Ibu pejabat Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)

OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (14.55 pm 13 April 2019)

Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) akan ditutup? Tutuplah.  Segerakan.  Menutup ITBM tidak sesukar memindah kuil haram di atas tapak milik orang lain.  ITBM bukan kuil haram, maka tutuplah. Malah ITBM pun tidak memberikan faedah politik kepada mana-mana pihak untuk mempertahankan institusi terjemahan ini.

Tambahan pula  ITBM kelihatan melonjakkan buku bahasa Melayu, menterjemah buku Melayu ke bahasa asing dan bahasa asing ke bahasa Melayu.  Ini seolah-olah menongkah usaha  sesetengah pihak untuk menyamaratakan  kedudukan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.  

ITBM tidak berada dalam arus perdana mendaulatkan bahasa-bahasa ini supaya setaraf  dengan bahasa Melayu.  Ketika kenyataan akhbar turut dibuat dalam bahasa Cina,  papan tanda jalan juga diselitkan tulisan Cina, kewujudan ITBM tentulah tidak menyumbang pada usaha demikian.

Hujah mentah  bagi mewajarkan tindakan itu ialah menjimatkan wang selain ITBM dilihat ‘bertindih’ dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Beberapa hari lalu desas-desus yang sama bertebaran semula dan ini adalah isyarat bahawa penutupan ITBM semakin hampir.  Angin  di negara ini biasanya  membawa khabar yang benar.

Tidak ada siapa yang boleh menghalang sekiranya kerajaan memutuskan untuk menutup mana-mana agensi, jabatan malah kementerian sekalipun. Bagaimanapun menutup sebuah ‘institut terjemahan’ kemudian wujudkan semula ‘bahagian terjemahan’ di DBP samalah dengan berundur 30 tahun  ke belakang. Sedangkan  matlamat mewujudkan sebuah institusi terjemahan adalah langkah 30 tahun  ke hadapan.  

Khair Ngadiron

“Kalau benar ITBM ditutup,  ini langkah ke belakang kerana dikecilkan sebagai sebuah bahagian di DBP.  ITNM seterusnya ITBM ditubuhkan atas keperluan kerana syarikat boleh bergerak tanpa banyak kekangan birokrasi,” demikian tegas mantan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Khair Ngadiron mengenai ura-ura diwujudkan semula bahagian terjemahan di DBP.

“Jangan terkejut kalau ITBM telah menterjemah hingga 35,000 halaman dokumen setahun atau sama dengan 200 hingga 300 buah buku.  Kalau ini bukan pencapaian,  saya tidak tahu nak kata apa lagilah.”  Kerusi yang dikosongkan oleh Khair kerana tamat kontrak hampir setahun lalu belum diisi,  ini juga semacam satu isyarat  untuk dibaca perihal tersiratnya.

Adakah langkah  mewujudkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada 14 September 1993 tidak memberi sebarang manfaat?  Adakah bahagian terjemahan DBP ada kemampuan untuk menterjemah  dan menerbitkan antara 150 judul hingga 250 judul setahun? Ini  merangkumi terjemahan bahasa Melayu ke bahasa asing dan bahasa asing ke bahasa Melayu. 

Tetapi  inilah angka yang telah dicapai ITBM  sejak lapan tahun lalu.  Inilah matlamat  ITNM  diwujudkan dan kepimpinan ketika itu ternyata melihat jauh  ke depan dan hari ini hasilnya tidak dapat dinafikan.  Bertindih dengan DBP?  Daripada satu segi mungkin benar apabila tahun 2012 ITNM disalurkan dana untuk menerbitkan karya asli penulis tempatan.  Nama pun bertukar menjadi ITBM.

Tetapi menutup ITBM dan memberikan tangungjawab  kepada DBP sahaja untuk menerbitkan 32,000 judul setahun  adalah suatu yang tidak adil kepada DBP juga.  Ini kerana dengan adanya ITBM dan DBP sebagai penerbit buku utama pun negara ini belum mencapai 32,000 judul setahun. Apatah lagi hanya DBP sahaja.

Malaysia belum mencapai taraf negara maju yang digariskan oleh UNESCO  yang memerlukan  32,000 judul buku setahun.  Kita hanya menerbitkan lebih kurang 12,000 judul setahun.  Daripada jumlah tersebut lebih 80 peratus adalah buku picisan dan pop, hanya 20 peratus  buku bercitra tinggi dalam sosial, seni, budaya dan sastera. 

Kalau hendak dikatakan bertindih,  langkah beberapa universiti awam mempunyai penerbitan buku sendiri juga suatu yang bertindih antara satu dengan lain.  Kenapa tidak diberikan kepada DBP sahaja  menerbitkan buku-buku ilmiah berkenaan? Jawabnya semua ini  untuk  menambah jumlah buku  berkualiti di pasaran.

Memang benar ada sesetengah buku terutama puisi yang diterbitkan oleh ITBM tidak mencapai piawaian.  Penulis sangat baru dan ada karya yang belum masak sepenuhnya. Tetapi pada masa yang sama ITBM juga menerbitkan buku-buku ilmiah dan bercitra tinggi ditulis oleh tokoh akademik dan setarafnya yang tidak banyak dilakukan oleh penerbit swasta.  Ada buku ilmiah tulisan ahli akademik  berharga RM150  senaskhah mencatatkan jualan  lebih 1,000 unit dalam masa sebulan.

Ini menunjukkan dalam bidang penerbitan buku-buku ilmiah, jenama ITBM sudah diyakini.  Jangan melihat ITBM hanya bergelumang dengan buku-buku puisi penulis baru sahaja. Tetapi lihatlah bagaimana ITBM mengangkat karya-karya  ahli akademik dan sasterawan besar termasuk Sasterawan Negara kemudian diterjemah dalam beberapa bahasa asing.

Tindakan mengecilkan institusi terjemahan di negara ini  menjadi paradoks apabila negara seperti Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Perancis dan Jepun misalnya berlumba-lumba membangunkan kerja-kerja menterjemah dari bahasa asal ke bahasa asing dan bahasa asing ke bahasa asal.  Mengapa kita mengambil tindakan terbalik?  Atau tidak sedar yang kita terbalik?

Advertisement

Baiklah. Kalau hendak tutup ITBM tutuplah.   Tetapi sebelum tutup,  elok kita bermain dengan fakta sebagai menjawab desas-desus  menutup ITBM untuk menjimatkan wang kerajaan.  ITBM pernah mendapat pengiktirafan  Jabatan Audit Negara  sebagai GLC sosial  yang membayar dividen kepada kerajaan selama tujuh tahun berturut-turut. Malah  merupakan satu-satunya GLC yang bergerak secara  khidmat sosial korporat (CSR)  berbanding GLC lain.

Dalam Laporan Audit Negara 2011 antara lain menyebut  ITNM (sebelum bertukar menjadi ITBM pada 2012) antara 10 syarikat  termasuk yang gergasi  Petronas, Perbadanan Nasional Berhad dan Amanah Raya Berhad yang membayar dividen sepanjang tiga tahun operasinya (2008 – 2010).  

Sementara itu beberapa pencapaian  yang disebutkan di bawah ini tentu tidak ada mengubah keputusan pihak tertentu menutup ITBM. Tetapi catatan di bawah adalah penting untuk rakyat memahami apa yang tersirat di sebalik usaha gigih menutup ITBM. 

ITBM telah mengantarabangsakan  119 buku karya penulis dan sasterawan tempatan termasuk Sasterawan Negara ke pelbagai bahasa lain di dunia.  ITBM juga menterjemah beberapa karya agung antaranya  Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja Pasai dan Tuhfat  An-Nafis ke bahasa Inggeris.  Malah menterjemah karya-karya agung dunia –   Mathnawi oleh  Jalaluddin Rumi  dari bahasa Parsi ke bahasa Melayu dan  Faust dari bahasa Jerman ke bahasa Melayu.

ITBM akan ditutupkan juga kerana tidak menguntungkan?  Di Singapura, kerajaan menyalurkan dana berjuta-juta dolar untuk  pembangunan buku dan kesusasteraan  Melayu melalui National Art Council Singapore,   Indonesia pula membelanjakan AS$10.97 juta untuk menjadi Negara Tamu Pesta Buku Frankfurt 2015. Korea Selatan mempergiatkan terjemahan karya asal dalam bahasa asing untuk memastikan karya-karya itu bertebaran di seluruh dunia melalui Literature Translation Institute of Korea.

Sasterawan Negara Baha Zain

Adakah langkah negara-negara ini kerana keuntungan material?  Tidak sama sekali. Hanya sesetengah daripada pemimpin kita sahaja yang materialistik.  Pemimpin negara berkenaan melihat keuntungan dari segi pembinaan tamadun bangsa. Lekehnya kalau pemimpin kita masih rabun dan mengira ringgit dan sen.

 Teringat tulisan Sasterawan Negara,  Datuk Baha Zain,  “Berapa banyak pun jumlahnya tentulah tidak setinggi harga tamadun nasional dan jati diri sebuah bangsa.”  Tamadun nasional yakni tamadun Melayu akan runtuh secara perlahan-lahan dengan kerakusan yang diperagakan di depan kita, antaranya menutup institusi seperti ITBM.

Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

One thought on “Menutup ITBM? Silakan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *