OLEH KU SEMAN KU HUSSAIN (4.14pm 6 Ogos 2019)

Kalau pemimpin Cina menolak subjek tulisan jawi di sekolah vernakular Cina di negara ini sebagai mempertahankan jati diri kecinaan mereka,  orang Melayu juga boleh mencipta naratif yang sama – menolak tulisan jawi sebagai satu pengkhianatan kepada negara.  Jawi adalah khazanah negara sejak 700 tahun lalu.

Menolak subjek jawi sebenarnya naratif perkauman yang dimainkan oleh sesetengah pemimpin parti Cina. Orang Melayu tidaklah bebal  untuk memahami yang tersirat daripada tindakan angkuh ini. Lagi pun bukan payah sangat pun untuk memahami sikap kedua-dua parti ini.

Jawi adalah aksara orang Melayu yang diambil dari tulisan Arab. Tulisan ini sudah berusia lebih 700 tahun, jauh lebih awal daripada kedatangan Cina untuk mencari rezeki di negara asal Melayu ini.  Jawi menjadi tulisan perdagangan dan diplomatik pada zaman kegemilangan empayar Melaka lagi.

Jawi dan orang Melayu mempunyai pertalian sejarah yang sangat jelas. Kerana sejarah inilah sesetengah pemimpin Cina melihat dari sudut naratif perkauman – jawi adalah Melayu.  Menerima subjek jawi  bererti  membuka diri pada asimilasi sosiobudaya Melayu.

Isu tulisan jawi di sekolah vernakular tidak dapat lari daripada naratif perkauman yang disemarakkan oleh DAP sejak sekian lama. Jangan percaya alasan menolak subjek jawi kerana membebankan pelajar, semua itu bohong belaka.

Kerana itu apabila pemimpin yang kelihatan ‘macam’ selari dengan kerajaan apabila berkata dia sendiri pernah belajar jawi dan itu sama sekali tidak mengurangkan  jati diri Cina dalam dirinya,  ini mesti difahami betul-betul.

Jangan terlalu teruja menganggap mereka menyokong jawi sebagai subjek di sekolah vernakular tetapi fahami dalam-dalam pengakuan tentang naratif perkauman. Kata mereka,   belajar jawi tidak mengurangkan jati diri kecinaannya, maknanya isu sebenar adalah naratif perkauman yang dimainkan oleh pemimpin Cina.

Maka tidak salah kalau Melayu juga melihat bantahan daripada naratif yang sama – menolak semua yang membawa maksud Melayu dan Islam.  Maka pemimpin-pemimpin politik Melayu dalam kerajaan tidak boleh berganjak dengan ketetapan yang dibuat.  Peliknya Timbalan Perdana Menteri,  Wan Azizah Ismail cuba mengoyahkan ketetapan yang dibuat Perdana Menteri,  Dr Mahathir Mohamad bahawa subjek jawi adalah muktamad.

Advertisement

Sebenarnya orang Melayu tidak rugi sedikit pun jawi tidak diajar di sekolah vernakular.  Tetapi dari sudut yang lain,  naratif perkauman mesti dijawab dengan naratif perkauman juga supaya pemimpin politik Cina sedar akan kedudukan mereka.  Orang Melayu hilang ‘sekolah Melayu’, Cina dan India dapat sekolah sendiri.

Pemimpin-pemimpin Cina mesti disedarkan bahawa tolak ansur orang Melayu  untuk membina keharmonian selama ini yang sangat besar. Tetapi pengorbanan ini jarang dihargai dan dihayati oleh sesetengah dalam kalangan bukan Melayu.

Apa perasaan orang Melayu apabila NGO Cina melontarkan provokasi mencadangkan kaligrafi Cina diajar di sekolah kebangsaan?  Adakah orang Melayu masih tidak boleh membaca  garis bawah kenyataan perkauman begini?

Selepas merdeka tahun 1957, orang Melayu mengorbankan ‘sekolah Melayu’ apabila menerima sekolah kebangsaan.  Apa pengorbanan orang Cina?  Bukan sahaja tidak ada malah mempertahankan sekolah vernakular Cina dan Tamil dari dimansuhkan.

Melihat pada rentetan sejarah sekolah vernakular,  sejak merdeka hingga sekarang,  kedegilan orang Cina konsisten – pertahankan kemudian minta bantuan daripada kerajaan. Kenapa mereka tidak menerima sekolah kebangsaan?  Jawapannya berbalik pada subjek jawi –  tidak mahu berlaku asimilasi dengan yang berbau Melayu.

Maka kalau ada pemimpin Melayu kendur dan akhirnya mengalah dalam isu jawi,  kamu memang tidak berguna untuk negara ini.  Orang Melayu pula jangan riuh rendah pertahan jawi  sekadar hangat-hangat tahi ayam,  kemudian tidur lena.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *