Gopal Sri Ram (Gambar Malaysian Insider – Najjua Zulkefli)

DALAM satu kenyataan bersama tiga pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu  berkata, “Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumum semalam, adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini (Covid-19),” 

Kenyataan bersama itu dikeluarkan sebaik sahaja Yang Di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat  pada 13 Januari hingga 1 Ogos depan atau awal daripada itu. Pengisytiharan darurat itu bertujuan memberikan kesan yang lebih besar terhadap PKP di enam negeri yang berkuatkuasa 13 Januari lalu.

Sesetengah pihak terutama dalam kalangan pembangkang dan juga UMNO telah membina persepsi dengan mengaitkan darurat yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang Di-Pertuan Agong itu sebagai eskapisme politik.

Ini dengan sendirinya terbina persepsi yang sangat tidak tepat dalam keadaan kerajaan bergelut berperang apabila peningkatan kes baharu mendadah melepasi 3,000 kes sehari. Pemain-pemain politik kelihatan tidak bersungguh-sungguh ‘bekerja’ untuk rakyat dengan berganding bahu dengan kerajaan.

Mengaitkan darurat dengan ekapisme politik suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.  Hal yang demikian boleh menjejaskan usaha kerajaan membendung wabak di tahap yang melegakan. Politik adalah kehidupan manusia tetapi politik kepartian dan kuasa yang tidak mengira waktu serta keadaan adalah satu ‘kebutaan.’

Walaupun begitu, kenyataan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram bahawa perlaksanaan PKP sahaja tidak cukup dan hal ini terbukti dengan PKP pertama pada Mac tahun lalu adalah jawapan sangat tepat. Pengisytiharan darurat bukan sahaja mengikut lunas undang-undang tetapi bertepatan di sudut kesihatan.

Advertisement

Memetik laporan portal MalaysiaNow semalam,  Sri Ram menyangkal sama sekali tanggapan bahawa perlaksanaan PKP sudah memadai untuk memerangi wabak Covid-19 kecuali dengan darurat.

“Bukan mudah nak kawal orang ramai. Anda beritahu mereka supaya jangan ke Ipoh, mereka tetap akan ke sana. Anda beritahu mereka tolong jangan pergi ke Johor, tetapi di situlah tempat semua orang akan pergi, kerana mereka ingin tahu mengapa mereka dilarang pergi ke situ,” kata Sri Ram kepada portal itu.

Beliau memberi penegasan bahawa perlaksanaan PKP secara bersendirian tidak dapat berfungsi tanpa kuasa darurat dan kawalan ketat di kawasan terjejas.

“Hospital-hospital kini sesak. Perlu ada satu kuasa bagi menguruskan hospital-hospital atau bangunan swasta dan menukarkannya kepada fasiliti perubatan – bagi mereka kuasa,” tambahnya.

Dalam pada itu ada pihak menganggap pengisytiharan darurat itu telah melanggar kebebasan hak asasi. Sri Ram menafikan perkara tersebut walaupun Artikel 150(7) diketepikan tetapi hak asasi tetap kebal daripada dicabul.

“Kebebasan bersuara tidak dirampas, dan tidak ada sebarang ordinan setakat ini diluluskan untuk menyekat kebebasan bersuara, tidak ada langsung,”  tegas Sri Ram.

Pencerahan tokoh yang amat arif dalam undang-undang dan kehakiman diharap dapat menangkis persepsi serong yang sengaja ditularkan untuk kepentingan politik pihak tertentu.  Pada masa yang sama warga maya tidak boleh terlalu mudah terbius dengan hujah ‘pakar undang-undang’ jadian di media sosial. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *