Ketika novel SHIT (1999) karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang menghentam Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menjadi kontroversi, banyak pemimpin UMNO pelbagai peringkat bangkit membalas kritikan Shahnon. Belum pernah UMNO mengambil peduli tentang dunia sastera dan bahasa, itulah kali pertama kerana faktor Dr Mahathir. Saya banyak membaca novel Shahnon seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Ummi Dan Abang Syeikhul, Tok Guru, Tivi dan Menteri. Saya juga baca memoir Shahnon, Detik-Detik Diri Di Daerah Daif yang menghamparkan kehidupan zaman kanak-kanak Shahnon di Banggol Derdap. Maka saya tidak ketinggalan membaca SHIT yang ketika itu ada ura-ura hendak diharamkan. Tetapi Dr Mahathir tidak melayan desakan oportunis UMNO dan novel itu tidak diharamkan. Dalam banyak hal saya tidak suka dengan SHIT, bukan kerana menghentam Dr Mahathir. Saya menyuarakan pandangan yang bertentangan dengan arus perdana UMNO ketika itu. Saya percaya karya Shahnon ini telah dijadikan alat oleh pihak tertentu dalam UMNO untuk kepentingan politik. Saya tidak suka SHIT tetapi saya tidak membiarkan karya ini menjadi mangsa orang politik. Rencana tulisan saya disiarkan oleh Pengarang Rencana Rashid Ahmad pada April 1999 di Utusan Malaysia. Seingat saya tidak ada tulisan dalam akhbar arus perdana yang tidak menghentam Shahnon. Banyak yang tiba-tiba menjadi "panglima perang " bersuara lantang mempertahankan Dr Mahathir. Saya bukan membela Shahnon. Cuma saya fikir Shahnon tidak wajar dijadikan alat oleh oportunis yang berkubang dalam UMNO menggapai kepentingan politik. Padahal Dr Mahathir tenang saja berdepan dengan kritikan Shahnon. Saya mempunyai pendirian yang berbeza, Shahnon tidak wajar menjadi mangsa oportunis UMNO yang berpura-pura "taat setia" kepada Dr Mahathir. Lalu saya memberikan pandangan yang bertentangan sama sekali dengan arus perdana ketika itu.
Tangani isu SHIT dengan waras
(Utusan Malaysia 29 April 1999)
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
NOVEL terbaru Sasterawan Negara Prof. Datuk Shahnon Ahmad, SHIT dikecam sekaligus mencetuskan kontroversi terhebat dunia sastera abad ini. SHIT dianggap lantang dan garang kerana sebelum ini sastera bagi kebanyakan orang hanya untuk khalayak sastera sahaja.
Antara alasan ia dikecam kerana ada perkataan lucah, carut, jijik dan aib yang ditujukan kepada pemimpin negara. Pihak yang kecewa dengan kritikan Shahnon ini mencadangkan gelaran Sasterawan Negara ditarik balik. Malah ada juga mencadangkan kerajaan mengharamkan SHIT.
Demikianlah remehnya cadangan pihak yang tidak sependapat dengan Shahnon. SHIT akan bertambah kusut lagi menjijikkan apabila jatuh ke tangan pihak yang mengambil jalan penyelesaian seperti ini.
Kalau memoir Shahnon Detik-Detik Diri Di Daerah Daif (1991) boleh dijadikan cermin untuk menelaah ranjau hidup zaman kanak-kanaknya, SHIT lahir daripada provokasi senario politik semasa.
Shahnon hilang kesabaran berdepan realiti politik yang tidak dibayangkan semasa menghasilkan karya agungnya, Ranjau Sepanjang Jalan. Barangkali ini juga boleh dilihat dari sudut psikologi tentang tindak balas seseorang yang kecewa dengan senario politik semasa. Malah Shahnon sendiri mendakwa dalam keadaan biasa, beliau tidak mungkin akan menulis begitu.
Menangani isu sebuah karya yang keluar daripada arus perdana seperti ini menuntut kematangan. Menarik balik gelaran Sasterawan Negara boleh dibuat bila-bila masa. Gelaran itu diberikan oleh kerajaan kepada golongan sasterawan. Dan kerajaan boleh menarik balik sekalipun tanpa perlu memberikan sebabnya.
Tetapi memberi dan menarik balik gelaran itu hanya akan memperemehkan gelaran Sasterawan Negara. Kalau ini dilakukan, gelaran itu sendiri akan membawa pengertian yang tidak enak untuk sasterawan yang dianugerahkan Sasterawan Negara masa kini dan akan datang.
Shahnon diberi gelaran itu kerana sumbangannya. Apabila mahu menarik balik, orang akan bertanya, hilangkah sumbangannya yang dulu? Begitu juga tindakan mengharamkan SHIT. Kerajaan mempunyai kuasa penuh sama ada mahu mengharamkan atau sebaliknya. Kalau diharamkan, haramlah SHIT. Tetapi itu bukanlah jalan penyelesaian.
Untuk lebih adil dan menelanjangi kenapa Shahnon menulis begini, SHIT perlu diperdebatkan secara intelektual seperti karya-karya yang lain. Motif sebenar Shahnon perlu diketahui sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau atau novel ini.
Ini kerana SHIT memang layak menjadi polemik dan diperdebatkan. Ia luar biasa, aneh dan kemarahannya berapi-api kepada sebuah sistem yang menaungi rakyat tidak pernah dihamburkan oleh sasterawan besar sebelum ini.
Kerana sifatnya yang aneh, ia tidak boleh diambil ringan, sambil lewa, sensasi atau bersifat politik semata-mata. Keanehan SHIT perlu dilihat daripada pelbagai sudut kerana ia dihasilkan oleh seorang sasterawan besar.
Dan hanya menerusi debat intelektual sahaja boleh melihat Shahnon yang sebenarnya dalam kontroversi novel terbaru ini. Pandangan seimbas lalu dalam kalangan yang di luar dunia sastera hanya akan membuatkan ruang perdebatan tertutup dan terus sensasi.
Untuk lebih adil mereka yang mahu melibatkan diri dalam polemik seperti ini bukan sahaja perlu membaca malah menerjuni aliran pemikiran penulisnya.
SHIT kalau mengikut Shahnon adalah sebahagian daripada pengaruh gaya penulisan realisme magis sasterawan Gabriel Garcia Marquez yang mendapat Hadiah Nobel 1982. Ini juga kena diambil kira sebelum memperkatakan tentang kelucahan Shahnon dalam karya ini.
Gaya realisme magis menggabungkan realiti dan imaginasi. Selalunya karya yang seperti ini akan mencetuskan kontroversi. Ini kerana umumnya pembaca akan melihat realiti sebagai realiti tetapi imaginasi sebagai satu kekarutan yang sengaja dicipta oleh penulis.
Kalau SHIT dianggap lucah lagi menjijikkan, apa hal pula dengan buku memoir Shahnon, Detik-Detik Diri Di Daerah Daif? Kalau disaring banyak perkataan lucah lagi memualkan dalam memoir itu.
Tetapi memoir ini tidak menyentuh senario politik sebaliknya menelanjangi pengalaman diri Shahnon yang tidak mungkin sanggup dilakukan oleh mana-mana sasterawan lain. Apakah sesetengah pihak sanggup melupakan kelucahan ini semata-mata kerana ia bukan bersifat politikal?
Selain memoir itu, boleh ambil juga novel Ummi Dan Abang Syeikhul, Tok Guru atau Tivi yang juga ada kelucahan; kalau kita melihat kelucahan sebagai isu. Kenapa kelucahan dalam Tivi atau Tok Guru hanya diperdebatkan oleh orang sastera sahaja?
Di mana orang politik? Bukankah mereka juga wajar memberikan pandangan sebagai ahli masyarakat di luar sastera yang juga bertanggungjawab tentang hal-hal moral?
Atau adakah kecaman hebat ini semata-mata kerana SHIT ditulis oleh seorang sasterawan besar yang diberi gelaran Sasterawan Negara? Kalau gelaran menjadi isunya, ini kena diperjelaskan bahawa Sasterawan Negara, sasterawan biasa, orang yang baru hendak menjadi sasterawan atau penulis jalanan akan memberi makna yang berbeza pada perkataan yang sama.
Penjelasan ini perlu supaya semua orang tahu bahawa makna perkataan lucah juga kena dilihat siapa yang menulisnya. Menangani isu SHIT secara adil dan matang sebenarnya penuh kesukaran.
Kejujuran pihak berkuasa mengambil apa sahaja tindakan ke atas novel ini biarlah kerana kepentingan umum. Kalau kata sepakat dicapai untuk menolak novel ini biarlah kerana ia memberi risiko kepada umum.
Seandainya SHIT tidak mempunyai perkataan yang lucah, carut dan jijik apakah SHIT akan diterima sebagai sebuah karya yang sama seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, Sungai Mengalir Lesu atau Imam? Diterima dalam konteks ini bermaksud tidak dibaca, dipedulikan atau disensasikan. Ini juga satu persoalan yang perlu diperjelaskan.
SHIT pada umumnya sebuah satira politik beraliran pascamoden yang mengangkat senario semasa. Shahnon mempersembahkan dengan gaya realisme magis tentang sebuah dunia di dalam usus. Shahnon mengkritik pergolakan politik di negara usus.
SHIT menunjukkan semua pihak tidak kira individu, institusi atau kelompok politik memang menolak pemimpin negara dilucah dan dijijikkan. Adakah ini yang mahu dikatakan oleh Shahnon?