OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (Kemaskini 4.50pm 12/7/19)
KUALA LUMPUR – Ada tiga perkara yang perlu diperhatikan betul-betul dalam kes aktivis politik Wan Ji Wan Husin yang dihukum penjara setahun kerana menghina Sultan Selangor oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam Rabu lalu. Ada kecenderungan mengaitkan kes ini dengan ketiadaan kebebasan bersuara di bawah Akta Hasutan 1948.
Pertama, kes Wan Ji tidak ada kena mengena dengan kebebasan bersuara, kebebasan media atau kebebasan mengkritik pemimpin. Maka jangan sewenang-wenang membina persepsi bahawa Wan Ji adalah mangsa Akta Hasutan 1948 yang sebelum ini didesak oleh pihak tertentu supaya dimansuhkan.
Wan Ji tidak mengkritik mengikut norma sosial sejagat. Sebaliknya dia mengeluarkan kata-kata yang penuh kebencian, hasutan dan fitnah terhadap Sultan menerusi laman sosial miliknya. Yang ditulis oleh Wan Ji tidak boleh dianggap atau disekutukan sebagai kebebasan bersuara.
Ini sama sekali bukan kebebasan bersuara tetapi kebebasan mengeluarkan kata-kata kesat. Adakah mengeluarkan kata-kata yang penuh kebencian dan hasutan boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara? Apakah pula maknnya ‘kebebasan bersuara’ itu kalau dibiarkan mendatangkan kesan yang buruk kepada pihak yang menjadi sasarannya?
Setakat ini kerajaan Pakatan Harapan telah menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya mengenai kebebasan bersuara. Oleh yang demikian jangan sama sekali merosakkan definisi ‘kebebasan bersuara’ yang diberikan oleh kerajaan dengan perbuatan yang sama sekali bertentangan kebebasan yang sepatutnya tidak terlepas dari kompas sosial mahupun agama.
Rakyat yang waras menyambut baik ruang kebebasan bersuara yang diberikan oleh kerajaan. Tetapi dalam kes Wan Ji ini sama sekali bukan isu kekangan kebebasan bersuara. Oleh kerana itu masyarakat terutama generasi muda jangan menjadi semut yang hanya mengikut tanpa berfikir akan kewajarannya.
Ada kelompok membuat perhimpunan aman di depan Penjara Kajang sebagai tanda solidariti kepada aktivis politik ini. Sebenarnya mereka bersolidariti untuk apa? Untuk memperjuangkan kebebasan bersuara atau apa?
Mempersoalkan tentang tempoh hukuman yang lama atau tidak, itu suatu yang tidak memudaratkan. Bagaimanapun memberikan gambaran bahawa Wan Ji mangsa Akta Hasutan 1948 adalah suatu yang tidak bertanggungjawab. Kalau individu lain sekalipun, perbuatan itu mesti ditangani dengan hukuman yang memperlihatkan ketegasan.
Kedua, adakah wajar kes Wan Ji dijadikan sebagai pemangkin pihak tertentu supaya kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948? Desakan memansuhkan Akta Hasutan 1948 telah bermula sejak 2012 lagi. Alasannya akta itu sudah lapuk dan mencabul hak asasi manusia. Desakan mereka berjaya apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 dan Akta Kediaman Terhad telah dimansuhkan pada 2011 walaupun kerajaan (ketika itu) mengatakan bukan kerana desakan tetapi satu ‘transformasi’.
Majoriti rakyat sebenarnya tidak terbeban dengan Akta Hasutan 1948. Akta ini hanya menganggu golongan proanarki pasca PRU 12 yang bertindak melampau menyentuh perkara yang menjadi teras Perlembagaan. Ini menggugat kestabilan politik dan kaum apabila kedudukan orang Melayu, Raja-raja Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dicabar.
Ketiga, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan isyarat yang mengelirukan apabila mengeluar kenyataan untuk berjumpa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir membincangkan kes Wan Ji. Kenapa berjumpa Perdana Menteri? Di mana kefahaman Anwar terhadap ‘Rule of Law’ ?
Selain Anwar beberapa aktivis politik dan sosial lain juga membangkitkan persoalan kenapa kerajaan Pakatan Harapan ‘memperlakukan’ sedemikian kepada Wan Ji yang banyak berjasa dalam perjuangan Pakatan Harapan? Adakah ini menunjukkan wujud situasi di mana kroni akan terlindung daripada undang-undang? Sekali lagi, di mana ‘Rule of Law’?
Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menekankan dengan pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan judisiari. Sistem ‘check and balances’ dalam pemisahan kuasa ini mesti dipertahankan demi keharmonian rakyat dan negara. Semoga kerajaan tidak terus diheret dalam kes Wan Ji.