Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris ketika melancarkan Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) dalam rancangan Analisis pagi ini.

STESEN televisyen TV AlHijrah menjadi perintis melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat khususnya dalam kalangan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan menawarkan slot iklan percuma di stesen berkenaan.

Pada usianya yang relatif ‘baru’  dan pendapatan tidak setinggi stesen lain, kesediaan TV AlHijrah mengorbankan slot ilkan yang dianggarkan bernilai RM7.6 juta adalah suatu yang mesti dimanfaatkan. Ini satu usaha murni yang wajar disokong oleh semua pihak.

Ketika industri penyiaran berdepan krisis kehilangan khalayak kerana ledakan media sosial sekaligus mengecil pendapatan iklan, pertimbangan TV AlHijrah menawarkan slot iklan percuma memperlihatkan matlamat keuntungan dan tanggungjawab sosial digerak secara seiring.

Setiap usahawan akan mendapat slot iklan bernilai RM30,000. Inilah cara media yang bertanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat, terutama dalam keadaan yang sangat menghimpit ini. 

Difahamkan idea ini dicetuskan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri bertujuan membantu usahawan IKS yang terjejas teruk oleh wabak Covid-19 yang  membawa pada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan.

Semua maklum belanja untuk membeli slot iklan di televisyen adalah tinggi.  Ini membuat tidak semua usahawan IKS mampu mengeluarkan belanja untuk mengiklankan produk mereka di televisyen. 

Menghasilkan produk yang berkualiti tinggi tetapi tidak dapat dipromosikan adalah satu kerugian kerana tidak disebarluas kepada sasaran.

Oleh yang demikian, tawaran melalui Pakej Stimulus Industri Kecil Dan Sederhana (PSIKS-TVAH) yang disiarkan setiap hari menerusi slot Assalammualaikum di TV AlHijrah bermula hari ini selama tiga bulan adalah ‘durian runtuh’ kepada  usahawan IKS.

Advertisement

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris  berkata, pakej ini dijangka akan memberi peluang kepada hampir 300 usahawan IKS mengiklan produk mereka secara agresif  di TV AlHijrah. Beliau juga yakin pakej ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh usahawan IKS.

Menurutnya, pakej  yang menelan belanja agak besar ini adalah satu jihad  stesen televisyen berkenaan untuk membantu usahawan IKS dalam keadaan cuaca ekonomi  yang redup  kesan wabak Covid-19 yang  melanda dengan teruknya ketika ini.

Usaha yang dilakukan oleh TV AlHijrah memperlihatkan peranan media khususnya stesen televisyen bukan sahaja menjadi pencetus menu sosial tetapi juga mencari jalan untuk turut berganding bahu menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Di sisi usahawan IKS pula,  apabila berjaya dalam perniagaan, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyokong TV AlHijrah dengan mengiklan produk atau khidmat menerusi stesen ini.  Sekiranya sebahagian besar daripada usahawan IKS berbuat demikian, TV AlHijrah akan mampu memberi bantuan yang lebih besar kepada yang lain pula.

Yang dilakukan oleh TV AlHijrah adalah mewujudkan satu ekosistem yang bersifat ‘menang-menang’ di mana stesen televisyen membantu perniagaan usahawan IKS dan bila tiba masanya usahawan berkenaan membantu TV AlHijrah. Kedua-dua pihak akan mendapat manfaat. – kuseman.com

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *