Banjir dan hutan batu di Kuala Lumpur
Ku Seman Ku Hussain
Banjir kilat elok dijadikan salah satu tarikan pelancong di Kuala Lumpur. Ini kerana ada pelancong yang tidak pernah melihat kereta menjadi kapal selam di tengah-tengah bandar raya “negara maju” pada 2020, boleh melihatnya di Kuala Lumpur.
Masukkan banjir kilat di Kuala Lumpur dalam kalendar pelancongan bertujuan supaya keunikan bandar raya ini boleh dinikmatikan oleh pelancong luar negara atau luar Kuala Lumpur. Cadangan ini tidak pelik berbanding lebih peliknya pihak berkuasa tidak pernah tampil dengan pelan mengatasi banjir kilat yang komprehensif.
Memanglah memalukan bagi ibu negara Malaysia, negara maju 2020 tetapi masih ada pesta banjir kilat. Tetapi “cadangan” sangat munasabah kepada penguasa yang silih berganti, cuma yang tidak berubah ialah banjir kilat. Tidak hairanlah kalau ada yang sinikal menganggap banjir kilat sebagai identiti Kuala Lumpur yang mesti dipertahankan.
Bertukar Menteri dan Datuk Bandar sebenarnya tidak menukarkan apa-apa terhadap kebekuan berfikir untuk mengatasi masalah banjir kilat. Penguasa Kuala Lumpur pula kelihatan sangat rakus dengan definisi “pembangunan” dan “modenisasi” yang difahami sebagai tumbuhnya hutan batu yang mencakar awan.
Maka pantang ada tanah lapang semuanya hendak “dibangunkan” dan pembangunan yang melampau serta membelakangkan keperluan alam sekitar. Sikap beginilah yang menghadiahkan banjir kilat kepada warga kota.
“Pembangunan” hutan batu yang melampau tanpa memberi ruang pada alam bernafas dalam keadaan semula jadi ada aliran sungai, kawasan aliran air dan permukaan yang serap air yang mencukupi. Pembangunan yang menggila membuatkan kawasan serap air semakin kecil.
Dari segi fizikal, Kuala Lumpur sudah sangat hebat pembangunannya. Banyak bangunan tinggi berceracak bagaikan rebung di musim hujan. Kalau hendak tahu rebung di musim hujan, lihatlah Kuala Lumpur . Sekejap tumbuh dan tumbuh. Cuma yang tidak maju ialah sikap sesetengah penguasanya untuk mengimbangi pembangunan dan tuntutan alam.
Negara maju sebenarnya mengambil kira keperluan kemanusiaan warganya. Oleh hal demikian definisi pembangunan atau kemajuan itu mesti merangkumi keselesaan warganya. Kalau nampak gumpalan awan hitam pun perut sudah bergumpal-gumpal kerana bimbang berlaku banjir kilat, itu bukan pembangunan, jauh lagi keselesaan.
Pihak berkuasa sebenarnya menyumbang pada banjir kilat. Mereka rakus membangunkan Kuala Lumpur termasuk kawasan aliran air, akibatnya hujan gerimis pun boleh mencetuskan banjir kilat. Apatah lagi hujan yang mencurah-curah.
Apabila ditanya oleh wartawan, pihak berkuasa sekadar mengulang skrip lama ; saliran tersumbat dengan bahan buangan binaan, projek pembinaan di laluan air dan taburan hujan yang “luar biasa”. Warga kota hanya tersenyum mendengar alasan ini kerana menggambarkan pihak berkuasa sangat naif lagi pasif.
Siapa bertanggungjawab memastikan bahan buangan dan projek pembinaan di laluan air itu diluluskan? Bukankah pihak berkuasa yang sama? Mereka meluluskan projek pembinaan dan mereka juga menyalahkan pembinaan di situ.
Pelan pembangunan jangka pendek dan panjang rerhadap Kuala Lumpur sepatutnya mengambilkira perubahan iklim sepuluh atau 20 tahun akan datang. Pihak berkuasa tidak boleh terlalu pantas meletakkan banjir kilat pada faktor alam. Ini cuci tangan namanya.
Memang benar hujan adalah faktor alam tetapi akal manusia boleh mencari jalan supaya hujan lebat itu mengalir lancar hingga ke laut melalui Sungai Kelang tanpa tersangkut dan melimpah sebagai banjir kilat. Di mana akal penguasa dalam soal ini?