Oleh: Ku Seman Ku Hussain ( 5.27 pm 22 Feb 2019)
Kenyataan yang berbaur politik selalunya diucap atau ditulis oleh orang politik. Ini adalah adat dan kebiasaannya. Daripada orang politik, sama ada percakapan atau tulisan boleh membentuk persepsi dan seterusnya mencipta konspirasi antara satu pihak dengan yang lain.
Politik adalah permainan persepsi, jadi tidak hairanlah kalau ada orang politik mendakwa sesuatu media mempunyai agenda politik menyiar dan tidak menyiarkan sesuatu. Tetapi sangat luar biasa apabila Setiausaha Akhbar mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur politik, tidak kira secara rasmi atau sebaliknya.
Oleh hal yang demikian maka sangat ganjil, luas biasa dan menimbul persoalan atas tujuan apakah Setiausaha Akhbar Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan mengeluarkan kenyataan berbaur politik? Ini sebenarnya bukan tugas Setiausaha Akhbar yang sepatutnya menjadi perantara menteri dengan media.
Lim Swee Kuan menerusi laman sosial Facebook peribadinya memuat naik dakwaan bahawa RTM cuba mensabotaj seorang menteri apabila tidak menyiarkan secara langsung ucapan menteri berkenaan. Menteri yang dimaksudkan ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke di majlis sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Seremban baru-baru ini.
Lim Swee Kuan menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyiasat RTM yang boleh difahami dakwaannya sebagai turut bermain politik mensabotaj menteri.
Pada majlis berkenaan RTM hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Turut berucap dalam majlis itu ialah Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban dan Menteri Besar Negeri Sembinan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ekoran dakwaan itu Gobind mengarahkan supaya RTM menyediakan laporan lengkap berhubung perkara tersebut. Bagaimanapun selepas menerima laporan penuh daripada RTM, Gobind telah berpuas hati kerana tidak ada unsur-unsur sabotaj oleh RTM.
Sebaliknya RTM melaksanakan tugasan berkenaan mengikut prosedur yang menjadi amalan sebelum ini iaitu hanya menyiarkan ucapan Perdana Menteri di acara yang turut dihadiri oleh menteri-menteri lain atau Menteri Besar.
“RTM tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengudarakan ucapan seorang menteri dan Menteri Besar Negeri Sembilan di majlis berkenaan memandangkan Perdana Menteri turut hadir dan berucap di majlis tersebut,” kata Gobind dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun setakat rencana ini ditulis Lim Swee Kuan belum mengeluarkan kenyataan memohon maaf di atas dakwaan yang tersasar jauh mengenai RTM. Sangat tidak bertanggungjawab sekiranya dia membiarkan begitu sahaja sedangkan dakwaannya sedikit sebanyak mencalarkan imej RTM dan menggores hati penjawat awam di RTM.
Sementara itu Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Koya berkata, dakwaan bahawa RTM terlibat melakukan sabotaj adalah suatu yang angkuh. Beliau menambah, tidak sepatutnya wujud peraturan ucapan ahli politik kerajaan disiarkan secara langsung.
“Setiausaha akhbar Menteri Pengangkutan perlu sedar bahawa RTM bukan siaran propaganda kerajaan. Ia duit cukai rakyat, jadi kita mahu laporan yang adil dan seimbang,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau.
Anthony Loke pula berkata, yang disuarakan oleh setiausaha akhbarnya adalah dalam laman sosial peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai melanggar kebebasan media yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan. Walau apa sekalipun Anthony Loke perlu membimbing dan menasihat Setiausaha Akhbarnya supaya tidak mencetuskan ketegangan dengan media.
Penampilan blog tidak kemas kerana ada gambar. Ada baiknya kekalkan sepertimana blog kayangdaily post dulu. Hanya tulisan-tulisan sahaja yang ada.