Kita berada dalam bahaya apabila gandum sudah menjadi makanan asasi dan bergantung pada diimport sepenuhnya. (Gambar hiasan Antaranews.com)

Oleh Ku  Seman Ku Hussain

DALAM satu kenyataan media,  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberitahu,  India bukan pengekrport gandum ke negara ini. Kenyataan tersebut sebagai reaksi berkenaan langkah India menghentikan eksport gandum dengan serta merta.

Sebaliknya menurut kenyataan itu lagi,  sebanyak 80 peratus  keperluan gandum diimport dari  Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine. Maksud daripada kenyataan itu ialah rakyat tidak perlu bimbang kerana import gandum tidak melibatkan India.

Tetapi hakikatnya walaupun India  bukan pengeksport gandum ke negara ini, pergolakan Rusia dan Ukraine  boleh menjadi faktor kekurangan  bijiran itu di pasaran global.

Untuk rekod,  Rusia dan Ukraine membekalkan 30 peratus keperluan gandum global. Hal ini  menyebabkan peningkatan  harga  gandum  di pasaran global apabila permintaan lebih daripada bekalan. Pengguna gandum di negara ini akan menerima kesan secara langsung daripada keadaan ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonia Guterres memberi amaran bahawa pergolakan antara dua negara berkenaan akan memberi ancaman dan menyebabkan berjuta-juta penduduk dunia  berdepan krisis keselamatan makanan.

Sebelum ini Ukraine mengeksport sebanyak 4.5 juta tan hasil pertanian sebulan melalui pelabuhan negara itu. Bagaimanapun selepas tercetus pergolakan,  pelabuhan Ukraine jatuh ke tangan Rusia dan  bertindak menutup urusan import eksport dari Ukraine ke pasaran global.

Barangkali ada yang bertanya, kenapa isu gandum menjadi besar di negara yang makanan asasinya adalah beras?  Sebenarnya gandum sudah menjadi makanan asasi di Malaysia.  Keperluan gandum  dalam setahun mencatatkan  1.7 juta tan metrik berbanding beras hanya 1.6 juta tan metrik.

Tentulah suatu yang membimbangkan apabila kita terpaksa mengimport 100 peratus bijirin makanan asasi ini. Keadaan ini dengan sendirinya  mengancam keselamatan makanan di negara ini.  Malah pergolakan Rusia dan Ukraine juga memdorong banyak negara mengambil langkah mengurangkan eksport bahan makanan terutama gandum.

Isu keselamatan makanan tidak boleh diselesaikan dengan pendekatan ad hoc, sebaliknya memerlukan pelan dan dasar yang merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.  

Oleh kerana itu isu sebenar bukan sekadar gandum, tetapi kebergantungan yang tinggi terhadap bahan makanan yang diimport.  Serba serbi bahan makanan diimport walaupun negara ini mempunyai banyak tanah yang masih dibiarkan kosong.

Bagaimanapun hakikatnya pengeluaran beras negara hanya mampu menampung 63 peratus keperluan domestik. Begitu juga dengan sayuran yang hanya menampung 44.4 peratus daripada keperluan, buah-buahan pula mencapai tahap yang agak tinggi iaitu 78.2 peratus keperluan.

Bukan itu sahaja, malah dalam setahun Malaysia mengimport daging kambing bernilai RM879.4 juta, mangga (RM87.9 juta), kelapa (RM266.1 juta) dan daging lembu (RM2.2 bilion) untuk memenuhi keperluan domestik. Lebih 70 peratus daging kambing diimport dari Australia sementara mangga, kelapa dan daging lembu masing-masing diimport dari Thailand, Indonesia dan India.

Ini bukan lagi isu KPDNHEP. Sebaliknya tidak ada dasar yang khusus untuk mengurangkan kebergantungan yang keterlaluan terhadap makanan import.  Daripada sebesar-besar hingga sekecil-kecilnya semua diimport. Tidak ada  langkah proaktif  ke arah mengecil,  kalaupun tidak memenuhi sepenuhnya keperluan domestik.

Tentulah amat bahaya kalau bahan makanan termasuk asasi terletak di tangan orang lain. Walaupun ada pemimpin politik percaya bahawa  ‘duit itu raja’ (cash is king), tetapi tidak semua keadaan boleh diselesaian dengan duit.  Untuk membeli sokongan dalam pilihan raya mungkin  benar ‘duit itu raja’. 

Misalnyai untuk membeli bahan makanan dalam keadaan negara lain juga menjaga keselamatan makanan ketika berdepan konflik geopolitik dan perubahan iklim, ada duit belum tentu orang mahu menjual barang kepada kita.

Dalam keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu,  kita tidak boleh terlalu perasan dengan ‘cash is king.’  Keadaan yang melingkari kita sekarang adalah amat membimbangkan. Pengeksport mempunyai kuasa dan tidak semua keadaan ada duit semuanya akan menjadi kenyataan.

Statistik tahun lalu mencatatkan import bahan makanan kita mencapai RM55.5 bilion dan eksport hanya RM33.8 bilion sahaja.  Jumlah import yang lebih tinggi akan mewujudkan peningkatan defisit perdagangan produk makanan negara berjumlah RM21.7 bilion pada 2020, meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Dasar Pertanian Negara Ketiga  1998 – 2010 (DPN3) digubal dengan matlamat meningkatkan keselamatan makanan, pengeluaran serta menambahkan daya saing sektor pertanian dengan sektor lain.

Bagaimanapun DPN3 macam terperap apabila semuanya hendak bergantung pada bahan makanan import. Hal ini menjadikan kebergantungan itu pada tahap yang serius.  Kalau banyak bergantung  dengan bahan import, susahlah hendak bercakap tentang keselamatan makanan. Sebabnya keadaan memang tidak selamat kerana bahan makanan  kita berada di tangan orang lain.

Matlamat  DPN3  sememangnya cukup bagus.  Tetapi realitinya  sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun daripada  13.5 peratus  tahun 1995 pada 7.1 peratus tahun 2010.  Itu statistik sepuluh tahun lalu, sekarang mungkin semakin kecil.

Kemudian lancar pula Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0) kesinambungan fasa pertama dasar yang sama pada 2011 hingga 2020.  Melihat perkara-perkara yang digariskan dalam dasar ini,  kalau dizahirkan dengan jayanya pasti dapat mengurangkan bahan makanan omport.

Rancangan Buku Hijau yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razah Hussein pada 1974 sebenarnya satu isyarat penting untuk mengekang kebergantungan terlampau terhadap bahan makanan import.  Rancangan Buku Hijau  adalah satu gagasan penting mengangkat sektor pertanian tanpa menafikan peri pentingnya sektor lain, terutama industri.

Persoalannya adakah pemimpin-pemimpin selepas Tun Razak memahami hasrat Perdana Menteri kedua itu dalam konteks keselamatan makanan?  Malah ada pemimpin yang teruja menjadikan Malaysia negara industri hingga meminggirkan sektor pertanian.

Maka tidak hairanlah kalau ketika ini diibaratkan duit di tangan kita, tetapi makanan di tangan orang. Kalau orang tidak mahu menjual, kebulurlah kita jadinya. Konsep jelapang padi dalam masyarakat Melayu perlu difahami fahsafahnya. Sekarang kita sudah tidak ada ‘jelapang padi.’

 

 

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *