Ada yang mendakwa mempunyai ‘angka’ tetapi tidak ditunjukkan ‘angka’ itu sebagai bukti. (Gambar hiasan)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

SEJARAH bukan masa lalu yang terputus dengan masa kini dan masa depan.  Sebaliknya menjadi cermin pandang belakang untuk melihat masa depan.  Sifat sejarah terus berulang pada zaman, manusia dan kisah yang berbeza.  Sejarah adalah  guru yang sentiasa memberikan pengajaran – arif membezakan antara teladan dan sempadan.

Banyak sejarah yang melingkari pemimpin-pemimpin besar dunia boleh dijadikan iktibar dari pelbagai sudut dan sepanjang zaman. Tidak kurang sejarah yang merakamkan kerakusan dan sikap haloba pemimpin yang akhirnya ‘diajar’ oleh rakyat sendiri.

Episod begini tidak mustahil akan berulang sekiranya ada pemimpin yang tidak sedar tingkah lakunya diperhati,  agendanya diamati dan sisi buruknya terungkai satu demi satu.  

Namun bukan semua rakyat boleh diperkuda untuk menzahirkan mimpi pemimpin yang rakus sebegini. Hanya segelintir yang naif dan kurang bijak mengamati bidak-bidak yang diatur.

Sejarah Revolusi Perancis hujung abad ke-18 (1789 – 1799) wajar ditaakuli dengan mata hati. Pemimpin yang tidak berjiwa rakyat seperti  Raja Louis XVI dan isterinya Marie Antoinette adalah contoh pemimpin yang tidak wajar diteladani.  Ketika rakyat tertekan dengan kemerosotan ekonomi, pemimpin ini terus memperteguhkan kuasa dan hidup dalam kemewahan yang melampau.

Sejarah revolusi ini bukan sahaja memerikan tentang perubahan lanskap politik daripada feudal kepada kuasa rakyat,  tetapi perihal watak-watak dalam sejarah itu menunjukkan tidak menghayati keperitan rakyat. Perihal pemimpin yang terus menggenggam kemewahan ketika rakyat terhimpit keperitan hidup.

Sebagai pemegang kuasa pada ketika itu, Raja Louis gagal menggunakan kuasanya untuk membela nasib rakyat, walhal itulah antara tugas besar seorang pemimpin. Ini kerana kuasa bagi pemimpin seperti beliau bertujuan menangguk kemewahan dan melaksanakan agenda peribadi.

Kuasa dan kerakusan  telah menjadi sebati dengan matlamat sesetengah pemimpin.  Kuasa adalah kunci yang membuka pintu kepada segala hajat hati.  Maka kepada yang kurang nilai moral dan pekerti,  mudah sahaja menggunakan kuasa untuk diri sendiri dan juak-juak di sekeliling.

Di bibir tidak pernah kering dengan ayat basi, ‘mandat rakyat’ atau ‘demi rakyat.’  Ah, demikianlah mudahnya mencipta keterpesonaan  dalam kalangan pengikut. Hakikatnya amat  rakus membilang ‘angka’ untuk berkuasa ketika rakyat teruk dilanda wabak dan hilang pendapatan.  

Pemimpin berjiwa rakyat perlu berkongsi kepahitan,  redakan kerakusan dan tidak perlulah  beriya-iya dengan ‘angka’. Bantulah pemimpin yang sudah ada dan berperanan menangani bencana.  Tidak eloklah ketika rakyat dilanda mala petaka masih lagi membilang ‘angka’ yang entah dari mana datangnya.

Mengganggu-gugat keadaan yang sudah bercempera memberikan kesan buruk kepada rakyat.  Kalau ‘angka’ itu tulen sudah tentu tidak akan luput tarikh,  bila sampai waktu ia tetap akan membawa makna.  Setahun, dua tahun malah tiga tahun sekalipun tidak akan berubah nilainya pada  ‘angka’ itu.

Pemimpin yang hilang nilai insani ketika rakyat lelah berlawan dengan wabak Covid-19 sangat membimbangkan.  Pemimpin jenis ini seolah-olah berada di dunia yang asing  dan terpisah dengan rakyat. Ketika rakyat menderita kehilangan mata pencarian dan negara di ambang kegawatan ekonomi mereka sibuk  dengan ‘angka’ sebagai petunjuk kuasa.

Advertisement

Rakyat sangat menderita – angka mangsa wabak semakin meningkat dan angka pendapatan semakin menurun.  Kerajaan  dengan barisan kepimpinan yang ada berhempas pulas dengan fikir dan tenaga seupayanya.  Malah tidak punya masa untuk membalas ‘serangan ’ kerana memikirkan masalah rakyat yang lebih utama.

Tatkala pemimpin lain bersengkang mata mencari kaedah menyudahkan beban yang tidak tertanggung lagi oleh rakyat,  ada pula yang tidak tidur mencaturkan ‘angka’  sebagai tiket ke persada kuasa.  Berbulan-bulan dicaturnya ‘angka’ – dicampur tolak darab dan bahagi. 

Hanya kerana angka?  Hah, kalau benarlah begitu bererti semua yang dimuntahkan ‘demi mandat rakyat’  hanya mainan untuk memaniskan suatu yang pahit. Kerakusan sebenarnya sangat sukar untuk ditutup dengan retorik yang indah-indah. 

Dalam keadaan rakyat yang bergantung harap dengan pemimpin  tidak kira di sebelah mana posisinya,  tentulah amat mengecewakan apabila tiba-tiba ada bertukar menjadi pemburu ‘angka’.  Padahal ‘angka’ boleh dikemudiankan, kepentingan rakyat didahulukan.

Wabak menuntut iltizam tidak berbelah bagi bukan sahaja daripada kerajaan  tetapi semua pemimpin dan sekelian rakyat. Ini musuh bersama – bukan hanya parti itu atau parti ini.  Wabak ini adalah musuh negara dan kita semua wajar bersatu untuk berhadapan dengannya.

Angka-angka tidak akan membawa  makna kalau rakyat dan negara terus menuju kehancuran  – wabak semakin mengganas dan rakyat hilang  pendapatan.  Malah ‘angka’ tidak akan menjawab keluh kesah dan ratap tangis marhaen yang kelaparan. 

 ‘Angka’ itu hanya penting untuk yang berkepentingan, kepada rakyat ia tidak bermakna apa-apa,  jauh sekali selesaikan masalah kehabisan beras dan susu untuk keluarga.

Titah pesanan  Yang Di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor supaya pemimpin politik lebih menumpukan usaha membantu dan menyelesaikan masalah yang membelenggu rakyat kelihatannya bagai angin lalu pada pemimpin sebegini. 

Pada masa sama, rakyat berputih mata menunggu pembelaan dari pemimpin lantaran kesibukan mereka membilang angka yang entah bila tarikh tamatnya, seolah-olah kononnya hanya dengan angka keramat itulah dunia akan berubah segalanya. – Utusan Malaysia 26 Oktober 2020)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *