Demokrasi mudah dimanipulasi untuk selarikan dengan kepentingan peribadi politikus rakus.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

BANYAK yang memahami bahawa pergolakan politik yang berlaku ketika rakyat sedang terkepung dan tertekan dengan wabak Covid-19 baru-baru ini adalah sebahagian proses demokrasi. Malah seolah-olah mendiri dan menegakkan demokrasi jauh lebih penting berbanding mengeluarkan rakyat daripada tekanan hidup akibat wabak.

Pandangan seumpama itu dibina dan diperagakan oleh pihak yang berkepentingan termasuk dalam kalangan ahli politik. Demokrasi sudah diangkat sebagai sandaran untuk mewajarkan satu tindakan politik yang sama sekali tidak ada kaitan dengan rakyat. Ini amat dayus sebenarnya.

Pihak yang menggerakkan semua ini sangat faham akan kelompangan demokrasi yang boleh dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu. Mereka melakukan dengan rasa tidak bersalah sambil meratibkan perjuangan mengembalikan ‘mandat rakyat’.

Pihak Istana juga cuba diseret dalam kemelut politik kononnya mempunyai majoriti dalam keadaan rakyat dibelenggu wabak dan kegawatan ekonomi. (Gambar hiasan)

Dalam keadaan rakyat yang berdepan dengan kemelesetan ekonomi akibat daripada wabak,  yang berlegar di fikiran adalah mengupayakan semangat dan kudrat untuk terus hidup.  Beras dan susu anak jauh lebih penting berbanding memikirkan ‘mandat’ yang kononhya dicabul.

Mereka yang sentiasa kehabisan beras dan susu anak ini tidak punya masa untuk berfikir bagi pihak ahli politik – berapa kerusi kerajaan dan pembangkang di Parlimen.  Mereka hanya mahu kerajaan yang ada, tidak kira kerusi lebih atau kurang di Parlimen mempunyai pelan kecemasan untuk menyalurkan bantuan.

Memikirkan di mana hendak cekau duit membayar ansuran kereta dan sewa rumah adalah lebih penting daripada masuk campur dalam polemik parti politik mana yang berhak mentadbir kerajaan.  Tetapi demokrasi sentiasa terdedah pada manupulasi – tidak kira masa dan keadaannya. Ini adalah salah satu daripadanya.

Maka berlakulah apa yang telah dan sedang kita saksikan sekarang.  Satu episod kegelojohan ahli politik yang tidak pernah berlaku selama ini. Sekarang telah menjadi tatapan rakyat yang sedang dalam pertarungan – antara wabak mencemaskan  dan  simpanan yang semakin mengecil.

Kerakusan semakin menyala-nyala,  babak-babak menyelamatkan diri terungkai satu demi satu dan dengan meratib demokrasi. Ada yang secara senyap-senyap merancang untuk berpindah ke bahtera lain yang di sisi demokrasi tidak ada salahnya. Inikah ‘mandat rakyat’?

Maka sisi buruk demokrasi juga amat perlu dilihat dan diamati supaya rakyat tidak menelan tanpa berfikir sesuatu yang dihubungkan dengan demokrasi.  Ahli politik sentiasa mahu kelihatan dilingkungi demokrasi  yang membawa kepada maksud yang tidak terpisah dengan kuasa dan kepentingan rakyat.

Memang benar demokrasi itu pemerintahan rakyat. Tetapi mesti diingat bahawa borjuis politik juga rakyat.  Maka kalau ada yang berteriak untuk mengembalikan ‘mandat rakyat,’  cuba tanya mereka rakyat yang mana satukah dimaksudkan itu?  Rakyat yang mengeluh sentiasa tidak cukup duit sebelum akhir bulan atau yang borjis politik yang menjaring mimpi ke puncak kuasa?

Sisi buruk demokrasi yang lahir dari pemikiran liberalisme hanya menekankan kebebasan  serta menjurus mengagung-agungkan individualisme.  Ahli politik oportunis pasti mengungkapkan demokrasi dari sisi indahnya seperti kebebasan bersuara, kebebasan media, pilihan raya, dan yang penting kuasa kepada majoriti tetapi minoriti dibela dan dihormati.

Ironinya dalam keadaan yang kononnya semua tindakan dibuat hanya berpaksikan kepentingan kepada rakyat,  berlumpa untuk menguasai Parlimen tidak ada kena mengena dengan kepentingan rakyat.  Itu hanya kepentingan rakyat dalam kelas borjuis politik.

Terlanjur kita memilih demokrasi sejak negara mencapai kemerdekaan 63 tahun lalu, sistem ini perlu ditambah baik dari masa ke masa supaya tidak menjadi mangsa manipulasi pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.  Nilai integriti menjadi sangat penting untuk membendung kerakusan yang  dihalalkan secara manipulatif dalam demokrasi.

Dalam demokrasi, rakyat selalu dijadikan tempat menapak, meniti dan berjalan ahli-ahli politik. Ini kerana demokrasi sejak zaman  Greek purba lagi sentiasa saling berpaut pada rakyat. Malah istilah demokrasi itu berasal dari dua perkataan Greek,  demos (rakyat) dan kratos (memerintah).

Secara teorinya ini sangat indah – dari rakyat kepada rakyat.  Tetapi dalam banyak situasi pula rakyat selalu menjadi mangsa pada ‘demokrasi’ yang diperkudakan oleh ahli politik. Kita tidak boleh memadam sifat yang tegar pada demokrasi adalah perlumbaan.

Dalam perlumbaan sudah tentu keutamaan pada strategi  dan taktik untuk memanipulasi ketidakyakinan hingga menjadi sangat yakin.  Tetapi untuk mendapatkan pengaruh bukan percuma – ia menelan belanja besar.  Rakyat yang selalu diungkap dalam ucapan-ucapan tidak berupaya mendanai belanja itu.

Dalam kehidupan yang sangat materialistik ketika ini,  duit adalah raja.  Demokrasi mewajarkan duit menjadi raja untuk membeli pengaruh hingga menjadikan politik dan perniagaan  satu hubungan timbal balik yang tidak pernah terputus.

Maka terma ‘kuasa rakyat’ pada demokrasi tidak lebih sekadar mencantik atau mengindahkan sahaja.  Tidak ada apa-apa makna yang signifikan kecuali manipulasi untuk disesuaikan antara dua istilah Greek tadi – demos dan kratos.

Di mana kedudukan rakyat dalam demokrasi?  Jawapannya kecil sahaja.  Yang besar ialah kelicikan manipulasi. Maka yang melaung-laungkan mandat rakyat itu tidak lebih sebuah ceritera  dongeng pasca merdeka.  Tetapi dongeng ini diulang-ulang seolah-olah suatu yang nyata.

Dalam keadaan ‘berperang’ dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, wabak yang pergi dan datang semula dengan angka-angka yang luar biasa,  kita wajar mengabaikan ungkapan ‘mandat rakyat’ yang dijaja di sana sini. Abaikan, itu tidak ada kena mengena dengan kita, itu hal mereka ahli politik yang warnanya berubah-ubah mengikut suasana.

Rakyat perlu bangkit dan menolak segala kerakusan yang diperagakan di depan mata mereka. Serulah dengan yakin, jangan sama sekali bersandar pada ungkapan ‘mandat rakyat’ kalau kepentingan melencong kepada ahli politik. Serulah dengan berani dan bertanggungjawab. – Utusan Malaysia 2 Nov 2020

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *