Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya pihak yang mencetus kemelut politik ketika ini, tidak senang dengannya kerana beliau enggan mencampuri urusan mahkamah.

Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan tidak selesa dengan ketegasannya yang enggan melayan desakan mereka supaya membebaskan individu tertentu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

Sehubungan itu, katanya, pihak terbabit cuba menangguk di air yang keruh dengan mencetuskan kemelut politik, walaupun negara sedang berdepan krisis pandemik yang kian memuncak.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, hari ini.

Perutusan Khas itu susulan keputusan UMNO untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri serta Perikatan Nasional (PN), sekali gus mencetus persoalan sama ada kerajaan sedia ada masih kekal memerintah.

Namun, Muhyiddin hari ini menegaskan menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli Dewan Rakyat, yang meyakinkannya bahawa beliau masih memiliki kepercayaan majoriti Dewan.

Advertisement

Turut bersamanya ketika perutusan khas itu adalah beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional, termasuk Naib Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri memaklumkan, pihak sama juga cuba mengeruhkan hubungan kerajaan dengan istana apabila menuduhnya menderhaka kepada raja.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan tidak akan mengorbankan prinsip dan membelakangi sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri, walaupun diasak dengan pelbagai tuntutan dan tuduhan.

Sebagai Perdana Menteri, beliau menegaskan akan menjalankan tugas dan segala kewajipan dengan jujur dan amanah, termasuk menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara.

“Saya telah dituduh menderhaka kepada raja, sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara, serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya. – BERITA HARIAN

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *