Dr Noor Hisham Abdullah (Gambar Sun Daily)

ORANG RAMAI perlu membuat persiapan  psikologi untuk berdepan dengan ‘perintah berkurung’  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sekurang-kurang sebulan, bukan dua minggu seperti yang umumkan sebelum ini.  

Dua minggu hanya peringkat pertama yang kemungkinan besar disambung ke peringkat seterusnya, mungkin lebih daripada tempoh itu berdasarkan kejayaan mengurangkan jumlah kes baharu yang sangat membimbangkan ketika ini.

Malah pada PKP pertama Mac tahun lalu juga pada awalnya diumumkan hanya dua minggu tetapi disambung hingga beberapa minggu sebelum dilonggarkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPB).

Persiapan psikologi perlu supaya tidak ada yang rasa terperangkap dalam jangka masa yang tidak menentu. Malah boleh menjejaskan persiapan dan perancangan kewangan untuk berdepan dengan hidup dalam radius 10 km dalam tempoh yang panjang.

Tanpa persiapan psikologi terutama golongan yang berpendapatan rendah dan tidak tetap pasti akan berdepan dengan tekanan kewangan yang serius.  Dalam kata lain, ada kerja ada gaji dan ‘berkurung’ akan berdepan risiko kehilangan pendapatan untuk jangka panjang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah membayangkan PKP akan dilaksanakan sekurang-kurangnya sebulan, atau mungkin lebih daripada tempoh itu. Bayangan yang diberikan sangat berasas berdasarkan pengalaman PKP sebelum ini.

“Kita sudah laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 14 Oktober hingga kini tetapi kita rasa ia tidak sesuai dan perlu gunakan kaedah yang lebih drastik. Oleh itu, kita nasihatkan untuk laksanakan PKP bagi tempoh dua minggu atau jika perlu selama empat minggu,” katanya pada sidang media.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan PKP terhadap enam negeri – Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah dalam tempoh 14 hari bermula 13 Januari.

Pada masa yang sama enam negeri – Kelantan, Terengganu,  Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang  dikenakan PKPB hingga tarikh yang sama. Sementara negeri Perlis dan Sarawak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Noor Hisham, kerajaan sedar dengan kesan besar perlaksanaan PKP terhadap ekonomi tetapi virus berkenaan hanya dapat dikawal dengan menghadkan pergerakan. Oleh yang demikian PKP yang dimulai dengan tempoh dua minggu itu salah satu pendekatan yang berkesan.

Beliau menyasarkan kes baharu turun hingga 500 dalam masa sebulan PKP. -kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *