Pesta arak, The Better Beer Festival 2017 sepatutnya diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di sebuah premis di Kuala Lumpur. Difahamkan sudah beberapa kali pesta arak dianjurkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun hanya kali ini pihak penganjur tidak diberi kebenaran oleh pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kalau benarlah sudah beberapa kali dianjurkan dan mendapat kebenaran DBKL, pihak berkuasa tempatan itu perlu tampil memberikan penjelasan untuk mengelakkan kekeliruan bahawa kebenaran akan terus diberikan sekiranya tiada penentangan daripada orang ramai.
Ada pihak yang berhujah, apakah luar biasanya arak di Kuala Lumpur? Banyak pusat hiburan yang menyediakan arak dan sebuah pusat hiburan terbesar dan paling berprestij di Jalan Tun Razak juga menyediakan arak.
Nah, kalau arak bersepah dijual secara terbuka di Kuala Lumpur, kenapa pula kecoh dengan pesta arak yang diadakan selama dua malam itu? Seolah-olah wujud pilih kasih antara pusat hiburan yang menjual arak dan penganjur pesta arak.
Difahamkan pesta arak ini bermula pada 2012 sebuah premis di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan disertai oleh lebih 200 pengunjung. Penganjuran pada 2016 di sebuah pusat membeli belah di Sri Hartamas menyediakan 150 jenama arak dan dihadiri oleh 3,500 orang.
Pada tahun ini penganjur merancang membawa lebih 250 jenama arak daripada 43 syarikat di seluruh dunia san sasaran pengunjung dijangka lebih 6,000 orang. Saiz penganjurannya semakin besar dan kalau tahun ini juga mendapat kebenaran DBKL, pesta arak akan membawa nama Malaysia sebagai lokasi pesta arak yang bertaraf dunia.
Dari satu sudut, pesta arak ini mesti ditentang kerana bercanggah dengan semangat Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Memang benar sasarannya bukan kepada orang Islam tetapi kesan sosialnya tidak mengira agama atau bangsa.
Memang benar, sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum dan agama, menjual arak kepada bukan Islam bukanlah satu kesalahan dengan syarat ada lesen yang halal dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Mungkin kerana itulah bersepah tempat minum arak di Kuala Lumpur walaupun sepatutnya tidak begitu.
Bagaimanapun menganjurkan acara yang menjurus kepada mempromosikan gaya hidup minum arak memberikan kesan yang berbeza iaitu mempengaruhi untuk turut serta dalam gaya hidup itu. Maka kita mesti menentang kerana minum arak membawa keburukan kepada manusia.
Dari sudut yang lain, semua agama dan budaya mengaku dan bersetuju bahawa arak membawa keburukan kepada manusia. Pakar-pakar perubatan tidak kira Islam atau bukan sependapat mengatakan kesannya menjahanamkan manusia dan kemanusiaan.
Maka menentang pesta arak bukanlah satu tindakan yang berat sebelah (bias) kepada bukan Islam. Ini juga untuk menyelamatkan mereka dari terperangkap dalam gaya hidup yang memudaratkan ini. Setiap tindakan khalayak yang menghalang sesuatu yang membawa mudarat kepada kehidupan mereka adalah undang-undang yang baik.
Misalnya merokok di tempat awam, pada mulanya bukan dilarang dengan kuasa undang-undang. Tetapi disebabkan merokok di tempat awam membawa mudarat kepada orang ramai, penentangan terhadap perbuatan ini dijadikan undang-undang dan sudah dilaksanakan.
Samalah juga dengan perbuatan minum arak atau pesta arak. Apabila orang ramai merasakan perbuatan itu mengancam atau membawa keburukan, sepatutnya sudah dijadian undang-undang untuk menghalangnya. Jadi, tindakan DBKL walaupun terlambat adalah suatu yang baik kerana arak sememangnya membawa keburukan kepada orang ramai.
Bagaimanapun penentangan pesta arak di Kuala Lumpur tidak datang daripada pihak yang mendabik dada kononnya mengaku sanggup berjuang “demi agama dan bangsa.” Sebaliknya suara mereka tenggelam dalam retorik perebutan kuasa padahal kalau mahu melihat dari sudut Islam, pesta arak ini sangat mencemarkan Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara Islam.
Di mana “pejuang-pejuang agama dan bangsa” ketika Kuala Lumpur akan muncul dalam kalendar pelancongan dunia sebagai pusat arak terkemuka? Siapa sebenarnya yang mereka lindungkan di sebalik “kebenaran” pesta arak sebelum ini? Suara siapa pula sebenarnya yang membawa kepada pengharaman penganjuran pesta arak tahun ini?
..suara hati nurani menolak perkara tak soleh
Saya rasa suara pembangkang yang menggagalkan suara ino ataupun kerajaan yang sengaja main isu.
Hukum-hakam islam sudah jelas, mengapa penguatkuasa pula culas?