OLEH: ARIF ATAN

Kenapa kita masih dimomokkan dengan kefasihan berbahasa Inggeris sebagai penentu untuk nilai kebolehpasaran siswazah di pasaran kerja?

Padahal, di Amerika negara penutur jatinya bahasa Inggeris pun, ramai graduan mereka sukar mendapat peluang kerja.

Negara India yang secara umum dianggap menguasai bahasa Inggeris juga menyaksikan jurang ekonomi tinggi dalam masyarakatnya.

Filipina dengan rakyatnya dikenali pandai cakap Inggeris pun akhirnya mengimport ramai pembantu rumah dan penyanyi kelab malam dan bukan dikenali sebagai negara melahirkan teknologi baru.

Beribu infiniti sudah diberitahu, ya, kita tidak menolak kepentingan menguasai bahasa Inggeris.  Namun, usah kehidupan bernegara kita termasuk memastikan setiap anak Malaysia mempunyai pekerjaan pun sampai peringkat dikuasai bahasa Inggeris.

Polisi baharu pemerintah serta faktor perkembangan teknologi yang semakin meminimumkan pengambilan tenaga kerja. Apa lagi kini kononnya kita menuju Revolusi Industri 4.0 juga mesti diambil kira ketika kita bercakap tentang peluang untuk memperoleh pekerjaan atau pendapatan tinggi.

Bahkan, realiti semasa pun sudah jadi bukti. Sejauh mana seseorang itu mempunyai hubungan atau jaringan kuat dengan “orang politik” yang sedang berkuasa juga akan menjamin banyaknya pendapatan diperoleh tanpa perlu pandai cakap orang putih.

Dikatakan juga graduan daripada keluarga B40 ramai menganggur. Jelas, status ekonomi keluarga itulah paling mempengaruhi peluang seorang lepasan universiti untuk mendapat kerja bukan tahap penguasaan bahasa Inggeris.

Contoh mudah, ibu bapa yang memiliki empayar perniagaan kosmetik boleh saja melantik anaknya sebagai pengurus syarikat walaupun tidak masuk universiti  atau bukan sekadar lemah bahasa Inggeris, berfikir secara rasional pun tidak ada.

Advertisement

Keluarga Cina yang memiliki kedai di bandar besar sampai ke pekan sejak zaman penjajah British lagi juga telah mendedahkan anak cucu mereka dengan perniagaan sejak mereka di bangku sekolah lagi.

Satu lagi, secara umum, mereka yang diterima layak masuk universiti sudah mempunyai tahap penguasaan bahasa Inggeris yang sewajarnya melalui penilaian MUET. Belum lagi siri ujian khas mengikut bidang pengajian.

Di universiti-universiti awam pun banyak kursus diajar dalam bahasa Inggeris dan mahasiswa yang akhirnya mengenggam ijazah itu secara rasminya boleh dianggap menguasai bahasa Inggeris.

Jadi, sekali lagi. Tahap fasih bahasa Inggeris yang bagaimana kita mahukan?

Adakah kita mahu anak Malaysia khususnya  Melayu dan Bumiputera Sabah, Sarawak sembang bahasa Inggeris persis macam lidah mat saleh sampai babi pun terbang tapi tidak lebih hanya tin kosong, tanpa pemikiran kritis dan pencipta apa lagi berjati diri untuk membangunkan anak bangsa bukan sekadar kembung poket semata-mata?

  • ARIF ATAN adalah penulis dan wartawan. Ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KUSEMAN.COM.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *