OLEH SYAHRIL A. KADIR

SEMALAM bila saya bercerita kembali kisah mendiang S. Kulasingam, pegawai polis yang pernah ditembak sampai organ tubuhnya hancur, ditetak dan pernah disimbah asid, ramai yang tanya, takkan hanya pegawai saja yang hebat, anggota tak adakah?

Bila sebut anggota, tak boleh tidak ingatan saya akan melayang kepada Sarjan (B) Nazaruddin atau lebih dikenali sebagai Sabu ini. Walaupun dah dua tiga kali saya menulis mengenai beliau, namun saya tidak pernah jemu bercerita mengenai bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK) dan detektif Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur ini.

Penulis (kiri) bersama-sama Sarjan Sabu.

Di tangannya saja, berpuluh dan mungkin beratus perompak, penculik, pembunuh dan penjenayah tegar yang mengganas di ibu kota Kuala Lumpur sekitar tahun 1980-an mati di hujung senjatanya sampaikan ada dalam  kalangan penjenayah menggelarnya Malaikat Maut.

Beliau pernah dikejarkan ke hospital kerana ditembak di bahagian leher, beliau pernah hampir lumpuh kerana terjatuh sewaktu latihan terjun payung, calar balar kerana bertumbuk dengan samseng-samseng  jangan ceritalah.

Namun kerana semangat yang luar biasa, beliau tidak pernah menunggu lama untuk berada di wad. Sewaktu kelongsong peluru menembusi lehernya, Sabu hanya baring beberapa jam di wad, ini kerana beliau ambil keputusan untuk ‘lari’ sebab hendak menyambung tugas.

Sarjan Sabu (kiri) selepas bersara daripada PDRM.

Dalam peristiwa tebusan Penjara Pudu pada tahun 1986, Sabu dan rakan-rakan UTKnya hanya mengambil masa beberapa minit untuk menumpaskan kumpulan penculik di penjara tersebut – dan mereka hanya menggunakan batang rotan.

Sabu yang terkenal dengan imej berambut Afro, lebih suka menggunakan pump gun untuk menamatkan riwayat penjenayah selain pistol semi automatik yang diikat kemas di pinggang dan kakinya.

Disebabkan semangat dan keberaniannya yang luar biasa, Yang Dipertuan Agong berkenan menganugerahkan pingat kedua tertinggi keberanian negara, pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Sabu. Ketika ini tak ramai penerima pingat PGB yang masih hidup dan Sabu adalah salah seorang daripadanya.

Advertisement
Sarjan Sabu ketika bertugas. (Gambar The Rakyat)

Ini kata-kata Sabu ketika saya menemubualnya suatu ketika dulu;

“Tiap-tiap manusia ada perasaan takut, bila kita nak pergi ke satu-satu operasi, belum bergerak lagi kencing dah tak betul. Walaupun dah dilatih, perasaan takut tetap ada, toksah temberanglah. 

“Tetapi bila dapat tahu penjenayah itu suka bunuh orang dan sebagainya, perasaan takut itu hilang. Masuk saja van, kita dok ingat muka penjenayah tu saja. Kita tahu kita mesti nak ‘ambil’ dia.

” Ajal maut di tangan Tuhan, Bismillah…jalan!”

Namun sayang, insan hebat sepertinya kini seolah-olah tidak diperdulikan. Beliau yang kini berumur dalam lingkungan 70 an hanya menghabiskan masa di flat PPR di Jalan Peel, Cheras. Tiada gelaran kebesaran bawa gelaran Datuk atau Tan Sri, tiada tanah kurniaan, tiada apa hendak dibanggakan.

Sarjan Sabu, aksi seorang pemberani. (Gambar The Rakyat).

Nasib baiklah PDRM masih ingat untuk menjemputnya ke PULAPOL pada setiap kali ulang tahun pasukan. Sekurang-kurangnya dapatlah beliau melepaskan rindu pada pasukan yang dicintainya itu.

Insan seperti Sabu adalah antara ribuan anggota pasukan keselamatan yang sanggup menggadai nyawa bagi memastikan kita tidur lena, namun sumbangan mereka semakin hari semakin dilupakan, dihargai jauh sekali.

Yang pasti, andaipun suatu hari nanti mereka tiada lagi di dunia ini, semangat mereka akan terus kekal dan tak akan mati.  Teringat kata-kata General McArthur – “Old soldiers never die, they just fade away.”

  • SYAHRIL A. KADIR adalah mantan wartawan kanan jenayah Utusan Malaysia dan kini menjadi penulis buku. Tulisan ini kali pertama disiarkan di laman Facebook Syahril A. Kadir.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *