Paradoks. Ketika LGBT, keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja Islam, usaha liberalis dan sekularis menganggu gugat Islam menjadi satu fenomena yang amat mengancam Islam, sesetengah daripada orang Islam sendiri terlalu sibuk dengan kes sensasi lelaki 41 tahun berkahwin budak 11 tahun.
Di media arus perdana, media sosial, di pejabat dan di gerai-gerai di kaki lima orang Islam sendiri lebih gemar bercakap dan mengecam lelaki berkahwin dengan budak berbanding isu-isu sebenar yang menghimpit Islam dan umat Islam di negara ini.
Media arus perdana yang diterajui oleh Islam sendiri kelihatan tidak berfikir jauh dan begitu galak membuat susulan berita tentang lelaki itu, seolah-olah ini satu fenomena yang membahayakan umat Islam melampaui LGBT dan keruntuhan akhlak.
Saya tidak menyokong lelaki itu tetapi dia tidak mendatangkan bahaya seperti seks bebas atau LGBT termasuk dalam kalangan umat Islam di negara ini. Apabila kes yang amat terpencil (kebarangkalian satu dalam sejuta) ini diarusutamakan, dengan sendirinya kes ini memberikan persepsi buruk kepada Islam.
Musuh-musuh Islam dan penggerak “moderation” yang terdiri dalam kalangan liberalis dan sekularis Islam dengan pantas menuding jari pada kelemahan Islam yakni berlaku perbuatan kejam terhadap kanak-kanak. Tidakkah peneraju media terfikir dalam memburu nilai berita (news value) mereka juga mesti menimbang buruk dan baik terhadap Islam dengan sewarasnya?
Maka sejak dua tiga hari ini yang kelihatan buruk adalah Islam dan umat Islam yang berkahwin dengan kanak-kanak. Pada masa yang sama seolah-olah kita menerima LGBT, seks bebas dan keruntuhan akhlak yang amat serius dalam kalangan Islam.
Sebahagian besar pengguna media sosial melontarkan sumpah seranah kepada lelaki itu yang sebenarnya tidak melakukan kesalahan dari sudut syarak, tetapi mereka seolah-olah berpura-pura tidak nampak kepada ancaman yang lebih besar terhadap Islam. Puak sekularis dan liberalis memang suka isu begini dibesar-besarkan untuk menjayakan agenda mereka.
Dengan hal yang demikian bolehlah mereka mengangkat sebagai kajian kes di mana orang Islam yang berkopiah putih melakukan “jenayah” berkahwin dengan budak 11 tahun. Konotasi “berkopiah putih” membawa maksud orang yang patuh pada agama. Oleh kerana itu orang agama sebenarnya tidak boleh dipercayai.
Adilkah persepsi begini? Sedangkan ini satu kes terpencil yang sekadar mempunyai nilai berita tetapi tidak menimbulkan ancaman terhadap umat Islam. Ini adalah satu contoh bahawa sebahagian daripada kita belum matang berdepan dengan ledakan maklumat pada era liberalisasi media sekarang ini.
Mereka sangat naif, terikut-ikut dengan pemikiran musuh Islam tanpa mempunyai teras berfikir yang kukuh. Malah tidak dapat membezakan antara fenomena yang mengancam Islam dengan isu yang dibesar-besarkan untuk menimbulkan keraguan terhadap Islam.