Jangan jadi penakut macam tikus, apabila kena tuduh cepat-cepat cuci tangan dengan alasan ‘dakwaan bermotif politik.’ (Gambar hiasan Berita Harian)

Oleh Ku Seman Ku Hussain

KALAU boleh,  pemain politik yang berdepan tuduhan tidak amanah,  menyalahgunakan kuasa, rasuah  dan lain-lain yang membawa maksud yang sama, elaklah mengungkapkan, ‘dakwaan bermotif politik.’  Ini suatu yang tidak sihat kepada negara dan rakyat.

Ungkapan ini bermaksud institusi perundangan dan kehakiman tidak berperanan seperti sewajarnya. Sebaliknya menjadi alat  untuk mengena atau memerangkap musuh  politik yang  tidak sealiran. 

Memberi persepsi bahawa pendakwaan terhadap pemain politik bermotif politik adalah suatu yang  sangat nakal. Tujuan utama mempengaruhi sesetengah dalam kalangan rakyat bahawa dirinya  dianiaya. Mereka menagih simpati, masa yang sama   memberi persepsi buruk kepada banyak pihak.

Pertama, persepsi terhadap  ketelusan sistem perundangan  negara tercemar apabila digambarkan menjadi alat politik kerajaan. Seterusnya terhadap institusi penguatkuasaan  yang i seolah-olah diperalatkan oleh motif politik.

Paling depan tentulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).  Apabila ada dakwaan,  institusi inilah yang dipersalahkan  kononnya membuat dakwaan terpilih. Kemudian Polis DiRaja Malaysia (PDRM),  Kastam DiRaja Malaysia  dan lain-lain lagi.  Apabila ada orang berpengaruh  membentuk persepsi sedemikian,  kesannya  sesetengah dalam kalangan rakyat mulai hilang kepercayaan kepada institusi berkenaan.

Institusi penguatkuasa tidak mendapat ruang yang istimewa seperti pemain politik.  Mereka tidak bebas untuk membalas kenyataan terhadap tuduhan yang dilemparkan itu. Sedangkan pemain politik  bebas menggunakan media sosial untuk  untuk mencetuskan api kesangsian dan membiarkan merebak, membakar dan memusnahkan.

Hakikatnya setiap dakwaan berdepan jalan yang berliku.  Tanpa bukti yang menyakinkan institusi penguatkuasa juga tidak  memulakan dakwaan. Ini untuk menjaga reputasi  supaya tidak  kalah  di mahkamah. Semua proses ini melibatkan banyak pihak dan tentunya tidak mudah, walaupun tidak mustahil.

Perkara ini sebenarnya bukan baru, malah mulai tercetus sejak pertengahan 1990-an. Ketika itu media yang baru wujud iaitu blog yang tumbuh dengan rendangnya Blog menjadi alternatif  apabila  media arus perdana dikawal oleh politik arus utama. Maka blog menjadi tempat arus politik bertentangan membina pengaruh.

Bermula dari situ,  banyak pemain politik mengulang modus operandi yang sama apabila tersangkut dalam kes penyelewengan atau pecah amanah.  Mereka bukan sahaja menafikan, tetapi dengan pantas juga mencari sasaran untuk diletakkan sebagai punca penganiayaan itu.

Naratifnya mudah,  bangkitkan sentimen  bahawa mereka dianiaya  dengan  ‘dakwaan yang bermotif politik.’  Dalam kalangan penyokong,  sentimen  ini seperti  api yang  hanya menunggu simbahan petrol untuk marak  Dengan  pelaburannya kecil  pemain politik mengaut keuntungan apabila persepsi  yang dia tidak bersalah menjadi tular.

Inilah balanya apabila sesetengah pemimpin politik dalam arus utama pernah menyalahgunakan institusi penguatkuasaan.  Sama ada dengan sengaja atau sebaliknya, perbuatan itu menjadi bukti  yang berkuasa  pernah menyalahgunakan kuasa. Pernah menghumban musuh politik dalam tahanan tanpa bicara.

Ini bukan kisah dongeng. Bagaimanapun ini  berlaku pada satu era dulu,  lama dulu sebelum menjengah alaf baharu.  Sebenarnya bukan pemain politik sahaja,  wartawan yang tidak sealiran juga  menjadi mangsa. Merengkuklah mereka tanpa tahu salahnya.

Advertisement

Tetapi tidak ada pula wartawan berkenaan atau pertubuhan tertentu mendakwa semua itu bermotif politik.  Padahal wartawan mempunyai akses untuk membina pesepsi kebebasan mereka disekat. Bezanya tidak semua wartawan beraksi sebagai pemain politik. Mereka wartawan.

Adalah suatu yang tidak bermoral apabila ada pemain politik yang memperalatkan sentimen atau emosi rakyat supaya percaya bahawa pendakwaan terhadap salah laku itu perangkap politik. Sepatutnya berdepanlah  secara berani dan menjawab semua tuduhan itu di mahkamah.

Salah atau benar di sisi undang-undang tidak boleh diukur menggunakan formula demokrasi – yang banyak akan menang.  Majoriti sama sekali tidak akan  berbekas dalam menghakimi antara benar atau salah.  Maka ini satu kerja yang sia-sia kerana  kesudahannya hanya terletak pada kelicikan peguam, ketulinan  kes dan wibawa institusi kehakiman.

Apabila pemain politik terlalu sibuk dengan dakwaan bermotif politik, bagaimana pula dengan kepada mereka di luar politik?  Apakah pula motifnya apabila ada ahli korporat atau  penghuni gelandangan didakwa? 

Perlu diingat bahawa tuduhan tidak amanah yang melibatkan wang berjuta-juta ringgit bukan hanya  dituju kepada pemain politik.  Banyak yang di luar kandang politik dituduh, didakwa  dan ada yang akhirnya didapati bersalah.  Ada yang dilepas dan dibebaskan.

Hidup ini tidak selalunya adil kepada kita.  Ada liku-liku yang membuatkan keadilan itu sangat mahal harganya.  Misalnya seorang gelandangan  terpaksa mencuri sebuku roti kerana kelaparan.  Kalau tidak makan dia mati. Tetapi siapa yang ambil peduli untuk mencari  motif  dakwaan terhadapnya.

Pernah juga berlaku ketika berada dalam kerajaan,  mereka menasihatkan pemain politik arus bertentangan yang didakwa supaya, ‘menjawab di mahkamah.’  Nashat itu amat bagus sekali,  malah itulah yang sepatutnya dilakukan. Tidak ada cacat celanya nasihat itu.

Tetapi  ayat itu  bergema ketika berada dalam kerajaan. Tetapi selepas berada dalam arus bertentangan dan didakwa,  dia pula mengulangi kata-kata orang yang dinasihat itu, ‘dakwaan bermotif politik.’ Yang mana satukah betul? Hendak menjawab di mahkamah atau di media sosial?

Sekadar pesanan,  penyokong tidak perlulah terlalu taksub dan cepat terloncat dengan setiap yang meluncur keluar daripada mulut  pemain politik yang dikagumi. Kita hanya kenal  mereka di media sosial,  tidak kenal luar dalamnya.  Berpada-padalah percaya sesuatu yang dikatakan,  supaya tidak termasuk dalam lubang biawak yang sama.

Pesan orang tua-tua siapa yang makan nangka tentu akan kena getahnya.  Makan maksudnya termasuk proses membuka kulitnya yang banyak getah. Kalau hendak tahu  getah nangka memang susah  ditanggalkan.  Kalau tidak kena caranya berhari-hari melekat di jari.  

Saya menambah, kalau takut terkena getah,  dari awal lagi jangan makan nangka. Ini lebih elok daripada makan sembunyi-sembunyi  tetapi menafikan getah yang ada di jari. – (Utusan Malaysia 2 Ogos 2021)

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *