Berikut adalah teks ucapan Tan Sri Johan Jaaffar yang mewakili wartawan senior pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade pada 11 April 2018.

 

Johan Jaaffar ketika menyampaikan ucapan di Matrade 11 April 2018.
(Gambar Berita Harian)

Peristiwa hari ini tentulah amat bersejarah bagi kaum wartawan negara ini. YAB Perdana Menteri akan merasmikan pelancaran Hari Wartawan Nasional Malaysia atau akan dikenal dengan akronim (Hawana) yang pertama pada hari ini.

Moga-moga tarikh 29 Mei setiap tahun akan menjadi satu tarikh penting bagi menjamin kebebasan media dan kebebasan bersuara di negara ini di samping membuktikan komitman kerajaan menghargai fungsi media dan pengamalnya. Tarikh itu adalah tarikh kelahiran akhbar Utusan Melayu terbitan syarikat Utusan Melayu di Cecil Street, Singapura pada tahun 1939.

Kita semua sedar peranan yang sangat penting yang dimainkan oleh wartawan dan media dalam negara membangun seperti ini – menjadi mata dan hati rakyat, menjadi suara bicara massa, bertindak sebagai   check and balance, juga menjadi conscience sebuah negara bangsa.

Saya pernah berkhidmat dengan syarikat Utusan Melayu. Syarikat ini bermula dengan akhbar tulisan jawi Utusan Melayu yang terbit 79 tahun yang lalu. Akhbar yang dikatakan menjadi “suara keramat” orang Melayu itu lahir 63 tahun setelah munculnya akhbar Melayu yang pertama yakni Jawi Peranakan pada tahun 1876.

Memang, akhbar tertua di negara ini, Straits Times lahir 94 tahun lebih awal (1845) tetapi Utusan Melayu lahir sebagai kemuncak kebangkitan persuratkhabaran Melayu. Menurut W.R. Roff dalam bukunya, The Origins of Malay Nationalism, syarikat Utusan Melayu merupakan syarikat akhbar yang pertama yang dibiayai, disunting dan dikendalikan sepenuhnya oleh orang Melayu.

Saya berhak berbangga menjadi sebahagian daripada tradisi gemilang syarikat dan akhbar Utusan Melayu. Sebelum saya, terdapat tokoh-tokoh wartawan yang hebat yang menyambung tugas yang dimainkan oleh Abdul Rahim Kajai, pengarangnya yang pertama, yang juga dianggap Bapa Kewartawanan Melayu.

Nama-nama yang pernah menjadi pengarang syarikat akhbar itu seperti Said Zahari, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin dan Tan Sri Zainuddin Maidin merupakan legenda dalam dunia kewartawanan Melayu.

Pada waktu yang sama kita tidak harus melupakan peranan yang dimainkan oleh akhbar vernacular dalam bahasa Mandarin, Tamil dan bahasa-bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak. Kita semua tahu bahawa dunia kewartawanan negara ini tidak kurang dramatiknya.

Malah berdasarkan sejarah Utusan Melayu tidak ada seorang pun ketua pengarang sebelum saya, termasuk saya sendiri, yang meninggalkan syarikat itu tanpa kontroversi. Bukan di Utusan Melayu sahaja sebenarnya kejadian “sekali air bah sekali pantai berubah” ini, ia berlaku hampir di semua organisasi media.  Benarlah agaknya kata orang, old soldiers never die, they just fade away. Dalam dunia kewartawan, good editors don’t fade away, they got fired.

Saya percaya teman-teman pemimpin redaksi media sedar itu tidak lebih daripada occupational hazards. Tapi mereka juga sedar bahawa mereka ada tanggungjawab yang besar pada negara. Sebagai pengarang atau wartawan mereka sebenarnya tidak penting. Tugas mereka yang lebih penting. Amanah yang diberikan pada mereka yang lebih penting.

Dan kita juga sedar tentang perubahan yang berlaku pada dunia media seluruhnya. Hari ini lanskap media telah berubah – Internet menjadi disruptor utama media. Media sosial mencorakkan dunia pemberitaan dan laporan. Tugas menyampaikan berita bukan eksklusif bagi organisasi media tapi nampaknya hak semua orang – citizen journalism mulai mencorakkan dunia laporan semasa.

Dalam keadaan itu, organisasi media menghadapi cabaran luar biasa. Banyak syarikat raksaksa media dunia menghadapi masalah. Di Malaysia, dalam masa tiga tahun kebelakangan ini saja, lebih 1,000 orang petugas media telah kehilangan pekerjaan. Rata-rata pendapatan syarikat media terjejas teruk. Maka itu syarikat media harus membuat penyesuain. Mereka harus bersedia membuat transformasi secara besar-besaran.

Kita faham dilema yang dihadapi oleh media hari ini – tentang mempertahankan kualiti atau mengamalkan proses pentabloidan di mana konsumerisme menjadi juara. We don’t necessarily thrive on chaos. “Never let a serious crisis go to waste” bukan semestinya tagline kita.

Bagi melariskan apa yang kita terbitkan atau siarkan, formula paling mudah adalah memberikan apa sahaja yang pembaca, pendengar atau penonton mahu, sekalipun ia akan memungkinkan proses dumbing down masyarakat seluruhnya. Saya teringat bait yang popular pada abad ke-19 di Fleet Street, London:

Tickle the public, make ‘em grin

The more you tickle, the more you’ll win

Advertisement

Teach the public, you’ll never get rich

You’ll live like a beggar and die in the ditch

Kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Saya teringat filem The Post arahan terbaru Steven Spielberg. Dalam filem itu apabila watak penerbit akhbar Washington Post, Katherine Graham yang dilakonkan oleh Meryl Streep menghadapi dilema untuk memastikan akhbar miliknya berjaya, beliau mengingatkan semua orang bahawa “quality and profitability must go hand-in-hand.” Kualiti harus memacu keuntungan.

Dalam senario inilah rakan-rakan pengamal media harus sedar bahawa tuntutan untuk menjadi lebih credible dan lebih berintegriti semakin lantang.  Pengarang akhbar menghadapi dilema membuat keputusan saban hari – to print or not to print. Atau ada kalanya to spin or not to spin. Pada hari ini saingan kita bukan lagi sesama kita sahaja tetapi apa yang terdapat dalam dunia siber dengan pelbagai platform media sosial serta akhbar dan TV talian yang semakin rancak.

Memanglah dalam keadaan sedemikian kita sentiasa berada dalam keadaan genting untuk membuat keputusan – “di belakang duri di depan api” – itu baris sajak yang amat terkenal yang ditulis oleh Allahyarham Sasterawan Negara Datuk Dr Usman Awang bagi menggambarkan dilema para wartawan yang terbabit dalam mogok Utusan Melayu pada tahun 1961.

Saya percaya teman-teman wartawan setuju dengan saya bahawa yang tidak berubah adalah wartawan sendiri – tanggungjawab, etika, komitmen kita. Media arus perdana tentunya masih relevan sekalipun di tengah dinamisme baru yang mengubah dunia media itu sendiri. Pengamal medialah yang harus memastikan ia terus relevan.

Pimpinan politik akan datang dan pergi. Tapi kita berada di sini – kita akan dinilai bukan kerana kesetiaan kita tetapi kredibiliti dan wibawa kita juga. Itulah legasi kita sebagai wartawan. Maka pertahankanlah integriti itu. Bagi golongan wartawan tidak ada yang lebih berharga daripada itu.

Saya menyeru pada pimpinan politik untuk memberikan ruang sewajarnya pada wartawan. Hargailah mereka dengan menyediakan air cover sewajarnya agar mereka dapat bekerja dalam persekitaran yang kondusif.

Bantulah mereka dengan mengurangkan kekangan untuk mereka menjalankan tugas tanpa ragu dan takut. Pada akhirnya lanskap media yang vibrant dan terbuka amat bermanfaat bagi negara. Ini pernah ditegaskan sendiri oleh YAB Perdana Menteri kita dalam salah satu ucapan beliau kepada para wartawan tidak lama dulu. Kita tidak perlu gusar dengan Fourth Estate ini sekiranya kita sama-sama bertanggungjawab.

Kita tidak sempurna, seperti juga pimpinan politik. Dalam ketidaksempuranaan itulah kita mahu menghasilkan yang terbaik. Pengamal media bukan mahu menjadi lebih pandai daripada sesiapa. Mereka sekadar ingin menjalankan tugas mereka. Ini bukan situasi dalam filem Mudhalvan (1999) di mana Ketua Menteri Tamil Nadu mencabar seorang wartawan yang kritikal untuk mengambil tempatnya dalam masa sehari. Wartawan itu menerima cabaran tersebut.

Dalam filem arahan S. Shankar itu, ternyata wartawan itu berjaya menyelesaikan semua masalah dalam sehari. Itu mungkin hanya boleh berlaku di dalam filem.  Saya juga ingin mencadangkan kepada pimpinan politik kita agar memperbanyakkan konsultasi dengan pihak media. Engage them. Mewujudkan dasar atau mengetengahkan sebarang akta boleh menjejaskan atau ditafsir sebagai menjejaskan kebebasan media dan kebebasan bersuara amat counter-productive malah merugikan negara untuk jangka panjang.

Bagi menjaga integriti profesyen kewartawan agaknya lebih baik kita membuat kawalan dalaman daripada kita dikawal dari luar. Di sini saya ingin menjengah kembali cadangan penubuhan sebuah Majlis Media Malaysia. Salah satu tugasnya adalah untuk menangani isu press complaints yang semakin lantang kedengaran.

Ada kalanya kita mendengar sungutan mengenai pelaporan yang tidak seimbang atau berat sebelah. Majlis ini juga akan memastikan fungsi sosial media diberikan perhatian serius. Majlis ini akan mewujudkan Media Accountability System (MAS) yang tersendiri. Juga untuk mengawalselia takrifan “fake news” yang banyak dibincangkan akhir-akhir ini – daripada pespektif kewartawanan.

Lebih penting lagi untuk memastikan hak dan obligasi media dan pengamalnya diberikan perhatian yang secukupnya selain mengawalselia aspek akauntabiliti dan kod etika pengamal media.

Saya percaya Majlis Media Malaysia bukan pertindihan pada Malaysian Press Institute (MPI) yang sedia ada atau mana-mana persatuan wartawan seperti National Union of Journalists (NUJ). Mungkin dengan penubuhan Majlis ini kita akan memberikan pengisian dan makna pada Hari Wartawan Nasional.

Sekian terima kasih

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Wartawan diukur kredibiliti bukan setia melulu”
  1. Menarik.gaya Johan ini – dramatik sintaksis dan parageraf, kaya petikan segar dan terkini. Terima kasih Ku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *