kanan bumiputera oleh pengurus-pengurus muda dari bank saudagar itu. Nak diulangi lagikah episod ini?

Advertisement

Ketiga, pernahkah Ecoworld buktikan yang ia punyai atau paling tidak hormati agenda bumiputera? Seingat saya tiada. Buktinya ialah bila mereka bergandingan dengan UDA Holdings membangunkan tanah Penjara Pudu. 

Sekalipun UDA Holdings adalah rakan usahasamanya, keputusan semua di tangan Ecoworld yang menguruskan projek itu. Jika pun ada PKS Bumiputera ditawarkan kerja-kerja kontrak, ia adalah kerja-kerja yang tidak ada di kalangan lain-lain kontraktor berminat mengambilnya.   

Hatta, bila pengurusan Ecoworld berada dalam pengurusan UEM Sunrise kelak, dapat dibayangkan roh pengurusan kanan dalam entiti baru itu nanti.

Makanya, dari 5 aspek yang saya nyatakan di atas, secara tak langsung penggabungan itu menjawab hanya dua aspek iaitu perbandaran dan peningkatan pemilikan tanah menerusi entiti GLC (yang tiada kena-mengena dengan hak & kepentingan bumiputera), manakala 3 lagi aspek langsung tidak relevan kepada Bumiputera, iaitu peluang pekerjaan, peluang bisnes serta peluang penguasaan entiti usahasama (dalam UEM Sunrise yang baru) yang jelas tidak memihak kepada pencapaian agenda bumiputera.

Dengan prestasi Ecoworld yang begitu teruk dari aspek bisnes dan tiada kepekaan terhadap agenda bumiputera, sekalipun mereka tahu agenda Bumiputera adalah agenda nasional dan hak serta kepentingan bumiputera adalah dilindungi Perlembagaan Persekutuan, MPM hanya setuju penggabungan itu jika:

●         UEM Sunrise mampu memiliki Ecoworld pada harga runtuh, maksudnya diunjurkan kejatuhan nilai sebenar harga saham Ecoworld beberapa tahun ke hadapan. Itulah nilai yang patut dibayar oleh UEM sunrise, bukan nilai semasa;

●         Tiada pengurusan Ecoworld di barisan hadapan dalam entiti baru itu nanti, sebab mereka sebenarnya jauh lebih tak kompeten berbanding pengurusan dan kepimpinan yang ada dalam UEM sunrise; dan

●         UEM Sunrise yang baru nanti hasil penggabungan itu wajib buktikan kepada kami yang ia ada agenda bumiputera untuk dilaksanakan.

Jika tidak, penggabungan itu nanti sahlah satu lagi bail-out guna dana entiti korporat kerajaan demi selamatkan PLC yang tiada kepentingan bumiputera.

Tiba masanya kepimpinan dan pengurusan kanan dalam UEM lebih peka terhadap agenda bumiputera, jangan nanti masyarakat bumiputera menyamakan mentaliti dan jati diri kepimpinan dan pengurusan UEM sama saja dengan Ecoworld. 

Tiba masanya kepimpinan dan pengurusan UEM memberikan fakta dan data yang tepat untuk memudahkan teraju Khazanah Nasional Behad yang dipimpin Perdana Menteri, membuat keputusan yang tepat mengenai hasrat penggabungan ini. 

Jangan nanti masyarakat Bumiputera mentakrifkan keputusan yang dibuat oleh UEM itu mengulangi kesilapan pemimpin sebelum ini, yang bila berdepan masyarakat Bumiputera dialah juara Agenda Bumiputera, di belakang lain pula dramanya. 

UEM dan KNB ada masa 6 bulan dari sekarang untuk membuat keputusan yang lebih tepat. 

  • OLEH DATO DR HASSAN MAD, Setiausaha Agung MPM

            11 Oktober 2020.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Kenyataan media MPM mengenai penggabungan UEM Sunrise dan Ecoworld”
  1. Saudara,
    Percaya lah perancangan akan diteruskan. Kerajaan pada hari ini tidak langsung dengar keluhan atau komplain Rakyat. Sebabnya untuk menyelamatkan CIMB kerana pinjaman berbilion yang di pinjam oleh Eco World yang tidak dapat di bayar. Eco World berbelanja besar, malangnya hartanya tidak laku atau tidak ada jualan dalam keadaan ekonomi Malaysia yang teruk sekarang. Wallahualam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *