“Dia mengugut saya. Dia memberitahu saya supaya jangan kembali (ke Pakistan),” begitulah yang dikatakan Benazir kepada kedua-dua pembantunya. Tetapi Musharraf menafikannya.   “Kenapa saya mesti membunuh dia, ” kata Musharraf kepada wartawan BBC.

Perlu diingat gelombang Benazir yang membawa nama ayahnya Zulfikar Ali Bhutto sangat besar. Gelombang perubahan yang dijanjikan itu semacam tidak terlawan waima oleh seorang bekas jeneral. Hukuman buang negara selama tujuh tahun tidak pernah memisahkan penyokong dengan Benazir.

Tangan ghaib mahu memperlahan sekaligus menamatkan jejak politiknya ke Pakistan selepas tujuh tahun berada dalam buangan. Ini kerana kejaknya menggegarkan, ketrampilan politik tidak mampu dihadapi secara berdepan.

Seperti biasa keadilan undang-undang terletak kepada siapa yang memegang undang-undang itu. Mustahil orang yang memegang undang-undang boleh memberi keadilan undang-undang kepada orang lain, apa lagi musuh politiknya. Ada banyak kaedah untuk kelihatan undang-undang itu benar-benar adil, padahal tidak sama sekali.

Kes berprofil tinggi itu cuba ditutup oleh pihak yang berkuasa hingga kini, sistem perundangan dan kehakiman telah dicabul dan dirobotkan. Manusia yang diamanah untuk memanusiakan undang-undang juga sudah menjadi robot. Oleh hal yang demikianlah selepas sepuluh tahun, motif pembunuhan tidak ditemukan.

Benazir adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto yang digulingkan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh pemimpin tentera Jeneral Zia-ul Haq kerana dituduhan menyalahgunakan kuasa semasa menjadi Perdana Menteri.

Pembunuhan ayahnya, Zufikar Ali Bhutto, abangnya dan kemudian dia sendiri seperti tragedi yang menjadi pengakhiran dalam banyak  drama klasik Greek. Tetapi apabila wartawan majalah TIME mengusik adakah hidupnya akan berakhir seperti drama Greek, Benazir dengan cepat memintas, “Tidak semua drama Greek berakhir dengan tragedi.”

Benazir yang pernah menjadi antara 50 penghias muka majalah People ini realistik dengan warna-warni politik tanah airnya. Kehidupan yang dibelenggu dengan tragedi demi tragedi, pembunuhan demi pembunuhan dalam keluarga, Benazir percaya dengan perjuangan politiknya. Ancaman bunuh bukan perkara baru.

Maka “kepulangan” selepas tujuh tahun dalam buangan pada 18 Oktober 2007 disambut dengan bom yang mengakibatkan 145 orang maut, Benazir tidak tunduk kepada ancaman.

Benazir meneruskan janji kepada ayahnya untuk berjuang sehari sebelum bekas Perdana Menteri Pakistan itu dihukum gantung sampai mati. Zulfikar dihukum gantung oleh rejim Jeneral Zia-Ul Haq pada 1979 yang merampas kuasa sekali gus membunuh demokrasi Pakistan.

Tetapi tragedi 27 Disember 2007 itu menjadi penamat drama-drama klasik Greek berlaku kepada Benazir. Benazir telah menemui ajal apabila ditembak pada leher dan dada sebelum penyerang meletupkan dirinya.

Advertisement

Serangan berani mati yang mengorbankan Benazir serta 20 orang lain adalah kemuncak pergolakan politik negara Islam kedua terbesar selepas Indonesia. Tragedi berdarah ini sekali gus menamatkan harapan untuk melihat keamanan di Pakistan dalam proses mengembalikan demokrasi kepada rakyat.

Selepas rampasan kuasa oleh Jeneral Pervez Musharaf, demokrasi turut dimatikan di Pakistan. Desakan dunia dan juga kembalinya Benazir untuk menuntut demokrasi dikembalikan kepada rakyat, akhirnya jeneral tentera itu terpaksa mengalah. Tetapi dalam proses menuju pilihan raya, banyak ranjau yang menanti antaranya penyerang berani mati.

Sebenarnya biarpun dalam buangan tetapi Benazir dan keluarganya hidup mewah di London. Maka ada bertanya apa perlunya wanita besi itu menggadai nyawa untuk kembali berkuasa di Pakistan yang penuh dengan pergolakan? Jawapannya dia mahu menunaikan janji kepada ayahnya.

Benazir adalah Perdana Menteri Pakistan pada 1988 hingga 1990 dan 1993 hingga 1996. Ketika pertama kali menjadi Perdana Menteri, Benazir hanya bertahan selama 20 bulan selepas Presiden Ghulam Ishaq Khan mengarahkannya berundur atas dakwaan penyelewengan kuasa.

Ketika pilihan raya 1990, seorang ulama di Lahore, Abdul Qadir menyelitkan kempen politik dalam khutbah Jumaatnya dan mendakwa siapa yang menyokong Parti Rakyat Pakistan (PPP) tidak akan masuk syurga. Kesannya Benazir tewas di tangan penentangnya Nawaz Shariff.

Tengok, sampai ke Pakistan kumpulan yang menunggang agama menggunakan agama untuk politik. Khutbah menyelitkan propaganda politik adalah kelakuan buruk tetapi dibolehkan kerana ada yang menunggang agamanya sendiri.

Dalam prakata edisi kedua buku autobiografinya, Daughter of the East yang dilancarkan April 2007, antara lain Benazir menulis, “Saya tidak memilih kehidupan begini tetapi kehidupan yang memilih saya untuk jadi begini. Pergolakan di Pakistan menjadi cermin kepada hidup saya. Pakistan bukan negara biasa dan kehidupan saya bukan kehidupan biasa.”

Benazir yang dilahirkan pada 21 Jun 1953 di Karachi, Pakistan dan mendapat pendidikan di Universiti Harvard dan Universiti Oxford ini memulakan kerjaya politik selepas kematian ayahnya. Dia menetap di London semasa ayahnya menjadi Perdana Menteri, kemudian balik ke Pakistan melangkah ke dunia barunya, politik.

Di pentas dunia, Benazir adalah pejuang feminis kerana dalam semua kempennya Benazir menentang habis-habisan diskriminasi gender serta memperjuangkan kepentingan wanita. Ironinya di sebuah negara Islam yang kelihatan didominasi oleh lelaki, kerjaya politik Benazir tetap berada di puncak hingga menjadi Perdana Menteri.

Bercakap kepada TIME November 2007 selepas kejadian cubaan membunuhnya di Karachi, Benazir dengan yakin berkata, “Saya tidak takut. Saya bersedia untuk mati demi negara.”

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *