Oleh Kamal Shukri Abdullah Sani

BELANJAWAN 2021 telah pun dibentangkan di Parlimen. Seperti biasa nampaknya, walaupun rumah sudah siap, pahat tetap berbunyi. Apa-apapun tahniah kepada kerajaan yang telah bertungkus-lumus menyediakan belanjawan tersebut walaupun mungkin tidak memuaskan hati semua pihak dan merawat semua masalah. 

Belanjawan ini dibuat ketika negara kita sedang menghadapi krisis ekonomi,  kesihatan dan politik akibat pandemik virus Covid-19 yang diharap akan berakhir segera dengan izin-Nya. 

 Walaupun begitu belanjawan ini tetap berusaha memberi banyak penawar bagi meringankan bebanan rakyat kalaupun tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Rakyat tetap diutamakan dan dibantu dengan pelbagai inisiatif  lama dan baharu yang bertujuan merangsang semula ekonomi dengan kebiasaan atau kelaziman baharu. 

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Parlimen baru-baru ini.

Namun dalam beberapa kritikan terhadap belanjawan ini, antara yang agak menonjol ialah kritikan pihak DAP terhadap peruntukan khas yang tidak diberikan kepada sekolah vernakular, khasnya kepada sekolah persendirian Cina (SMPC) seperti yang khabarnya pernah diberikan sebelum ini. 

Isu ini turut diberikan perhatian oleh Pengerusi MIC Kedah seperti yang dilaporkan oleh media disamping semacam ada cubaan mengheret sama pihak MCA. 

Seharusnya pihak berkenaan sudah tahu jawapannya  dan tidak menghebohkan hal ini kerana sejarah telah membuktikan bahawa mereka sendiri yang telah menolak tawaran untuk bersama-sama menjadi sekolah aliran kebangsaan. 

Mereka sanggup bersendirian untuk menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar pendidikan yang meliputi bahasa pentadbiran, urusan peperiksaan dan sebagainya dan bukan sekadar mata pelajaran sahaja. Ini amat yang amat bercanggah dengan sistem dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

 Apatah lagi dengan semacam ugutan yang bertalu-talu oleh Dong Zong dan sekutunya agar UEC turut diiktiraf walaupun jelas banyak hal yang pincang. Justeru amat wajar sekolah vernakular dan persendirian tersebut tidak diberi sebarang bantuan. 

Apatah lagi kebanyakan SMPC jika ditinjau di seluruh negera banyak yang terlihat amat bagus daripada segi infrastruktur atau tegasnya mewah berbanding sekolah milik kerajaan sendiri. Kedegilan untuk bersendirian sejak dahulu hingga kini  tentunya sudah difikirkan oleh mereka akan kesan negatif akan pendirian yang telah dibuat. 

Jadi amatlah wajar dan munasabah serta adil mereka tidak diberi peruntukan seperti sekolah yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Oleh itu kerajaan diharap bertegas terhadap kedegilan mereka dan tidak sekali-kali tunduk kepada sebarang tekanan atau paksaan. 

Biarlah mereka terus menuntut atau mengugut. Malah tiada peruntukan khusus undang-undang dalam Perlembagaan yang mewajibkan bantuan kepada sekolah berkenaan. 

Bantuan jika diberi pun sebelum ini adalah atas ihsan dan tidak keterlaluan rasanya  jika dianggap sebagai satu kesilapan. Ini kerana memberi kepada pihak yang ingkar untuk bersama-sama dalam satu sistem membina perpaduan yang sebenar bagi mewujudkan sebuah negara bangsa. 

Kesilapan yang serupa tidak patut diulang lagi oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pendidikan sebagaimana kesempatan yang pernah diambil oleh kerajaan sebelum ini. Tahniah atas ketegasan pihak berwajib.

  • KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah & Sastera Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *