Berikut adalah kenyataan media Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang mendesak semua agensi dan institusi kerajaan melaksanakan agenda kepentinga bumiputera seperti  yang digariskan oleh Wasiat Raja-Raja Melayu dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan:

Seperti yang termaktub dalam Wasiat Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan, kaum Bumiputera diperuntukkan haknya tersendiri. Dengan yang demikian, melalui kenyataan media ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) menuntut semua agensi dan institusi kerajaan termasuk semua agensi enterprais Awam, PEA; Perbadanan Berkaitan Kerajaan, GLC dan Perbadanan Milik Kerajaan, GOC), diperingkat Persekutuan dan Negeri, melunaskan semua hak itu, yang merangkumi semua bidang kemakmuran. 

Melalui tuntutan ini setiap agensi dan institusi itu wajib dengan segera mengkaji sepenuhnya peranan dan tanggungjawab mereka menjayakan agenda Bumiputera, konsisten dengan peruntukan wasiat dan Perlembagaan itu serta locus standi masing-masing. Mohon semua agensi dan institusi berkaitan ambil maklum dan dan ambil tindakan terhadap kenyataan media ini.  

Sebagai rujukan untuk semua pihak, diturunkan di sini perkara-perkara dalam Wasiat Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan itu untuk dimengerti rasional tuntutan ini.

1.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu (kemudian dikenali sebagai Malaysia). 

(Perlembagaan Persekutuan) Pertama kali diperkenalkan sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada Hari Merdeka 31 Ogos 1957 (Rujuk teks Perlembagaan Persekutuan)

(Tuntutan MPM)  ingin perjelaskan di sini nama Malaysia dipilih asalnya ialah Malay-sia, diambil dari bahasa Yunani yang membawa maksud kepulauan Melayu

2.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu, sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 89 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Dalam Perkara ini “tanah simpanan Melayu” ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu; dan “orang Melayu” termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang-undang Negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.”

(Tuntutan MPM) KPTG mengarahkan semua PTD Negeri mengemaskini data Tanah Simpanan Melayu (TSM). Kekurangan keluasan dan nilai TSM  di setiap negeri wajib ditangani dengan kadar segera dengan mewartakan tanah-tanah milik kerajaan sebagai TSM

3.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta hak milik kamu, kami telah tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara serta ancaman dari luar negara.

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 8 (5) (f) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “…apa-apa peruntukan yang mengehadkan pengambilan masuk tentera ke dalam Rejimen Askar Melayu kepada orang Melayu.”

(Tuntutan MPM) ATM wajib dengan segera perkasakan, perlengkapkan dan perbesarkan RAMD dalam semua bidang ketenteraan.

SPB Yang Di-Pertuan Agong titahkan semua pelajar sekolah menengah, IPT dan Politeknik wajib sertai PALAPES (atau Kadet Polis)

4.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara ini.

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di dalam wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap tidak terjejas.”

(Tuntutan MPM) Majlis Raja-Raja menitahkan untuk Dewan Negara berperanan sebagai Penasihat Di-Raja (seumpama privy council) dan lantikan semua ADN adalah budibicara mutlak Majlis Raja-Raja

5.   (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami isytiharkan Islam ialah Agama Persekutuan.

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Advertisement

(Tuntutan MPM) Semua agensi Persekutun berkaitan agama Islam berperanan sebagai penyelaras, enablers & facilitators.

Diperingkat negeri, semua MAIN hendaklah gunakan semua kuasa yang ada bagi terlibat secara langsung dalam semua bidang kemakmuran ummah, terutama aktiviti berkaitan muamalat dan pendidikan.

6.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu.

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”.

(Tuntutan MPM) DBP diletakkan terus dibawah Majlis Raja-Raja dan berkuasa mengawal-selia sepenuhnya penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Semua pihak hendaklah menghentikan penggunaan istilah Bahasa Malaysia kerana istilah itu tiada dalam Perlembagaan Persekutuan, maknanya tiada bahasa yang dikenali sebagai Bahasa Malaysia.

7.  (Wasiat Raja-Raja Melayu) Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

(Perlembagaan Persekutuan) Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan “153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”

(Tuntutan MPM) Majlis Raja-Raja titahkan kerajaan laksanakan sepenuhnya Wasiat ini. Lindungi kedudukan istimewa Bumiputera dengan cara melaksanakan peruntukan didalam Perlembagaan Persekutuan yang jamin hak-hak istimewanya.  Semua agensi dan institusi kerajaan hendaklah perhalusi Wasiat ini bagi tetapkan agenda Bumiputera yang wajib ia laksanakan

Melalui kenyataan media ini juga MPM mengundang semua pertubuhan Bumiputera di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta penduduk pribumi, menghadiri Sidang Khas yang akan diadakan di Wisma MPM, di Jalan Ledang off Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada hari Sabtu 16 November 2019, pukul 9.00 pagi, untuk MPM memperjelaskan tindak-tanduk yang dipeloporinya ini. 

Selepas Sidang Khas itu nanti MPM bersama-sama semua pertubuhan yang terlibat akan menubuhkan sebuah Sekretariat Tetap bagi melakukan tindakan susulan dan memantau dengan lebih berkesan akan tuntutan ini. 

Antara tindakan yang akan diambil dengan kadar segera ialah mengadakan pertemuan dengan semua agensi dan institusi itu bagi kami diberikan taklimat akan peranan oleh setiap satunya berkaitan agenda Bumiputera. Pada masa yang sama di sesi libat urus (engagement) itu kami juga berpeluang mengetahui seandainya ada masaalah atau kekangan dihadapi bagi mereka melaksanakan agenda Bumiputera yang diamanahkan kepadanya.

Sayogia juga dimaklumkan bahawa di MPM itu sendiri telah dibentuk tujuh  Komuniti bagi menghimpunkan Cendekiawan Melayu yang komited memperjuangkan agenda Bumiputera ini. Tujuh (7) Komuniti Cendekiawan yang dimaksudkan ialah dalam bidang berkaitan Hal-ehwal Islam; Kepimpinan & Governance;  Pendidikan & Latihan;  Ekonomi & Keusahawanan; Keselamatan & Pertahanan; Perlembagaan & Perundangan; dan Tanah Simpanan Melayu, Mereka ini akan bekerjasama dengan lain-lain pertubuhan dan NGO yang berkaitan, menjalankan tugas-tugas pemantauan yang dimaksudkan.

Dapatan atau hasil setiap libat urus itu akan dihebahkan kepada umum untuk dikongsi oleh semua warganegara terutama Bumiputera, sebagai penerima manfaat (beneficiaries). Selain dari itu, semakan (review) tahunan akan MPM siarkan bagi memaparkan prestasi setiap agensi dan institusi itu. 

DIKELUARKAN oleh Dato Dr Hasan Mad  Setiausaha Agung MPM dan Azril Mohd Amin Ketua, Komuniti Cendekiawan Melayu Bidang Perlembagaan & Perundangan MPM.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *