OLEH; KU SEMAN KU HUSSAIN (17.17 pm 15 Mac 2019)
Pada 1882 di Norway seorang dramawan tersohor, Henrik Ibsen menulis naskhah “An Enemy of the People,” mengenai seorang doktor Dr Thomas Stockmann yang cuba menyelamatkan sebuah bandar daripada pencemaran air yang dahsyat. Dr Stockmann cuba berterus terang tentang ancaman yang dihadapi rakyat walaupun adik, Peter adalah Datuk Bandar di situ.
Bagaimanapun Dr Stockmann mendapat tentangan daripada Peter kerana membesarkan isu pencemaran yang kritikal itu akan menjejaskan ekonomi terutama pelabur ke bandar itu. Birokrat mempunyai sudut pandang yang lain sekalipun nyawa rakyat dalam bahaya.
Naskhah ini telah diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan judul “Musuh Rakyat” diarahkan oleh Allahyarham Mustaffa Noor pada tahun 1985 di Pusat Seni Kuala Lumpur (sekarang pejabat JKKN Wilayah Persekutuan) bersebelahan dengan Balai Polis Jalan Bandar. Pelakon utamanya Johan Jaaffar (Tan Sri) sebagai Dr Stockmann.
Naskhah drama ini antara karya Henrik Ibsen yang saya suka, pertama kerana latar abad ke 19 dan kedua, kerana ini dianggap sebagai karya “dark realistic drama” di mana watak wira tidak dimenangkan seperti kebiasaannya. Pada abad ke 19 ini suatu yang luar biasa malah melanggar prinsip poetic justice di mana baik mesti dibalas baik.
Niat yang baik belum tentu lurus laluannya. Ini kerana selalunya niat yang baik mendatangkan kesusahan kepada pihak lain terutama yang mempunyai pengaruh dan wang. Seluruh sistem menjadi tidak berperanan dan lumpuh. Dr Stockmann terpaksa memujuk kawannya seorang editor akhbar untuk mendedahkan hal yang sebenarnya berlaku di bandar itu.
Ibsen menulis naskhah ini dalam konteks Norway dan Sweden dianggap mempunyai masyarakat yang progresif di dunia pada abad ke 19. Tetapi akhirnya dia faham bahawa ‘authoritarianism‘ itu tidak semuanya datang daripada pemimpin politik tetapi pihak-pihak lain yang dinamakan sebagai kelompok yang berkepentingan. Kepentingan rakyat terbang entah di mana.
Pada 2019 di Pasir Gudang Johor, lebih 1,000 orang awam menerima padah dan lebih 100 sekolah terutama di sekitar Sungai Kim Kim ditutup apabila sesetengah kapitalis yang mengaut untung dari kilang berdekatan membuang sisa toksik di sungai. Difahamkan lebih 250 kilang kimia di Pasir Gudang dan bayangkan berapa banyak sisa buangan toksik yang dihasilkan.
Kenapa para kapitalis ini begitu berani melakukan kerja sedemikian? Adakah penemuan tong-tong yang mempunyai sisa toksik itu pertama kali atau sudah berkali-kali tetapi kali ini baru terdedah? Apakah sudah jadi dengan pihak berkuasa yang diberi kuasa memantau kilang-kilang ini?
Di peringkat awal, di mana beberapa pelajar muntah-muntah dan pengsan, kenyataan awal pihak berkuasa tidak membayangkan keadaan sebenar sekarang. Ada kenyataan yang membawa maksud ‘tidak terlalu serius’ ketika banyak pelajar sudah dimasukkan ke unit ICU di hospital berdekatan.
Setakat ini selepas seminggu pihak yang bertanggungjawab belum dikenalpasti. Kenapa terlalu lambat? Rakyat mahu tahu siapa yang membuatkan hidup mereka diancam bahaya kerana ketamakan mengaut keuntungan dan bagaimana kesudahannya.
Rakyat memang wajar marah kerana kapitalis itu senang-senang mengaut untung yang lebih dengan membuangkan sisa toksik ke sungai. Padahal sudah ada pusat pelupusan sisa toksik. Tetapi kerana tamak kapitalis ini memilih cara yang percuma – humban saja di tepi sungai.
Kita percaya ini bukan kali pertama. Ini barangkali sudah berkali-kali kerana sebelum ini tidak mendatangkan kesan yang mendadak dan serius. Khabarnya sudah 51 laporan polis dibuat berhubung pembuangan sisa toksik secara haram ini. Baguslah yang ambil inisiatif buat laporan polis tetapi agensi-agensi tertentu jangan tunggu ada laporan baru hendak bertindak.
Kejadian ini juga perlu dijadikan iktibar supaya dalam kalangan rakyat mempunyai sikap kepedulian yang tinggi terhadap pencemaran alam sekitar. Isu pencemaran seperti ini sebenarnya tidak popular untuk dijadikan bahan bualan. Kisah dalam drama menjelang senja jauh lebih menarik perhatian untuk dibincangkan.
Ini adalah sikap sesetengah daripada kita. Malah sesetengahnya pada keadaan tertentu menyumbang pada pencemaran apabila menjadikan menjadikan sungai, pantai malah Dataran Merdeka di tengah-tengah Kuala Lumpur sebagai tong sampah. Mungkin kerana itu mereka kurang peduli apabila melihat ‘makhluk asing’ membuang tong-tong ke sungai.
Jadi, kalau ada watak ‘Dr Stockmann’ di Pasir Gudang atau di mana-mana selepas ini, jangan bunuh watak ini. Jangan menggelar dia sebagai ‘musuh rakyat.’ Memanglah orang yang menongkah arus selalu dilihat dengan penuh prasangka, apa lagi tatkala kita sudah ‘dibeli’ oleh watak-watak yang kelihatan suci dan bersih.
Sementara itu pemimpin-pemimpin pula janganlah mengeluarkan kenyataan serupa badut. Kenyataan begini tidak mampu menghapus kerisauan ibu dan bapa terhadap anak-anak yang masih di hospital. Pemimpin era sebelum ini pula tidak boleh cuci tangan. Sebabnya kejadian begini selalunya yang telah menjadi kebiasaan. Pemimpin era baru jangan pula menyanyi lagu ‘Bangau Oh Bangau’ untuk mencuci tangan.