Buku The Death and Life of American Journalism
Said Zahari
Mustapha Kamil 

Kewartawanan arus perdana kita sedang diperhati. Sedang diuji apabila benar dan kebenaran yang menjadi paksi kewartawanan sudah terabai. Benar yang hakiki ditutup dengan benar berkepentingan. Daripada menjadi mata dan kepala rakyat, menegur penguasa kini dipaksa berubah kepada pembawa perutusan.

Kita wajar berbangga kerana pernah memiliki wartawan-wartawan Melayu yang perjuangkan kebenaran demi rakyat. Mereka inilah yang meniup gagasan “Malaya pasti merdeka” waima diri terperosok di rumah pasung. Hal ini berlaku jauh lebih awal dari wujudnya sebuah parti yang kini bagai dinasour yang enggan mati.

Kebenaran itu paksi. Di mana-mana ceruk sekalipun itulah paksi. Melaporkan yang benar selepas benar-benar berusaha mencari kebenaran dengan sandaran munasabah. Ironinya ada kuasa memaksa wartawan memadamkan yang benar, digantikan dengan “yang benar” dari jurus penguasa.

Tanpa wartawan yang bebas mempertahankan kebenaran, kemungkinan ada penguasa akan muflis akhlaknya. Hal yang demikian berlaku kerana tidak ada “periksa dan imbang” untuk menegur atau menghalang kebobrokan.

Begitu jugalah halnya kalau tidak ada penguasa yang luhur akan kebenaran, kewartawanan yang luhur pula yang terganggu. Apabila ketidakbenaran berada di ambang pintu, demokrasi dan keadilan terbang ikut tingkap. Hilang.

Bapa-bapa kita, perintis kewartawanan Melayu; A. Samad Ismail, Rahim Kajai, Pak Sako dan Said Zahari sanggup berkorban kerana pertahankan kebenaran. Putih tidak boleh dikatakan hitam dan hitam tidak boleh dikatakan putih.

Mereka telah memberi teladan yang bukan sedikit untuk renungan generasi wartawan kini. Said Zahari, misalnya sanggup bangkit menentang campur tangan politik dalam kewartawanan. Walaupun kerdil, beliau melakukan suatu yang besar kepada kewartawanan. Beliau tewas, dipecat dan kemudian dikurung tanpa bicara 17 tahun lamanya di Singapura. Benar, di Singapura bukan Malaysia. Tetapi sejarah tidak lupa siapa yang mempengaruhi Lee Kuan Yew menangkap Said Zahari. Beliau sanggup mendepani semua itu kerana campur tangan politik akan melunturkan kebenaran dalam kewartawanan. Memang benar, kebimbangan itu kini berlaku.

Robert McChesney dan John Nichols dalam buku The Death and Life of American Journalism, antara lain mengatakan, tahap kebebasan kewartawanan yang tinggi tonjolkan kebenaran boleh membantu kelicinan pentadbiran, menggerakkan ekonomi dan menyuburkan budaya politik yang sihat.

Buku yang ditulis oleh dua sarjana media neo-Marxist ini secara jelas memperlihatkan kebimbangan dengan kerakusan kerajaan di sesetengah negara mengambil alih kedudukan kewartawanan sebagai kuasa keempat (fourth estate) dalam pentadbiran negara.

Wartawan mesti diberi ruang meraikan perbezaan pandangan yang melibatkan kepentingan rakyat serta tidak dinafi mendapatkan maklumat benar. Hujah mesti dilawan hujah. Sebarang usaha untuk memutihkan yang hitam atau sebaliknya tanpa hujah kukuh adalah tidak bermoral.

Kewartawanan luhur yang perpaksikan kebenaran sangat penting bagi sesebuah negara. Hal ini pernah diungkapkan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Thomas Jefferson pada tahun 1802, “Seandainya saya diminta memutuskan antara pemerintah tanpa media, atau media tanpa pemerintah, tanpa ragu sedikit pun saya akan memilih yang kedua, media tanpa pemerintah.” Padahal selama menjadi Presiden beliau kerap menjadi sasaran kritikan dan kecaman media tetapi tetap menganggap media penting bagi negara.

Bekas Pengarang Kumpulan NST, Mustapha Kamil dalam laman sosialnya menulis, “Dalam kerja saya, terdapat elemen yang dikenali sebagai disiplin kebenaran. Ini memerlukan wartawan melakukan segalanya dengan betul, betul dari segi ejaan nama orang atau tempat dan semua laporan yang difailkan. Tanggungjawab pertama wartawan adalah kepada kebenaran supaya boleh membimbing masyarakat dalam mengemudi jalan yang mereka pilih.”

Mustapha memilih meletak jawatan kerana merasa malu dengan wartawan dari Amerika yang berpejabat di Lower Manhattan, New York menulis mengenai isu di depan hidungnya. Lebih tragis lagi wartawan itu dicalonkan untuk Hadiah Pullitzer. Mustapha sanggup hilang pendapatan yang besar kerana mempertahankan “kewartawanan konservatif” berpaksi kebenaran yang dianutinya.

Benar, kini kewartawanan kita telah dimalukan. Tetapi ada yang hilang malu biarpun berita di depan muka ditulis orang dari seberang benua. Apa yang kita buat? Mungkin sedang sibuk mengutip dedaun lalang untuk menutup bangkai gajah yang baunya sudah sampai dari kutub ke kutub.

Kewartawanan juga tidak wajar menjadi sebahagian daripada birokrat yang memadamkan suara rakyat dan kumandangkan suara parti. Dua isu pelanggaran integriti yang menjadi bahan media seluruh dunia itu sudah cukup memburukkan negara sekaligus dunia kewartawanan yang ada. Rakyat diugut jangan percaya media luar tetapi ironinya “mengOSAkan” fakta. Paranoid apakah yang sedang melanda?

Benar sekali kata pujangga, biar setajam mata pedang sekalipun, pena yang jatuh ke tangan oportunis tidak sama jatuh ke tangan wartawan pendiri keluhuran dan kebenaran. Di tangan oportunis, ketajaman mata pena  disalahguna, kuasa magis diseleweng, tanpa segan melindungi dan memihak pada kebobrokan.

Antara rakyat dan penguasa, di tengah-tengahnya adalah wartawan sebagai penyampai suara rakyat. Penguasa hanya pinjam kuasa dan rakyat melalui wartawan berhak mengawal supaya kuasa tidak disalahguna. Kuasa itu api, kecilnya berguna, bila terlepas kawal memberi bahaya.

Seperti kata sejarawan Inggeris, Lord Acton (1834 – 1902), “Kuasa cenderung pada salah guna. Kuasa yang mutlak cenderung salah guna yang juga mutlak. Oleh hal yang demikian, wartawan mesti menyampaikan segala berkaitan kepentingan rakyat tanpa ragu atau bersalah.

(Nota: Artikel ini sempena 1 April 2018 genap dua tahun saya mandiri dan menjadi wartawan bebas)

Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *