TV AlHijrah akan terus berdiri dan berperanan  menyebarkan syiar Islam dengan kemahuan politik kerajaan membiayai stesen televisyen Islam ini.

Oleh Ku Seman Ku Hussain

ESOK  1 Muharam ulang tahun TV AlHijrah  yang kesebelas.  Kehadiran  TV Al Hijrah menambahkan sebuah lagi stesen televisyen dalam industri penyiaran tempatan selepas RTM,  saluran televisyen bawah Media Prima dan ratusan saluran di Astro.  Terbaru  sekali  TV Sarawak.

Walaupun mempunyai banyak stesen televisyen tetapi kita masih ketandusan program yang bukan sahaja bercorak agama tetapi menggali pemikiran  dan falsafah hidup Islam.  Sejak bermulanya teknologi televisyen pada 1963 di negara ini,  hanya sebelas tahun lalu baru muncul stesen televisyen Islam.

Masyarakat yang mencari isi kandungan televisyen yang lain daripada sedia ada terpaksa akur pada dasar tidak rasmi  –  majoriti program hiburan.  Muncullah berapa stesen baharu sekalipun, semuanya berebut memperagakan hiburan yang sama seperti kebanyakan  negara luar.

Program bercorak Islam bukan keutamaan,  siarannya di luar waktu perdana.  Ini kerana waktu perdana untuk program hiburan yang menjadi rebutan pengiklan. Program agama tidak membawa pendapatan –  demikian alasan yang sering kita dengar untuk mewajarkan  program seperti itu dikurangkan.

Tetapi sebelas tahun lalu dengan kemahuan politik yang tinggi, kerajaan menubuhkan stesen televisyen Islam. Kerajaan mendanai stesen yang dijangka sukar untuk bersaing di pasaran bebas. Tanpa iltizam kerajaan, TV AlHijrah tidak mungkin wujud dan meneruskan matlamat menyebarkan syiar Islam.

Di mana kedudukan TV AlHijrah dalam peta penyiaran tempatan? Dapatkah stesen televisyen patuh syariah ini bersaing dengan stesen lain yang sangat terkenal dengan program hiburan,  atau ratusan saluran yang memberikan banyak pilihan kepada penonton?

TV AlHijrah sama sekali tidak bersaing, jauh sekali menggugat mana-mana stesen yang sedia ada. Malah tidak seharusnya wujud persaingan kerana arah haluannya berbeza dengan yang lain. Kalau untuk bersaing tentulah bukan stesen berkonsep Islam. Lebih baik pilih konsep ultra sekular yang disukai oleh pengiklan.

Kewujudan stesen televisyen Islam seperti TV AlHijrah tidak lain bertujuan mengisi kelompangan dan memberi pilihan kepada masyarakat yang mencari lain daripada yang sedia ada di banyak stesen. Kelompangan ini sangat luas, ketika syiar Islam semakin tinggi dalam kalangan masyarakat, media penyiaran memilih haluan bertentangan.

Memang benar sebahagian besar stesen televisyen ada program agama.  Hal ini tidak dinafikan sama sekali,  misalnya  Ehwal Islam  yang ditunggu-tunggu.  Program ini  antara yang mengangkat jenama RTM dalam konteks penyebaran menyebarkan syiar Islam.  Bagaimanapun program agama di stesen lain seolah-olah ‘eksklusif’,  siarannya tenggelam dalam ledak muzik dan nyanyi yang lebih bergema.

Hal ini berlaku kerana pendapatan stesen televisyen bergantung pada  iklan.  Bukan rahsia lagi kemahuan pengiklan dijadikan dasar tidak rasmi stesen televisyen.  Pengiklan mempunyai matlamat sendiri di segi pemasaran dan itu terpancar pada program-program di stesen berkenaan.

Di mana-mana negara sekalipun terutama era emas, televisyen sebelum dirempuh media sosial, Youtube dan Nexflix; program hiburan adalah terasnya.  Hiburan menjadi denak untuk menjinakkan penonton dan memujuk pengiklan. Semakin banyak iklan semakin kukuh kewangan sesebuah stesen televisyen.

Advertisement

Di negara kita stesen televisyen menjadi  ruang eskapisme.  Memang ada isi kandungan yang baik di segi sosial seperti menyuntik kesedaran dan rangsangan hidup. Tetapi sebahagian besar menghamparkan kehidupan ideal di luar garis realiti.

Analisis antara program bual bicara isu semasa yang kritis dan segar di TV AlHijrah.

Tetapi banyak juga yang mahu berjejak di alam nyata dan menggali pemikiran Islam yang luasnya tidak bertepi itu.  Islam adalah cara hidup, antaranya yang paling mudah dilihat ialah etika pergaulan lelaki dan wanita, etika berpakaian terutama wanita dan kehidupan bermasyarakat.

TV AlHijrah mendukung gagasan besar meluaskan syiar Islam. Masa yang sama  menghamparkan teras cara hidup beragama untuk Islam dan kerukunan hidup untuk bukan Islam. Agama ini datang dengan kesempurnaan yang tidak terjangkau luasnya dan yang dipetik dalam TV AlHijrah hanya secebis. Sepatutnya banyak lagi stesen seperti TV AlHijrah.

Inilah pembaharuan yang dibawa dengan tagline, ‘Segalanya Bermula Di Sini.’  Ini adalah permulaan yang menjanjikan ribuan langkah di depan.  Golongan penontonnya berkualiti, termasuk dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar. Ini penting supaya gagasan pemikiran dalam kandungan stesen ini dimanfaatkan oleh golongan penonton yang berada dalam kelompok tadi.

Ada dua perkara besar yang boleh diangkat daripada keberadaan TV AlHijrah dalam dunia penyiaran negara ini.

Pertama,  menggerak gagasan mendayausahakan kandungan kreatif televisyen yang berkonsep Islam.  Apabila disebut konsep Islam sudah tentu berkaitan dengan tiga prinsip utama – akidah, akhlak dan syariah.

TV AlHijrah adalah pencetus.  Wacana kandungan kreatif berkonsep Islam harus melampaui keberadaan TV AlHijrah. Harus juga ditambah baik oleh pihak lain kerana ini tanda mula gagasan besar menyuntikkan nilai kehidupan berteraskan Islam.

Kedua, bertepatan dengan kesedaran Islam semakin tinggi dalam kalangan masyarakat. Sudah lebih 30 tahun berdirinya universiti Islam yang bertaraf antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sistem perbankan Islam kita yang diiktiraf di dunia dan penghasilan barangan halal yang menguasai pasaran tempatan dan luar negara.

Penerbitan kandungan televisyen patuh syariah melengkapkan prasarana sosial dan spiritual yang terbina itu. Industri kandungan kreatif dunia bernilai berbilion dolar dan, kita wajar menjadi pemain dengan menjadikan gaya hidup dan pemikiran Islam sebagai kerangka asasnya.

Oleh hal yang demikian,  tentulah suatu yang tidak adil untuk  melepaskan TV Al Hijrah bersaing di pasaran terbuka yang  kita tahu arusnya sama sekali berlawanan dengan matlamat stesen ini.  TV AlHijrah bukan sekadar perlu wujud,  tetapi mesti disokong  dari segi biaya dengan kemahuan politik  (political will) yang tinggi. – UTUSAN MALAYSIA 9 OGOS 2021

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *