KETIKA jarum jam menyeberang ke hari Jumaat, pukul 12.30 tengah malam bersamaan 15 Ramadan, kita telah kehilangan seorang tokoh yang berjasa menegakkan syiar Islam melalui ceramah-ceramahnya – sama ada di televisyen atau di pentas.
Kepulangan Allahyarham Datuk Haji Ismail Kamus menandakan hilang seorang lagi tokoh agama yang berjasa kepada masyarakat dan negara. Sumbangan dan jasa yang diberikan sepanjang hayat terlalu besar untuk memandu masyarakat dengan kompas yang dianjurkan Islam.
Jumaat lalu adalah hari suram kepada semua yang pernah mendapat walaupun sepatah kata nasihat daripada Allahyarham. Tidak hairanlah apabila orang ramai beratur panjang untuk menziarah jenazah Allahyarham di kediamannya.
Sangat panjang. Mereka rela berpanas terik untuk memberikan penghormatan kepada orang yang berjasa.
Di media sosial penuh dengan ucapan takziah kepada keluarga dan dengan tiba-tiba Allahyarham yang jarang muncul di televisyen sejak empat atau lima tahun kembali diingati. Sebenarnya Allahyarham tidak pernah hilang cuma tidak muncul di televisyen.
Pada era tahun 1990-an, kemunculannya dalam program Ehwal Islam pada malam Jumaat di RTM1 sentiasa dinanti. Ini antara program agama di RTM yang mencatatkan penarafan (rating) tertinggi, salah satu kerana kualiti ahli-ahli panel termasuk Allahyarham Ismail.
Ketika itu belum wujud fenomena ‘penceramah selebriti’ seperti sekarang. Tetapi sosok ini tetap bertaraf selebriti. Di mana-mana orang akan kenal dengan wajahnya yang kerap muncul di RTM. Jadualnya penuh dengan undangan ceramah dan mengendalikan pusat perubatan Islamnya.
Allahyarham sebaris dengan tokoh besar dalam bidang agama, antaranya – Allahyarham Dr Haron Din, Allahyarham Abu Hassan Din Al Hafiz, Md. Daud Che Ngah, Hassan Mahmud Al Hafiz, Taib Azamuddin, Badrul Amin, Allahyarham Ishak Baharom, Allahyarham Hashim. Tidak ketinggalan ulama dan kini Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Saya berpengalaman beberapa kali mewawancara Allahyarham ketika menjadi wartawan Utusan Malaysia – samaada untuk penulisan berita dan juga rencana agama. Selalunya di pusat perubatan Islamnya dan terpaksa menunggu selepas Allahyarham selesai mengubat.
Allahyarham suka berjenaka malah jarang mengecewakan walaupun untuk menjawab soalan-soalan yang ‘panas’. Bagaimanapun Allahyarham menjadikan soalan itu dengan lembut, penuh hujah dan sangat rasional. Tidak menjadi kontroversi.
Ada kalanya saya hanya menelefon untuk mendapatkan pandangan mengenai sesuatu isu yang kontroversi, Allahyarham tetap melayan dengan baik walaupun sibuk mengubatkan pesakit di kliniknya.
Orangnya ringkas, bicaranya santai, ucapannya bernas, cara menyampaikan ilmu agamanya mengikut peredaran masa. Namun yang ketara walaupun terkandung banyak sindiran namun tidak menjadi isu. Tidak menjadi bahan perbalahan atau menimbulkan kekeruhan.
Apa juga isu agama Allahyarham tidak pernah diam, malah diulas dengan sebaik-baik ulasan menggunakan kaedah penyampaian yang bersahaja. Tidak cukup kemunculan di televisyen, Allahyarham menghasilkan kaset-kaset ceramah agama dan antara yang paling tinggi jualannya di negara ini.
Allahyarham begitu dekat di hati umat Islam di seluruh Nusantara. Di tambah lagi beliau juga dikurniakan kemahiran dalam kaedah perubatan dan rawatan Islam. Sama seperti Almarhum Dr Haron Din dengan Darul Syifa di Bandar Baru Bangi.
Namun mereka tidak bersaing, tapi masing-masing sebenarnya tidak cukup tangan untuk membantu dan merawat begitu ramai pesakit di negara ini. Ini tentunya penyakit yang tidak nampak di mata. Pada zahirnya kelihatan sihat tapi penyakit yang dideritai mereka sangat teruk.
Saya berkesempatan melihat sendiri bagaimana Allahyarham mengubatkan pesakit di pusat rawatan Islam miliknya. Sememangnya tidak menang tangan untuk menangani pelbagai penyakit yang sebahagiannya melibatkan sihir dan ilmu hitam.
Allahyarham sangat prihatin. Pernah memberi nasihat kepada saya, “Awak perempuan, hati-hati lah. Tugas wartawan ini lebih sesuai dan sepatutnya orang lelaki sahaja. Tapi kalau awak dah suka, hati-hatilah sebab tak semua orang faham tugas awak sebagai wartawan.”
Saya terkedu dan sangat terkesan dengan nasihat yang tulus itu. Umpama seorang ayah menasihatkan anaknya.
Suatu yang melucukan ialah Allahyarham beberapa kali diberitakan telah meninggal dunia. Seperti dalam gambar yang diambil hampir 10 tahun ini, beliau dalam keadaan sihat walafiat tetapi dikejutkan dengan berita kononnya beliau telah meninggal dunia.
“Saya pun tak faham. Selalu terkejut, apabila orang kata saya dah meninggal. Ada sekali ketika saya sedang mengerjakan umrah. Tersebar kata saya meninggal dunia di Tanah Suci. Banyak yang terkejut dan ada yang terus menelefon saya di Mekah, tanya betul ke Ustaz dah meninggal?
“Saya pun jawab, betullah tu, saya dah meninggal. Ini saya jawab dari Alam Barzah lah ni!’ katanya sambil ketawa.
Tetapi Allahyarham ada menasihatkan saya, katanya, sementara masih hidup kita bantu orang yang memerlukan bantuan. Kalau sudah sampai ajal, biarlah mati dengan baik, husnul khatimah.
“Mana yang dapat disembuhkan alhamdulillah tetapi yang tak dapat disembuhkan, saya usaha dan bantu supaya para pesakit dapat menemui Tuhan dalam keadaan yang baik dan diterimaNya,” kata Allahyarham Ismail.
Dalam kesedihan mengenang kepulangannya, saya teringat gurauan mengenai nama ayahandanya, ‘Kamus’ juga kata arwah sangat berat untuk dibawa.
“Seberat-berat Kamus Dewan, berat lagi nak bawa nama arwah ayah saya,” ujarnya.
Moga segala ilmu dan amal yang ditinggalkan oleh Allahyarham sentiasa segar dalam ingatan kita. Allahyarham telah menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya. Tanggungjawab kita ialah memanfaatkan panduan dan nasihat yang diberkan semasa hayatnya. – kuseman.com
- SITI AINIZA KAMSARI adalah mantan wartawan kanan Utusan Malaysia.