Peminat astronomi dalam dan luar negara dijangka akan berkampung di Tanjung Piai, Johor dan Serian, Sarawak untuk menyaksi dan merakamkan fenomena astronomi yang unik pada Khamis ini (26 Disember).
Fenomena yang disebut Gerhana Cincin atau dalam istilah astronomi dipaggil Anulus antara yang menjadi tarikan para peminat dan pengkaji dunia astronomi. Mungkin bagi yang tidak mendalami bidang ini, Gerhana Cincin tidak ubah seperti gerhana matahari biasa tetapi peminat astronomi melihat sebaliknya.
Disebabkan berlaku dalam jarak masa dua dekad sekali, maka peminat astronomi dan fotografi tidak akan melepaskan peluang untuk merakamkan detik-detik yang luar biasa ini. Pada kemuncak gerhana ini akan kelihatan bayang (bulan) berada di tengah-tengah matahari dan lebihan saiz matahari ini membentuk lingkaran cahaya seperti cincin.
Bagaimanapun bukan semua tempat termasuk di negara ini boleh melihat imej seperti cincin di angkasa. Hanya dua kawasan sahaja di negara ini yang boleh melihat gerhana cincin iaitu di Tanjug Piai, Johor dan Serian, Sarawak.
Yang terbaru berlaku pada 22 Ogos 1998 di Mersing, Johor. Maknanya kalau terlepas menyaksikan pada Khamis ini, kita kena menunggu lebih 20 tahun lagi untuk melihat fenomena ini.
Kemuncak Gerhana Cincin ini dijangka berlaku pada 26 Disember pukul 1.21 hingga 1.23 petang di Tanjung Piai sementara di Serian pula pada pukul 1.46 hingga 1.50 petang.
Hampir separuh kawasan bumi termasuk Malaysia akan berpeluang menyaksikan Gerhana Cincin yang bermula dari Arab Saudi, kemudian ke India, Sumatera, Malaysia (Johor dan Sarawak), Singapura, kembali ke Malaysia di Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Lautan Pasifik.
Kenapa terjadi Gerhana Cincin? Secara mudahnya pada ketika gerhana itu berlaku, bulan matahari dan bumi berada pada kedudukan selari di dua tempat yang disebutkan itu. Di tempat-tempat lain di negara ini hanya akan nampak gerhana separa iaitu matahari terlindung dan kelihatan seperti bulan sabit pada pukul 10.30 pagi sehingga 3.30 petang.
Menurut portal Falakonline, Gerhana Cincin berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari. Tetapi disebabkan pada ketika itu, bulan berada agak jauh daripada Bumi, maka saiznya sedikit kecil dan tidak akan dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.
Oleh yang demikian rata-rata penduduk Semenanjung Malaysia dari Melaka merentas ke Mersing dan terus ke laut ke sebuah pulau kecil bernama Pulau Dayang dan Aur akan menyaksikan satu susunan indah bulan dan matahari pada kedudukan selari.
Menurut portal itu lagi, laluan Gerhana Cincin ini akan bermula dari Semenanjung Arab, kemudian memasuki selatan India dan Sri Lanka, seterusnya Asia Tenggara merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina sebelum ia berakhir di lautan Pasifik.
Di kawasan Asia Tenggara, bayang bulan akan memasuki Sumatera Utara. Kemudian ia akan merentas Selat Melaka dan memasuki kawasan Pulau Batam. Sebahagian kecil Semenanjung Malaysia dan Singapura juga akan masuk di dalam kawasan ini.
Selepas itu, mencecah di Kalimantan dan sebahagian sempadan Sarawak dan Kalimantan sebelum berakhir di laut. Di Filipina, hanya sebahagian kecil hujung selatan Mindanao akan dapat melihat bentuk cincin ini.
Sementara itu Bernama melaporkan, sempena fenomena itu juga, Planetarium Negara dengan kerjasama Taman Negara Tanjung Piai turut menganjurkan SolarFest Malaysia 2019 bermula 24 sehingga 26 Disember ini.
Festival yang menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjuran itu juga dijangka disertai ahli-ahli astrofizik dan selebriti tempatan, melibatkan pelbagai acara antaranya kempen kesedaran alam sekitar dan pameran solar Gastronomi.
Pada kemuncak acara 26 Disember, orang ramai khususnya peminat astronomi berpeluang menyaksikan Gerhana Matahari Cincin melalui teleskop dan cermin mata yang disediakan oleh Planetarium Negara.
Ketua Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari memberitahu Bernama, Gerhana Cincin juga akan berlaku perbezaan tarikan graviti bulan yang menyebabkan kejadian air pasang besar di Tanjung Piai dan pantai barat Semenanjung Malaysia.
Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), paras air laut di Tanjung Piai dijangka naik sehingga 3 hingga 4 meter, berbanding kadar biasa iaitu antara 2 hingga 3 meter.
Menurut Anita, ini merupakan paras biasa dan tidak memberi sebarang kebimbangan kepada pengunjung. Sebaliknya yang lebih menarik ialah kesan kepada burung hijrah serta tumbuhan kerana persekitaran hening waktu tengah hari dan tiba-tiba bertukar gelap.
“Oleh itu, Tanjung Piai akan menjadi lokasi tumpuan dalam kalangan penyelidik dari segenap pelosok negara dan peminat astronomi bagi menyaksikan keunikan fenomena ini serta kesannya kepada alam sekitar. Cuma pengunjung dinasihatkan untuk tidak melihat gerhana secara terus, sebaliknya menggunakan 10,000 kaca mata khas mengandungi filem penuras sinar matahari yang akan diperuntukkan oleh Planetarium,” ujar Anita.