Dalam catatan saya di Facebook, banyak kali saya nyatakan bahawa teras kekuatan masyarakat Cina di Malaysia ialah (1) Hua Tuan atau persatuan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan Cina (2), media yang bebas untuk masyarakat Cina dan (3), sumbangan dana dari tokoh korporat dan masyarakat Cina kepada Hua Tuan dan SJKC, dan surat khabar Cina (dengan membeli iklan).
Parti yang berasaskan perjuangan kaum Cina juga ada suara tersendiri tetapi, akibat tiga kekuatan utama tadi, parti Cina tidak boleh bertentangan dengan apa yang boleh ditafsirkan sebagai kepentingan masyarakat Cina.
Oleh sebab itulah, suara ahli politik Cina akan sentiasa menyokong Hua Tuan. Jika isu ekonomi dan perniagaan, mereka akan sokong pandangan dan kesepakatan Dewan Perniagaan Cina. Jika isu pendidikan, mereka akan sokong dan ulang pandangan persatuan pendidikan Cina. Begitu juga dengan isu-isu yang lain.
Hal ini bermakna, mereka memiliki golongan yang berada di luar kepentingan politik kepartian yang sempit dan bercakap atas kepentingan masyarakat Cina secara bebas.
Tetapi, hal ini tiada dalam konteks masyarakat Melayu. Bukannya tiada persatuan berkenaan. Ada. Bercambah. Tetapi tidak kuat kerana pandangan orang Melayu lebih dibentuk oleh orang politik. Orang Melayu menyandarkan harapan mereka kepada parti-parti politik.
Akibatnya fatal, sebab orang politik jarang ada prinsip. Mereka boleh bertukar warna sesuai dengan persekitaran mereka. Dan hal ini menjadi lebih teruk, sebab persatuan yang ditubuhkan atas kepentingan masyarakat Melayu, didanai oleh pertubuhan politik atau kerajaan.
Apa salahnya menerima dana orang politik dan dana kerajaan?
Persatuan orang Melayu tidak mempunyai saluran lain untuk mencari dana. Orang kaya Melayu selalunya lebih suka memberikan derma untuk buat masjid dan membeli al-Qur’an wakaf. Selebihnya, mereka menderma secara rutin dalam tabung masjid. Tidak terlintas langsung dalam fikiran mereka untuk menderma kepada persatuan.
Saya ingat lagi sewaktu isu ramai kontraktor Melayu hilang projek waktu zaman Khairy Jamaluddin dijuluk sebagai “budak tingkat 4” , ada satu persatuan kontraktor Melayu buat pertemuan dan mesyuarat tergempar di Ruma PENA.
Yang datang semua naik kereta besar dan mewah. Sepanjang mesyuarat, semua vokal, kritik kerajaan waktu itu, dan lain-lain lagi. Selesai saja mesyuarat, pengerusi mempersilakan mereka minum air mineral dan kek pisang sebab persatuan tak ada duit jamu nasi untuk makan tengah hari.
Itulah realiti persatuan-persatuan Melayu ini. Kebanyakannya. Jadi, apabila mereka hanya bergantung sumber kewangan dari dana orang politik atau kerajaan, dengan sendirinya dana itu akan dapat mengawal persatuan. Tak boleh cakap lebih, jika tidak, tiada lagi dana tahun depan.
Walau bagaimanapun, dengan beberapa isu yang berlaku sekarang ini, termasuk Kempen membeli barang muslim dahulu (BMF) dan penyatuan UMNO dan Pas, saya kira, perkembangan ini patut dipandu kepada kefahaman yang lebih bermakna.
Hari ini, tentang isu BMF, saya rasa suara yang paling laku ialah dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) . Orang Melayu lebih mendengar suara PPIM. Memang wujud sentimen politik dalam kalangan masyarakat Melayu, tetapi apabila mereka lebih mendengar suara PPIM, itu suatu perkembangan yang sihat.
Jadi, apakah orang Melayu sudah sedar akan had orang politik kepartian?
Apakah orang Melayu selepas ini akan mendengar persatuan pendidikan atau ulama/sarjana apabila timbul isu pendidikan? Apakah orang Melayu akan mendengar suara persatuan kebudayaan dan tokoh-tokoh kebudayaan yang tidak bercakap atas nama parti selepas ini apabila timbul isu kebudayaan?
Saya harap akan ada kesedaran itu. Jika mereka boleh dengar cakap PPIM tentang isu BMF, kenapa mereka tak jadi macam orang Cina yang lebih mendengar cakap Dong Zong apabila timbul isu pendidikan dan bahasa..
Dan jika budaya ini dapat berkembang, percayalah, parti politik Melayu, termasuk pemuka-pemuka parti takkan berani lagi bersuara untuk menentang hal yang boleh ditafsirkan bertentangan dengan kepentingan masyarakat Melayu. Moga-moga.